Saturday, 13 February 2010

009 SURAH AT- TAUBAH

AHLIL KITAB

Petikan dari Surah 09 At-Taubah



009 SURAH AT- TAUBAH

[09]


1. Orang Yahudi berkata bahawa Uzair ialah anak Allah dan orang Nasrani berkata Al-Masih ialah anak Allah. Demikianlah perkataan mereka dengan mulut mereka sendiri, iaitu mereka menyamai perkataan orang kafir terdahulu. Semoga Allah binasakan mereka. Bagaimanakah mereka berpaling dari kebenaran?
[09:30]


2. Mereka menjadikan pendita dan ahli ugama mereka sebagai pendidik selain Allah, dan mempertuhankan Al-Masih ibni Maryam, padahal mereka tidak diperintahkan melainkan menyembah Tuhan Yang Maha Esa. Tiada Tuhan yang berhak disembah melainkan Dia. Maha Suci Allah dari yang mereka sekutukan.
[09:31]


3. Mereka hendak memadamkan cahaya ugama Islam dengan mulut mereka, sedang Allah tidak menghendaki melainkan menyempurnakan cahayaNya, sekalipun orang kafir tidak suka akan yang demikian.
[09:32]


4. Wahai orang yang beriman! Sesungguhnya banyak di antara pendita dan ahli ugama Yahudi dan Nasrani memakan harta orang ramai dengan cara yang salah dan mereka menghalangi manusia dari jalan ugama Islam. Ingatlah orang yang menyimpan emas dan perak serta tidak membelanjakannya pada jalan Allah, maka khabarkanlah kepada mereka dengan balasan azab seksa yang tidak terperi sakitnya.
[09:34]


5. Di antara mereka yang munafik itu ada orang yang menyakiti Nabi sambil mereka berkata: “Bahawa Nabi Muhammad suka mendengar dan percaya pada apa yang didengarnya”. Katakanlah: “Dia mendengar dan percaya apa yang baik bagi kamu, ia beriman kepada Allah dan percaya kepada orang mukmin dan ia pula menjadi rahmat bagi orang yang beriman di antara kamu”. Dan orang yang menyakiti Rasulullah itu, bagi mereka azab seksa yang tidak terperi sakitnya.
[09:61]


6. Orang munafik itu takut kalau diturunkan satu surah Al-Quran yang menerangkan apa yang ada dalam hati mereka. Katakanlah Muhammad: “Ejeklah seberapa yang kamu suka, sesungguhnya Allah akan mendedahkan apa yang kamu takut terdedah untuk pengetahuan ramai”.
[09:64]


7. Dan jika engkau bertanya kepada mereka tentang ejekan itu tentulah mereka akan menjawab: “Sesungguhnya kami hanyalah berbual dan bermain”. Katakanlah: “Patutkah nama Allah dan ayatNya serta RasulNya kamu memperolok dan mengejeknya?”
[09:65]


8. Janganlah kamu berdalih dengan alasan yang dusta kerana sesungguhnya kamu telah kufur sesudah kamu melahirkan iman. Jika Kami maafkan sepuak dari kamu kerana mereka bertaubat, maka Kami akan menyeksa puak yang lain kerana mereka adalah orang yang terus bersalah.
[09:66]


9. Orang munafik lelaki dan perempuan, setengahnya adalah sama dengan setengahnya yang lain. Mereka menyuruh dengan perbuatan yang jahat dan melarang perbuatan yang baik. Mereka pula bakhil kedekut. Mereka tidak menghiraukan perintah Allah dan Allah juga tidak menghiraukan mereka. Sesungguhnya orang munafik itu, merekalah orang yang fasik.
[09:67]


10. Allah menjanjikan orang munafik lelaki dan perempuan serta orang kafir dengan neraka Jahannam, mereka kekal di dalamnya. Cukuplah neraka itu menjadi balasan mereka. Allah melaknatkan mereka dan bagi mereka azab seksa yang kekal.
[09:68]


11. Nasib kamu hai orang munafik adalah sama dengan nasib orang sebelum kamu yang telah dibinasakan. Mereka lebih kuat serta lebih banyak harta benda dan anak pinak daripada kamu. Seterusnya mereka telah bersenang dengan bahagian mereka, maka kamu pula telah bersenang dengan bahagian kamu sebagaimana orang yang sebelum kamu itu bersenang dengan bahagiannya. Kamu pula telah memperkatakan perkara yang salah dan dusta sebagaimana mereka memperkatakannya. Mereka yang demikian rosak binasalah amalnya yang baik di dunia dan di akhirat, dan merekalah orang yang rugi.
[09:69]


12. Bukankah telah datang kepada mereka berita orang yang terdahulu, iaitu kaum Nabi Nuh dan Aad dan Thamud dan kaum Nabi Ibrahim dan penduduk negeri Madyan serta negeri-negeri yang telah dibinasakan? Semuanya telah datang kepada mereka Rasul-rasul mereka dengan membawa keterangan yang jelas nyata, lalu mereka mendustakannya dan Tuhan pula membinasakan mereka. Allah tidak sesekali menganiaya mereka tetapi merekalah yang menganiaya diri sendiri.
[09:70]


13. Mereka bersumpah dengan nama Allah bahawa mereka tidak mengatakan sesuatu yang buruk terhadapmu, padahal mereka telah mengatakan perkataan kufur dan mereka pula menjadi kafir sesudah melahirkan Islam, serta mereka berazam untuk melakukan apa yang mereka tidak akan dapat mencapainya. iaitu membunuhmu. Dan tidaklah mereka mencaci dan mencela Islam melainkan setelah Allah dan RasulNya memberi kesenangan kepada mereka dari limpah kurniaNya. Oleh itu, jika mereka bertaubat, mereka akan beroleh kebaikan dan jika mereka berpaling ingkar. Allah akan menyeksa mereka dengan azab seksa yang tidak terperi sakitnya di dunia dan di akhirat dan mereka tidak akan mendapat sesiapa pun di bumi ini yang akan menjadi pelindung dan juga yang menjadi penolong.
[09:74]


14. Dan di antara mereka ada yang membuat janji dengan Allah dengan berkata: “Sesungguhnya jika Allah memberi kepada kami dari limpah kurniaNya, tentulah kami akan bersedekah dan tentulah kami akan menjadi dari orang yang soleh”.
[09:75]


15. Kemudian setelah Allah memberi kepada mereka dari limpah kurniaNya mereka bakhil dengan pemberian Allah itu serta mereka membelakangkan janjinya. Merekalah orang yang sentiasa membelakangkan kebajikan.
[76]


16. Akibatnya Allah menimbulkan perasaan munafik dalam hati mereka berkekalan hingga ke masa mereka menemui Allah, kerana mereka telah memungkiri apa yang mereka janjikan kepada Allah dan juga kerana mereka sentiasa berdusta.
[09:77]


17. Tidakkah mereka mengetahui bahawa Allah sentiasa mengetahui apa yang mereka rahsiakan serta apa yang mereka bisikkan, dan bahawasanya Allah Maha Mengetahui akan perkara yang ghaib? [09:78]


18. Orang munafik yang mencela sebahagian dari orang beriman mengenai sedekah yang mereka berikan dengan sukarela, dan mencela orang yang tidak dapat mengadakan apa-apa untuk disedekahkan kecuali sedikit sekadar kemampuannya, serta mereka mengejeknya, Allah akan membalas ejekan mereka, dan bagi mereka disediakan azab seksa yang tidak terperi sakitnya.
[09:79]


19. Orang manufik itu, sama sahaja engkau meminta ampun untuk mereka atau engkau tidak meminta ampun bagi mereka. Jika engkau Muhammad, meminta ampun bagi mereka tujuh puluh kali sekalipun Allah tidak sesekali mengampunkan mereka. Yang demikian itu kerana mereka telah kufur kepada Allah dan RasulNya. Allah tidak akan memberi hidayah petunjuk kepada kaum yang fasik.
[09:80]


20 Orang munafik yang ditinggalkan tidak turut berperang itu, bersukacita disebabkan mereka tinggal di belakang Rasulullah di Madinah dan mereka sememangnya tidak suka berjihad dengan harta benda dan jiwa mereka pada jalan Allah dengan sebab kufurnya. Mereka pula menghasut dengan berkata: “Janganlah kamu keluar beramai untuk berperang pada musim panas ini”. Katakanla: “Api neraka Jahannam lebih panas membakar”, kalaulah mereka itu orang yang memahami.
[09:81]


21. Bolehlah mereka ketawa sedikit di dunia ini dan mereka akan menangis banyak di akhirat kelak sebagai balasan bagi apa yang mereka telah usahakan.
[09:82]


22. Maka jika Allah mengembalikan engkau kepada segolongan orang yang munafik itu di Madinah, kemudian mereka meminta izin kepadamu untuk keluar turut berperang, maka katakanlah: “Kamu tidak sesekali akan keluar bersamaku selamanya, dan kamu tidak sesekali akan memerangi musuh bersamaku. sesungguhnya kamu telah bersetuju tinggal pada kali yang pertama oleh itu duduklah kamu bersama orang yang tinggal”.
[09:83]


23. Dan janganlah engkau sembahyangkan seorang pun yang mati dari orang munafik itu selamanya dan janganlah engkau berada di tepi kuburnya, kerana sesungguhnya mereka telah kufur kepada Allah dan RasulNya dan mereka mati sedang mereka dalam keadaan fasik derhaka.
[09:84]


24. Janganlah engkau tertarik hati kepada harta benda dan anak mereka, kerana sesungguhnya Allah hanya hendak menyeksa mereka dengannya di dunia dan hendak menjadikan nyawa mereka tercabut sedang mereka dalam keadaan kafir untuk mendapat azab akhirat pula.
[09:85]


25. Dan apabila diturunkan satu surah Al-Quran yang menyuruh mereka: “Berimanlah kamu kepada Allah dan berjihadlah bersama dengan RasulNya”, nescaya orang yang kaya di antara mereka meminta izin kepadamu dengan berkata: “Biarkanlah kami tinggal bersama orang yang tinggal tidak turut berperang”.
[09:86]


26. Mereka suka tinggal bersama orang yang ditinggalkan kerana uzur dan dengan sebab itu hati mereka dimeteraikan atasnya sehingga mereka tidak dapat memahami sesuatu.
[09:87]


27. Mereka tetap tinggal tetapi Rasulullah dan orang yang beriman bersamanya, berjihad dengan harta benda dan jiwa mereka, dan mereka itulah orang yang mendapat kebaikan dan mereka itulah juga yang berjaya.
[09:88]


28. Allah telah menyediakan untuk mereka Syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai, mereka kekal di dalamnya. Yang demikian itulah kemenangan yang besar.
[09:89]


29. Dan datanglah pula orang yang menyatakan uzurnya dari orang “A’raab”, memohon supaya mereka diizinkan tidak turut berperang, sedang orang munafik di antara mereka yang mendustakan Allah dan RasulNya, duduk mendiamkan diri. Oleh itu orang yang kafir di antara mereka akan dikenakan azab seksa yang tidak terperi sakitnya.
[09:90]


30. Sesungguhnya jalan untuk menyalahkan dan mengenakan seksa hanyalah terhadap orang yang meminta izin kepadamu sedang mereka kaya dan mampu. Mereka suka tinggal bersama orang yang ditinggalkan kerana uzur dan dengan sebab itu Allah meteraikan atas hati mereka sehingga mereka tidak dapat mengetahui perkara yang baik.
[09:93]


31. Mereka akan menyatakan uzur kepada kamu apabila kamu kembali kepada mereka dari medan perang. Katakanlah Muhammad: “Janganlah kamu menyatakan uzur lagi, kami tidak sesekali akan percaya kepada kamu. Kerana sesungguhnya Allah telah menerangkan kepada kami akan berita perihal kamu dan Allah serta RasulNya akan melihat amal kamu sama ada kamu kembali beriman atau tetap kufur. Kemudian kamu akan dikembalikan kepada Allah Yang Mengetahui perkara yang ghaib dan yang nyata untuk menerima balasan, lalu Ia menyatakan kepada kamu apa yang kamu telah kerjakan”.
[09:94]


32. Dan di antara orang munafik juga ialah orang yang membina masjid dengan tujuan membahayakan keselamatan orang Islam dan menguatkan keingkaran mereka sendiri serta memecah-belahkan perpaduan orang beriman, dan juga untuk dijadikan tempat intipan bagi orang yang telah memerangi Allah dan RasulNya sebelum itu. Dan apabila tujuan mereka yang buruk itu ketara, mereka akan bersumpah dengan berkata: “Tidaklah yang kami kehendaki dengan mendirikan masjid ini melainkan untuk kebaikan semata-mata”. Padahal Allah menyaksikan, bahawa sesungguhnya mereka adalah berdusta.
[09:107]


33. Jangan engkau sembahyang di masjid itu selama-lamanya, kerana sesungguhnya masjid Qubaa’ yang engkau bina dan didirikan di atas dasar taqwa dari mula wujudnya, sudah sepatutnya engkau sembahyang padanya. Di dalam masjid itu ada orang lelaki yang suka mengambil berat membersih sucikan dirinya dan Allah Mengasihi orang yang membersihkan diri mereka zahir dan batin.
[09:108]


34. Maka adakah orang yang membangunkan masjid yang didirikannya di atas dasar taqwa kepada Allah dan untuk mencari keredaan Allah itu lebih baik ataukah orang yang membangunkan masjid yang didirikannya di tepi jurang yang hampir runtuh, lalu runtuhlah ia dengan yang membangunkannya ke dalam api neraka? Ingatlah, Allah tidak akan memberi hidayah petunjuk kepada orang zalim.
[09:109]


35. Keruntuhan masjid yang dibina oleh mereka yang munafik itu sentiasa menjadi penyakit syak dan keluh-kesah lebih daripada yang sedia ada dalam hati mereka, dan tidak akan habis kecuali apabila hati mereka hancur-luluh dalam tanah. Ingatlah Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana.
[09:110]


36. Apabila diturunkan sesuatu surah dari Al-Quran maka di antara mereka yang munafik bertanya secara mengejek: “Siapakah di antara kamu yang imannya bertambah disebabkan oleh surah ini?” Adapun orang yang beriman, maka surah itu menambahkan iman mereka sedang mereka bergembira dengan turunnya.
[09:124]


37. Adapun orang yang ada penyakit kufur dalam hati mereka maka surah Al-Quran itu menambahkan kekotoran kufur kepada kekotoran kufur yang ada pada mereka dan mereka mati sedang mereka berkeadaan kafir.
[09:125]


38. Patutkah mereka berdegil tidak mahu memperhatikan bahawa mereka dicuba dengan berbagai bencana pada tiap tahun, sekali atau dua kali. Kemudian mereka tidak juga bertaubat dan tidak pula mereka mahu beringat dan insaf?
[09:126]


39. Dan apabila diturunkan satu surah dari Al-Quran mendedahkan keburukan orang munafik itu setengah mereka memandang kepada setengahnya yang lain sambil berkata: “Adakah sesiapa nampak kamu kalau kita undur dari sini?” Kemudian mereka berpaling pergi dengan meninggalkan majlis Nabi. Allah memalingkan hati mereka daripada iman disebabkan mereka kaum yang tidak mahu mengerti.
[09:127]


TAMAT

Tags: At-Taubah, Madinah


No comments:

Post a Comment