AHLIL KITAB
Petikan dari :
Surah 05. Al-Maidah [05]
1. Demi sesungguhnya! Allah telah mengambil perjanjian setia Bani Israil supaya mereka menjunjung perintahNya dan menjauhi laranganNya. Kami telah utuskan dari kalangan mereka dua belas ketua untuk memimpin golongan masing-masing dan Allah berfirman kepada mereka: “Bahawa Aku adalah beserta kamu memerhati segalanya. Jika kamu dirikan sembahyang serta kamu tunaikan zakat dan kamu beriman dengan segala Rasul utusanKu serta menolong bantu mereka dalam menegakkan ugama Allah dan kamu pinjamkan Allah dengan sedekah dan berbuat baik pada jalanNya secara pinjaman yang baik bukan kerana riak dan mencari keuntungan dunia, sudah tentu Aku akan ampunkan dosa kamu. Dan Aku akan masukkan kamu ke dalam Syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai. Oleh itu, sesiapa yang kufur ingkar di antara kamu sesudah yang demikian, maka sesungguhnya sesatlah ia dari jalan yang betul”. (5:12)
2. Maka dengan sebab mereka mencabuli perjanjian setia mereka, Kami laknatkan mereka dan Kami jadikan hati mereka keras membatu tidak mahu menerima kebenaran. Mereka sentiasa mengubah Kalimah kitab Taurat dengan memutarnya dari tempatnya dan maksudnya yang sebenar, dan mereka meninggalkan sebahagian dari apa yang diperingatkan mereka mereka dengannya. Engkau Muhammad, sentiasa dapat melihat perbuatan khianat yang mereka lakukan, kecuali sedikit dari mereka yang tidak berlakukannya. Oleh itu, maafkanlah mereka jika mereka sedia bertaubat dan janganlah dihiraukan, kerana sesungguhnya Allah suka kepada orang yang berusaha supaya baik amalannya. [5:13]
3. Di antara orang yang berkata bahawa mereka orang Nasrani, Kami juga telah mengambil perjanjian setia mereka. Mereka juga meninggalkan sebahagian dari apa yang diperingatkan mereka dengannya, lalu Kami tanamkan perasaan permusuhan dan kebencian di antara mereka, sampai ke hari kiamat. Allah akan memberitahu mereka dengan apa yang telah mereka kerjakan. [5:14]
4. Wahai Ahli Kitab! Telah datang kepada kamu Rasul Kami Muhammad s.a.w menerangkan kepada kamu banyak dari keterangan dan hukum yang telah kamu sembunyikan dari Kitab Suci dan ia memaafkan kamu dengan tidak mendedahkan banyak perkara yang kamu sembunyikan. Sesungguhnya telah datang kepada kamu cahaya kebenaran Nabi Muhammad dari Allah dan sebuah Kitab Al-Quran yang jelas nyata keterangannya. [5:15]
5. Dengan Al-Quran Allah menunjukkan jalan keselamatan serta kesejahteraan kepada sesiapa yang mengikut keredaanNya, dan dengannya Tuhan keluarkan mereka dari gelap-gelita kufur kepada cahaya iman yang terang-benderang, dengan izinNya. Dan dengannya juga Tuhan menunjukkan mereka ke jalan yang lurus. [5:16]
6. Demi sesungguhnya, kafirlah orang yang berkata bahawasanya Allah ialah Al-Masih Ibni Maryam. Katakanlah Muhammad bahawa dakwaan itu tidak benar kerana siapakah yang dapat menahan seksa dari Allah sedikit jua pun kalau Ia mahu membinasakan Al-Masih Ibni Maryam beserta ibunya dan orang yang ada di muka bumi semuanya? Ingatlah, bagi Allah jualah kuasa pemerintahan langit dan bumi dan segala yang ada di antara keduanya. Ia menciptakan apa jua yang dikehendakiNya. Ingatlah, Allah Maha Kuasa atas setiap sesuatu. [5:17]
7. Orang Yahudi dan Nasrani berkata: “Kami adalah anak-anak Allah dan yang amat disayangiNya”. Katakanlah Muhammad: “Kalau betul demikian, maka mengapakah Ia menyeksa kamu dengan sebab dosa kamu? Sebenarnya bukanlah sebagaimana yang kamu dakwakan bahkan kamu semuanya adalah manusia biasa di antara manusia lain yang diciptakanNya. Ia mengampunkan bagi sesiapa yang dikehendakiNya menurut aturan serta hukum SyariatNya. Demikian juga Ia menyeksa sesiapa yang dikehendakiNya. Ingatlah, bagi Allah jualah kuasa pemerintahan langit dan bumi serta segala yang ada di antara keduanya dan kepada Allah jualah tempat kembali”. [5:18]
8. Wahai Ahli Kitab! Sesungguhnya telah datang kepada kamu Rasul kami Muhammad, yang menerangkan kepada kamu akan syariat Islam ketika terputusnya kedatangan Rasul-rasul yang diutus, supaya kamu tidak berdalih dengan berkata pada hari kiamat: “Tidak datang kepada kami seorang Rasul pun pembawa berita gembira dan juga pembawa amaran yang mengingatkan kami”. Kerana sesungguhnya telah datang kepada kamu seorang rasul pembawa berita gembira dan juga pembawa amaran. Ingatlah, Allah Maha Kuasa atas setiap sesuatu. [5:19]
9. Ingatkanlah mereka wahai Muhammad, ketika Nabi Musa berkata kepada kaumnya: “Wahai kaumku! Kenanglah nikmat Allah Yang diberikan kepada kamu ketika Ia menjadikan dalam kalangan kamu beberapa orang Nabi, dan Ia menjadikan kamu bebas merdeka setelah kamu diperhamba oleh Firaun dan orang-orangnya, dan Ia memberikan kepada kamu barang yang tidak pernah diberikan kepada seseorang pun dari umat yang ada pada masa itu”. [5:20]
10. Nabi Musa berkata lagi: “Wahai kaumku, masuklah ke Tanah Suci Palestin yang telah diperintahkan oleh Allah untuk kamu memasukinya. Dan janganlah kamu berbalik undur ke belakang. Kalau kamu undur, maka kamu kelak menjadi orang yang rugi di dunia dan di akhirat”. [5:21]
11. Mereka menjawab: “Wahai Musa, bahawasanya di negeri itu ada kaum yang gagah perkasa, dan sesungguhnya kami tidak akan memasukinya sehingga mereka keluar daripadanya. Kemudian jika mereka keluar daripadanya, maka sesungguhnya kami akan masuk ke negeri itu”. [5:22]
12. Berkatalah dua lelaki di antara orang yang takut menyalahi perintah tuhan, lagi diberi nikmat taufik oleh Allah kepada keduanya: “Seranglah mereka melalui pintu itu, kerana apabila kamu memasukinya maka sudah tentu kamulah orang yang menang; dan kepada Allah jualah hendaklah kamu berserah setelah kamu bertindak menyerang, jika benar kamu orang yang beriman” [5:23]
13. Mereka menolaknya dengan berkata: “Wahai Musa, sesungguhnya kami tidak akan memasuki negeri itu selamanya selagi kaum itu masih berada di dalamnya. Oleh itu pergilah engkau bersama Tuhanmu dan perangilah mereka. Sebenarnya kami di sinilah duduk menunggu”. [5:24]
14. Nabi Musa merayu kepada Allah, katanya: “Wahai Tuhan! Sesungguhnya aku tidak dapat menguasai selain daripada diriku sendiri dan saudaraku Harun. Oleh itu pisahkanlah antara kami dengan kaum yang fasik itu”. [5:25]
15. Allah berfirman: “Sesungguhnya negeri itu diharamkan kepada mereka memasukinya selama empat puluh tahun. Mereka akan merayau dengan bingungnya di sepanjang masa yang tersebut di padang pasir Sinai. Maka janganlah engkau berdukacita terhadap kaum yang fasik itu”. [5:26]
16. Wahai Rasul Allah! Janganlah engkau menanggung dukacita disebabkan orang yang segera menceburkan diri dalam kekufuran, iaitu dari orang yang berkata dengan mulutnya: “Kami tetap beriman”, padahal hatinya tidak beriman. Demikian juga dari orang Yahudi, mereka orang yang sangat suka mendengar berita dusta. Mereka sangat suka mendengar perkataan golongan pendita Yahudi yang tidak pernah datang menemuimu. Mereka ini mengubah serta meminda perkataan dalam Kitab Taurat itu dari tempatnya yang sebenar. Mereka berkata: “Jika disampaikan kepada kamu hukum seperti ini maka terimalah dia dan jika tidak disampaikannya kepada kamu, maka jagalah diri baik-baik”. Dan sesiapa yang dikehendaki Allah kesesatannya, maka engkau tidak berkuasa sama sekali menolak sesuatu apapun yang datang dari Allah untuknya. Mereka ialah orang yang Allah tidak mahu membersihkan hati mereka. Bagi mereka kehinaan di dunia dan di akhirat kelak mereka beroleh azab seksa yang besar. [5:41]
17. Mereka sangat suka mendengar berita dusta, sangat suka memakan segala yang haram (rasuah dan sebagainya). Oleh itu kalau mereka datang kepadamu, maka hukumlah di antara mereka dengan apa yang telah diterangkan oleh Allah atau berpalinglah dari mereka. Jika engkau berpaling dari mereka maka mereka tidak akan dapat membahayakanmu sedikitpun. Dan jika engkau menghukum maka hukumlah di antara mereka dengan adil, kerana sesungguhnya Allah mengasihi orang yang berlaku adil. [5:42]
18. Dan sungguh menghairankan, bagaimana mereka meminta keputusan hukum kepadamu, padahal di sisi mereka ada Kitab Taurat yang mengandungi hukum Allah, kemudian mereka berpaling pula sesudah itu dari hukumanmu? Sebenarnya, mereka itu bukanlah orang yang beriman. [5:43]
19. Sesungguhnya Kami telah menurunkan Kitab Taurat, yang mengandungi petunjuk dan cahaya yang menerangi. Dengan Kitab itu nabi-nabi yang menyerah diri kepada Allah menetapkan hukum bagi orang Yahudi dan dengannya juga ulama dan penditanya menjalankan hukum Allah, sebab mereka diamanahkan memelihara dan menjalankan hukum dari Kitab Taurat itu, dan mereka pula adalah menjadi penjaga dan pengawasnya dari sebarang perubahan. Oleh itu janganlah kamu takut kepada manusia tetapi hendaklah kamu takut kepadaKu dengan menjaga diri dari melakukan maksiat dan patuh akan perintahKu. Dan janganlah kamu membelakangkan ayat-ayatKu dengan harga yang sedikit kerana mendapat rasuah, pangkat dan lain-lain keuntungan dunia. Sesiapa yang tidak menghukum dengan apa yang telah diturunkan oleh Allah kerana mengingkarinya, maka mereka itulah orang kafir. [5:44]
20. Dan kami telah tetapkan atas mereka di dalam kitab Taurat itu bahawa jiwa dibalas dengan jiwa dan mata dibalas dengan mata dan hidung dibalas dengan hidung dan telinga dibalas dengan telinga dan gigi dibalas dengan gigi dan luka-luka hendaklah dibalas seimbang. Tetapi sesiapa yang melepaskan hak membalasnya, maka menjadilah ia penebus dosa baginya dan sesiapa yang tidak menghukum dengan apa yang telah diturunkan Allah, maka mereka itulah orang yang zalim. [5:45]
21. Dan Kami utuskan Nabi Isa Ibni Maryam mengikuti jejak langkah mereka, Nabi-nabi Bani Israil, untuk membenarkan Kitab Taurat yang diturunkan sebelumnya. Kami telah berikan kepadanya Kitab Injil yang mengandungi petunjuk hidayah dan cahaya yang menerangi sambil mengesahkan benarnya apa yang telah ada di hadapannya dari Kitab Taurat, serta menjadi petunjuk dan nasihat pengajaran bagi orang yang hendak bertaqwa. [5:46]
22. Dan hendaklah Ahli Kitab Injil menghukum dengan apa yang telah diturunkan oleh Allah di dalamnya; dan sesiapa yang tidak menghukum dengan apa yang telah diturunkan oleh Allah, maka mereka itulah orang yang fasik. [5:47]
23. Dan Kami turunkan kepadamu Muhammad Kitab Al-Quran dengan membawa kebenaran, untuk mengesahkan benarnya Kitab-kitab Suci yang telah diturunkan sebelumnya dan untuk memelihara serta mengawasinya. Maka jalankanlah hukum di antara mereka Ahli Kitab, itu dengan apa yang telah diturunkan oleh Allah kepadamu. Janganlah engkau mengikut kehendak hawa nafsu mereka dengan menyeleweng dari apa yang telah datang kepadamu dari kebenaran. Bagi setiap umat yang ada di antara kamu, Kami tetapkan suatu Syariat dan jalan ugama yang wajib diikuti oleh masing-masing. Dan kalau Allah menghendaki nescaya Ia menjadikan kamu satu umat yang bersatu dalam ugama yang satu, tetapi Ia hendak menguji kamu dalam menjalankan apa yang telah disampaikan kepada kamu. Oleh itu berlumbalah kamu membuat kebaikan, beriman dan beramal soleh. Kepada Allah jualah tempat kembali kamu semuanya, maka Ia akan memberitahu kamu apa yang kamu berselisihan padanya. [5:48]
24. Dan hendaklah engkau menjalankan hukum di antara mereka dengan apa yang telah diturunkan oleh Allah dan janganlah engkau menurut kehendak hawa nafsu mereka, dan berjagalah supaya mereka tidak memesongkanmu dari sesuatu hukum yang telah diturunkan oleh Allah kepadamu. Kemudian jika mereka berpaling enggan menerima hukum Allah itu, maka ketahuilah, hanyasanya Allah mahu menyeksa mereka dengan sebab setengah dari dosa-dosa mereka. Sesungguhnya kebanyakan dari umat manusia itu adalah orang yang fasik. [5:49]
25. Sesudah itu, patutkah mereka berkehendak lagi kepada hukum jahiliyah? Padahal kepada orang yang penuh keyakinan, tidak ada sesiapa yang boleh membuat hukum yang lebih pada daripada Allah. [5:50]
26. Wahai orang beriman! Janganlah kamu mengambil orang Yahudi dan Nasrani itu sebagai teman rapat, kerana setengah mereka menjadi teman rapat kepada setengahnya yang lain dan sesiapa di antara kamu yang menjadikan mereka teman rapatnya, maka sesungguhnya ia adalah dari golongan mereka. Sesungguhnya Allah tidak memberikan petunjuk kepada kaum yang berlaku zalim. [5:51]
27. Dalam pada itu, engkau lihat orang munafik yang ada penyakit dalam hatinya segera berusaha mendampingkan diri kepada orang Yahudi dan Nasrani, sambil berkata: “Kami takut bahawa kami akan ditimpa bencanalah yang memaksa kami meminta pertolongan mereka”. Mudah-mudahan Allah akan mendatangkan kemenangan kepada RasulNya dan umat Islam atau mendatangkan sesuatu hukuman terhadap golongan munafik itu menyebabkan mereka akan menyesal mengenai apa yang telah mereka sembunyikan dalam hatinya. [5:52]
28. Telatah kaum munafik itu menjadikan orang beriman berkata: “Adakah mereka ini orang yang bersumpah dengan nama Allah dengan sebenar sumpahnya, bahawa mereka benar-benar menyertai dan menolong kamu?” Telah gugurlah amal mereka lalu menjadilah mereka: orang yang rugi. [5:53]
29. Wahai orang beriman! Janganlah kamu mengambil orang yang menjadikan ugama kamu sebagai ejekan dan permainan dari orang yang telah diberikan Kitab sebelum kamu dan orang kafir musyrik itu: menjadi penolong. Bertaqwalah kepada Allah, jika kamu benar-benar orang yang beriman. [5:57]
30. Apabila kamu menyeru azan untuk mengerjakan sembahyang, mereka menjadikan sembahyang itu sebagai ejekan dan permainan. Ini adalah kerana mereka kaum yang tidak berakal. [5:58]
31. Katakanlah Muhammad: “Wahai Ahli Kitab! Kamu tidak mencela dan menyalahkan kami melainkan kerana kami beriman kepada Allah dan beriman kepada apa yang diturunkan kepada kami, serta beriman kepada apa yang diturunkan sebelum itu. Dan kerana kebanyakan kamu sesungguhnya adalah orang orang yang fasik”. [5:59]
32. Katakanlah: “Mahukah, aku khabarkan kepada kamu tentang yang lebih buruk balasannya di sisi Allah daripada yang demikian itu? Ialah orang yang dilaknat oleh Allah dan dimurkaiNya, dan orang yang dijadikan di antara mereka sebagai kera dan babi, dan penyembah Taghut. Mereka inilah yang lebih buruk kedudukannya dan yang lebih sesat dari jalan yang betul”. [5:60]
33. Dan apabila mereka orang Yahudi atau munafik itu, datang kepada kamu, mereka berkata: “Kami telah beriman”. Padahal sesungguhnya mereka itu masuk menemui kamu dengan kekufurannya dan sesungguhnya mereka keluar dari sisi kamu dengan kekufurannya juga. Hendaklah mereka ingat, Allah lebih mengetahui akan apa yang mereka sembunyikan. [5:61]
34. Engkau lihat kebanyakan dari mereka berlumba-lumba pada melakukan dosa dan pencerobohan serta memakan yang haram. Demi sesungguhnya amatlah buruk apa yang mereka telah lakukan. [5:62]
35, Alangkah baiknya kalau ketua ugama dan pendita mereka melarang mereka dari mengeluarkan perkataan dusta dan dari memakan yang haram. Sesungguhnya amatlah buruk apa yang mereka telah kerjakan. [5:63]
36. Orang Yahudi itu berkata: “Tangan Allah terbelenggu dan bakhil-kikir”. Tangan merekalah yang terbelenggu dan mereka pula dilaknat dengan sebab apa yang mereka telah katakan itu. Bahkan kedua tangan Allah sentiasa terbuka dengan nikmat dan kurniaNya luas melimpah. Ia limpahkan sebagaimana yang Ia kehendaki. Sesungguhnya, apa yang telah diturunkan kepadamu dari tuhanmu itu akan menjadikan kebanyakan dari mereka bertambah derhaka dan kufur dan Kami tanamkan perasaan permusuhan dan kebencian di antara mereka hingga hari kiamat. Setiap kali mereka menyalakan api peperangan, Allah memadamkannya dan mereka pula terus-menerus melakukan kerosakan di muka bumi, sedangkan Allah tidak suka kepada orang yang melakukan kerosakan. [5:64]
37. Sekiranya Ahli Kitab itu beriman dan bertaqwa tentulah Kami akan dihapuskan dari mereka kejahatan mereka dan tentulah Kami akan masukkan mereka ke dalam Syurga yang penuh nikmat. [5:65]
38. Dan kalau mereka bersungguh menegakkan dan menjalankan perintah Allah dalam Taurat dan Injil dan apa yang diturunkan kepada mereka dari Al-Quran, nescaya mereka akan makan yang mewah dari atas mereka langit dan bumi. Di antara mereka ada sepuak yang adil tetapi kebanyakan dari mereka, buruk keji amal perbuatannya. [5:66]
39. Katakanlah: “Wahai Ahli Kitab! Kamu tidak dikira mempunyai sesuatu ugama sehingga kamu tegakkan ajaran Kitab Taurat dan Injil yang membawa kamu percaya kepada Nabi Muhammad, dan apa yang diturunkan kepada kamu dari Al-Quran”. Demi sesungguhnya, apa yang diturunkan kepadamu Muhammad, dari Tuhanmu itu akan menambahkan kederhakaan dan kekufuran kepada kebanyakan mereka. Oleh itu janganlah engkau berdukacita terhadap kaum yang kafir itu. [5:68]
40. Sesungguhnya orang beriman dan orang Yahudi dan orang Saabiein dan orang Nasrani - sesiapa sahaja di antara mereka yang beriman kepada Allah dan segala RasulNya meliputi Nabi Muhammad s.a.w dan beriman kepada hari akhirat serta beramal soleh, maka tidaklah ada kebimbangan dari berlakunya kejadian yang tidak baik terhadap mereka, dan mereka pula tidak akan berdukacita. [5:69]
41. Demi sesungguhnya! Kami telah mengambil perjanjian setia dari Bani Israil dan Kami telah utuskan kepada mereka beberapa orang Rasul. Tetapi setiap kali datang seorang Rasul kepada mereka dengan membawa apa yang tidak disukai oleh hawa nafsu mereka, mereka dustakan sebahagian dari Rasul-rasul itu, dan mereka bunuh yang sebahagian lagi. [5:70]
42. Dan mereka juga menyangka bahawa tidak akan berlaku sebarang bencana, lalu mereka membutakan mata dan memekakkan telinga, kemudian Allah menerima taubat mereka. Setelah itu kebanyakan dari mereka membutakan mata dan memekakkan telinga lagi. Padahal Allah Maha Melihat akan apa yang mereka lakukan. [5:71]
43. Demi sesungguhnya! Telah kafirlah orang yang berkata: “Bahawasanya Allah ialah Al-Masih Ibni Maryam”. Padahal Al-Masih sendiri berkata: “Wahai Bani Israil! Sembahlah Allah, Tuhanku dan Tuhan kamu. Bahawasanya sesiapa yang mempersekutukan Allah dengan sesuatu yang lain, maka sesungguhnya Allah haramkan kepadanya Syurga, dan tempat kembalinya ialah neraka, dan tiadalah seorang penolong pun bagi orang-orang yang berlaku zalim”. [5:72]
44. Demi sesungguhnya telah kafirlah orang yang berkata: “Bahawasanya Allah ialah salah satu dari tiga tuhan”. Padahal tiada Tuhan yang berhak disembah) melainkan Tuhan yang Maha Esa. Dan jika mereka tidak berhenti dari apa yang mereka katakan itu, sudah tentu orang yang kafir dari antara mereka akan dikenakan azab seksa yang tidak terperi sakitnya. [5:73]
45. Oleh itu tidakkah mereka mahu bertaubat kepada Allah dan memohon keampunannya sesudah mereka mendengar keterangan tentang kepercayaan mereka yang salah dan balasan seksanya? Padahal Allah Maha pengampun, lagi Maha Mengasihani. [5:74]
46. Tiadalah Al-Masih Ibni Maryam itu melainkan seorang Rasul yang telah terdahulu sebelumnya beberapa orang Rasul. Dan ibunya seorang perempuan yang amat benar. Mereka berdua makan makanan seperti kamu juga. Lihatlah bagaimana kami jelaskan kepada mereka ahli kitab itu keterangan yang tegas yang menunjukkan kesesatan mereka. Kemudian lihatlah bagaimana mereka dipalingkan oleh hawa nafsu mereka dari menerima kebenaran yang jelas nyata itu. [5:75]
47. Katakanlah Muhammad: “Patutkah kamu menyembah sesuatu yang lain dari Allah, yang tidak berkuasa memberi mudarat kepada kamu dan tidak juga berkuasa memberi manfaat? Padahal Allah Yang Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui”. [5:76]
48. Katakanlah: “Wahai Ahli Kitab! Janganlah kamu melampau dalam ugama kamu secara yang tidak benar, dan janganlah kamu menurut hawa nafsu suatu kaum yang telah sesat sebelum ini dan telah menyesatkan banyak manusia, dan juga sekarang mereka telah tersesat jauh dari jalan yang betul” [5:77]
49. Orang kafir Yahudi dari Bani Israil telah dilaknat di dalam Kitab Zabur dan Injil melalui lidah Nabi Daud dan Nabi Isa ibni Maryam. Yang demikian itu disebabkan mereka menderhaka dan selalu menceroboh. [5:78]
50. Mereka sentiasa tidak berlarang-larangan sesama sendiri dari perbuatan mungkar derhaka dan ceroboh yang mereka lakukan. Demi sesungguhnya amatlah buruknya apa yang mereka telah lakukan. [5:79]
51. Engkau melihat banyak dari mereka menjadikan orang kafir musyrik teman rapat mereka. Demi sesungguhnya amatlah buruknya apa yang mereka sediakan bagi diri mereka pada hari akhirat kelak iaitu kemurkaan Allah menimpa mereka, dan mereka pula tetap kekal di dalam azab neraka. [5:80]
52. Sekirany mereka beriman kepada Allah dan kepada Nabi serta apa yang diturunkan kepadanya, nescaya mereka tidak menjadikan orang musyrik sebagai teman rapat, akan tetapi kebanyakan dari mereka adalah orang fasik. [5:81]
53. Demi sesungguhnya engkau Muhammad, akan dapati manusia yang keras sekali permusuhannya kepada orang beriman ialah orang Yahudi dan orang musyrik. Engkau akan dapati orang yang dekat sekali kasih mesranya kepada orang yang beriman ialah orang yang berkata: “Bahawa kami ini ialah orang Nasrani”. Yang demikian itu, disebabkan ada di antara mereka pendita dan ahli ibadat dan kerana mereka pula tidak berlaku sombong. [5:82]
54. Apabila mereka mendengar Al-Quran yang diturunkan kepada Muhammad, engkau melihat mata mereka mencucurkan air mata disebabkan apa yang mereka ketahui melalui Kitab mereka dari kebenaran Al-Quran, sambil mereka berkata: “Wahai Tuhan kami, kami beriman kepada Nabi Muhammad dan Kitab Suci Al-Quran. Oleh itu tetapkanlah kami bersama orang yang menjadi saksi yang mengakui kebenaran Nabi Muhammad s.a.w. [5:83]
55. “Dan tidak ada sebab bagi kami tidak beriman kepada Allah dan kepada kebenaran Al-Quran yang sampai kepada kami, padahal kami ingin dengan sepenuh harapan, supaya Tuhan kami memasukkan kami ke dalam Syurga bersama orang yang soleh”. [5:84]
56. Lalu Allah memberikan pahala kepada mereka disebabkan pengakuan iman yang ikhlas yang telah mereka ucapkan, iaitu mereka dibalas dengan Syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai; mereka pula tetap kekal di dalamnya. Dan yang demikian itu adalah balasan orang yang berusaha berbuat kebaikan. [5:85]
57. Ingatlah, hari kiamat yang padanya Allah menghimpunkan Rasul-rasulNya lalu bertanya: “Apakah penerimaan yang diberikan kepada kamu oleh umat-umat kamu dahulu, ketika kamu menyampaikan seruan ugama Allah?” Rasul-rasul itu menjawab: “Tidak ada bagi kami pengetahuan yang sah tentang itu. Pengetahuan yang tepat adalah tertentu bagiMu kerana sesungguhnya Engkaulah sahaja yang Maha Mengetahui akan segala perkara yang ghaib” [5:109]
58. Ingatlah, ketika Allah berfirman: “Wahai Isa ibni Maryam! Kenanglah nikmatKu kepadamu dan kepada ibumu ketika Aku menguatkanmu dengan Ruhul-Qudus, iaitu engkau dapat berkata dengan manusia semasa engkau masih kecil dalam buaian dan sesudah dewasa. Dan ingatlah. ketika Aku mengajarmu menulis membaca dan hikmat pengetahuan, khasnya Kitab Taurat dan Kitab Injil. Ingatlah, ketika engkau jadikan dari tanah seperti bentuk burung dengan izinKu, kemudian engkau tiupkan padanya lalu menjadilah ia seekor burung dengan izinku, dan ketika engkau menyembuhkan orang buta dan orang sopak dengan izinku, dan ketika engkau menghidupkan orang yang mati dengan izinKu, dan ketika Aku menghalangi Bani Israil daripada membunuhmu ketika engkau datang kepada mereka dengan membawa keterangan mukjizat, lalu orang yang kafir di antara mereka berkata: “Bahawa ini hanyalah sihir yang terang nyata” [5:110]
59. Dan ingatlah, ketika Aku ilhamkan kepada orang Hawariyyiin sahabatmu: “Berimanlah kamu kepadaku dan kepada RasulKu!” Mereka menjawab: “Kami telah beriman dan saksikanlah bahawa sesungguhnya kami orang Islam menyerah diri kepada Allah”. [5:111]
60. Dan ingatlah, ketika orang Hawariyyiin berkata: “Wahai Isa Ibni Maryam! Dapatkah kiranya Tuhanmu berkenan menurunkan kepada kami satu hidangan dari langit?” Nabi Isa menjawab: “Bertaqwalah kamu kepada Allah jika benar kamu orang yang beriman”. [5:112]
61. Mereka berkata: “Kami hanya ingin hendak makan dari hidangan itu untuk mengambil berkat dan supaya tenang tenteram hati kami dan juga supaya kami ketahui dengan yakin bahawa sesungguhnya engkau telah berkata benar kepada kami. Dan supaya menjadilah kami orang yang menyaksikannya sendiri” [5:113]
62. Isa ibni Maryam pun berdoa ke hadrat Allah dengan berkata: “Ya Allah, Tuhan kami! Turunkanlah kiranya kepada kami satu hidangan dari langit, untuk menjadi hari raya bagi kami, iaitu bagi kami yang ada hari ini dan bagi orang kami yang datang kemudian, dan sebagai satu tanda mukjizat daripadamu yang menunjukkan kebesaran dan kekuasaanMu, dan kurniakanlah rezeki kepada kami kerana Engkau jualah sebaik Pemberi rezeki” [5:114]
63. Allah berfirman: “Sesungguhnya Aku akan menurunkan hidangan itu berulang-ulang kepada kamu, kemudian sesiapa di antara kamu kufur ingkar sesudah turunnya hidangan itu, maka sesungguhnya Aku akan menyeksanya dengan azab sengsara yang tidak pernah Aku seksakan seseorang pun dari sekalian makhluk”. [5:115]
64. Ingatlah, ketika Allah berfirman: “Wahai Isa ibni Maryam! Engkaukah yang berkata kepada manusia: “Jadikanlah daku dan ibuku dua tuhan selain dari Allah?”. Nabi Isa menjawab: “Maha Suci Engkau wahai Tuhan! Tidaklah layak bagiku mengatakan sesuatu yang aku tidak berhak mengatakannya. Jika aku ada mengatakannya, maka tentulah Engkau telah mengetahuinya. Engkau mengetahui apa yang ada pada diriku, sedang aku tidak mengetahui apa yang ada pada diriMu, kerana sesungguhnya Engkau jualah Yang Maha Mengetahui perkara yang ghaib. [5:116]
65. “Aku tidak mengatakan kepada mereka melainkan apa yang Engkau perintahkan kepadaku mengatakannya, iaitu: “Sembahlah kamu akan Allah, Tuhanku dan Tuhan kamu. Dan adalah aku menjadi pengawas terhadap mereka dengan membenarkan yang benar dan menyalahkan yang salah selama aku berada dalam kalangan mereka. Kemudian apabila Engkau sempurnakan tempohku, menjadilah Engkau sendiri yang mengawasi keadaan mereka dan Engkau jualah yang menjadi Saksi atas tiap-tiap sesuatu”. [5:117]
66. “Jika Engkau menyeksa mereka, maka tidak ada yang menghalanginya kerana sesungguhnya mereka adalah hambaMu. Dan jika Engkau mengampunkan mereka, maka sesungguhnya Engkaulah sahaja yang Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana” .[5:118]
TAMAT
[05]
No comments:
Post a Comment