Wednesday, 10 February 2010

07 SURAH AL - A'RAF

07 SURAH AL - A'RAF

[07]


AHLIL KITAB

Petikan dari Surah 07 Al-A’raf


1. Dan kami membahagikan Bani Israil menjadi dua belas suku, sebagai golongan besar dan Kami wahyukan kepada Nabi Musa ketika kaumnya meminta air kepadanya: “Pukulah batu itu dengan tongkatmu”. Maka terpancarlah daripadanya dua belas mata air. Setiap golongan mengetahui tempat masing-masing. Dan Kami naungi mereka dengan awan dan turunkan kepada mereka “Mann” dan “Salwa”. Lalu Kami berfirman: “Makanlah dari yang kami telah kurniakan kepada kamu”. Dan tidaklah mereka menganiaya Kami dengan kekufuran mereka, tetapi mereka adalah menganiaya diri mereka sendiri. [160]

2. Ingatlah, ketika dikatakan kepada mereka: “Tinggalah dalam bandar ini dan makanlah dari makanannya apa sahaja yang kamu sukai dan berdoalah: “Wahai Tuhan kami, gugurkanlah dosa kami”. Dan masuklah melalui pintu bandar itu dengan tunduk merendah diri, supaya Kami mengampunkan dosa kamu. Kami akan menambah balasan bagi orang yang berbuat kebaikan”. [161]

3. Orang yang zalim di antara mereka menukarkan perintah itu dengan perkataan yang tidak dikatakan kepada mereka. Oleh itu, Kami turunkan azab dari langit menimpa mereka, dengan sebab kezaliman yang mereka lakukan. [162]

4. Bertanyalah kepada mereka Muhammad, mengenai penduduk bandar yang letaknya di tepi laut semasa mereka melanggar larangan pada hari Sabtu. Ketika datang kepada mereka pada hari Sabtu itu ikan yang menjadi cubaan kepada mereka kelihatan timbul di muka air sedang pada hari-hari lain ikan itu tidak pula datang kepada mereka. Demikianlah kami menguji mereka dengan cubaan itu kerana mereka sentiasa berlaku fasik. [163]

5. Ingatlah, ketika segolongan di antara mereka berkata: “Mengapa kamu menasihati kaum yang Allah akan membinasakan mereka atau mengazabkan mereka dengan azab yang amat berat?” Orang yang memberi nasihat itu menjawab: “Nasihat itu ialah untuk melepaskan diri dari bersalah kepada Tuhan kamu dan supaya mereka bertaqwa”. [164]

6. Maka ketika mereka melupakan dan tidak menghiraukan apa yang telah diperingatkan kepada mereka, Kami selamatkan orang yang melarang daripada perbuatan jahat itu dan Kami timpakan orang yang zalim dengan azab seksa yang amat berat, disebabkan mereka berlaku fasik derhaka. [165]

7. Maka setelah mereka berlaku sombong takbur tidak mengambil indah kepada apa yang telah dilarang mereka melakukannya, Kami katakan kepada mereka: “Jadilah kamu kera yang hina”. [166]

8. Ingatlah Muhammad, ketika Tuhanmu memberitahu bahawa Ia akan menghantarkan kepada kaum Yahudi itu, terus menerus hingga hari kiamat, kaum yang akan menimpakan mereka dengan azab sengsara yang seburuk-buruknya disebabkan kejahatan dan kekufuran mereka. Sesungguhnya, Tuhanmu amat cepat azab seksaNya dan sesungguhnya Dia juga Maha Pengampun lagi Maha Mengasihani. [167]

9. Kami pecahkan kaum Yahudi itu berpuak-puak bertaburan di merata dunia ini. Di antara mereka ada yang soleh dan di antaranya juga yang tidak sedemikian. Dan kami uji mereka dengan nikmat pemberian yang baik-baik dan bala bencana yang buruk, supaya mereka kembali bertaubat. [168]

10. Maka mereka kemudiannya digantikan oleh keturunan yang jahat yang mewarisi Kitab Taurat. Mereka mengambil kebendaan yang hina di dunia ini sambil berkata: “Akan diampunkan kelak dosa kami”. Padahal jika datang kepada mereka kebendaan yang hina seperti itu mereka akan mengambilnya lagi. Bukankah telah diambil perjanjian setia daripada mereka di dalam kitab Taurat bahawa mereka tidak memperkatakan terhadap Allah melainkan yang benar? Dan mereka pula telah mempelajari apa yang terkandung di dalamnya? Dan juga mereka mengetahui bahawa negeri akhirat itu lebih baik bagi orang yang bertaqwa. Tidakkah kamu mahu mengerti? [169]

11. Orang yang berpegang teguh dengan Kitab Allah serta mendirikan sembahyang, sesungguhnya Kami tidak akan menghilangkan pahala orang yang berusaha memperbaiki keadaan hidupnya. [170]

12. Ingatlah Muhammad, ketika Kami mengangkat gunung Tursina ke atas Bani Israil seolah-olah gunung itu awan yang menaungi mereka dan mereka yakin bahawa gunung itu akan jatuh menimpa mereka, sambil Kami berfirman: “Terimalah dengan bersungguh Kitab Taurat yang telah Kami berikan kepada kamu dan amalkanlah apa yang terkandung di dalamnya, supaya kamu menjadi orang yang bertaqwa”. [171]

13. Dan orang-orang yang mendustakan ayat-ayat Kami, Kami akan menarik menarik mereka sedikit demi sedikit (ke jurang kebinasaan), menurut cara yang mereka tidak mengetahuinya. [182]

14. Dan Aku memberi tempoh kepada mereka; sesungguhnya rancangan balasanKu amatlah teguh. [183]



TAMAT
Tags: Al-A'raf, Mekah

No comments:

Post a Comment