Sunday 1 August 2010

YANG BERSELIMUT BANGUNLAH

Inilah arahan yang dibacakan oleh Pensyarah kami pagi tadi. Katanya:

Wahai orang yang berselimut! Bangunlah untuk sembahyang Tahajjud pada waktu malam setelah diruangkan sedikit masa untuk kamu berehat. Buatlah sembahyang itu di separuh dari waktu malam atau kurangkan sedikit dari itu. Ataupun lebihkan sedikit daripadanya. Dan bacalah Al-Quran dengan “Tartil”.

Perlunya engkau dan pengikutmu membiasakan diri dengan ibadat yang berat kepada hawa nafsumu itu, kerana Allah akan menurunkan kepadamu wahyu Al-Quran yang mengandungi perintah yang berat kepada orang yang tidak bersedia menyempurnakannya.

Sembahyang dan ibadat malam lebih kuat kesannya kepada jiwamu dan lebih tetap betul bacaannya. Allah menggalakkan kamu beribadat pada waktu malam, kerana pada siangnya kamu mempunyai urusan yang panjang kira bicaranya.

Sebutlah dengan lidah dan hatimu nama Tuhanmu terus menerus siang dan malam, serta tumpukanlah amal ibadatmu kepadaNya dengan sebulatnya tumpuan.

Allah lah Tuhan yang menguasai timur dan barat, tiada Tuhan melainkan Dia. Maka jadikanlah Dia Penjaga yang menyempurnakan urusanmu.

Dan bersabarlah kamu terhadap apa yang dikatakan oleh mereka yang menentangmu, dan jauhkanlah dirimu dari mereka dengan cara yang sebaiknya. Biarkanlah Allah sahaja yang membalas mereka yang mendustakan bawaanmu itu dan mereka yang berada dalam kemewahan. Berikanlah mereka tempoh sedikit masa, kerana di sisi Allah ada disediakan untuk mereka belenggu dan neraka yang menjulang bersama makanan yang menjadikan mereka tercekik ketika memakannya. Pula ditambah kepada mereka azab seksa yang tidak terperi sakitnya.

Azab tersebut akan berlaku pada hari bumi dan gunung-ganang bergoncang menjadinya hancur lebur bersepah.

Sesungguhnya Allah telah mengutus kepada kamu seorang Rasul yang menjadi saksi terhadap kamu tentang orang yang mematuhi atau menolak seruannya, sebagaimana Allah telah mengutus kepada Firaun seorang Rasul. Tetapi Firaun menderhaka kepada Rasul tersebut, lalu Allah menyeksakannya dengan azab seksa yang seberatnya.

Kalaulah kamu tidak ditimpa azab semasa di dunia, maka bagaimana kamu dapat menjaga dan menyelamatkan diri kamu kalau kamu kufur ingkar, dari azab hari yang huru-haranya menyebabkan kanak-kanak menjadi tua beruban? Dan ketika langit yang demikian besarnya pecah belah dengan sebab kedahsyatan hari tersebut? Ingatlah, janji Allah adalah perkara yang tetap akan dilakukanNya.

Sesungguhnya keterangan yang mengandungi amaran ini menjadi peringatan. Oleh itu sesiapa yang mahukan kebaikan dirinya dapatlah ia mengambil jalan yang membawa kepada Tuhannya dengan iman dan taat.

Tuhanmu tahu yang kamu dan golongan yang bersamamu bangun sembahyang Tahajjud selama kurang dari dua pertiga malam dan selama satu perduanya dan selama satu pertiganya kerana kamu hendak menepati perintah terdahulu. Allah jualah yang menentukan dengan tepat kadar masa malam dan siangnya. Ia tahu bahawa kamu tidak dapat mengira dengan tepat kadar masa itu, lalu Ia menarik balik perintahNya yang terdahulu dengan memberi kemudahan kepada kamu. Oleh itu bacalah yang mudah kamu dapat membacanya dari Al-Quran tatkala kamu sembahyang. Ia juga tahu bahawa ada di antara kamu yang sakit, yang musafir mencari rezeki dari limpah kurnia Allah dan yang berjuang pada jalan Allah membela ugamaNya. Maka bacalah mana-mana yang sudah kamu dapat membacanya dari Al-Quran dan dirikanlah sembahyang serta berikanlah zakat. Berilah pinjaman kepada Allah sebagai pinjaman secara ikhlas.

Ingatlah, apa jua kebaikan yang kamu kerjakan sebagai bekalan untuk diri kamu, tentulah kamu akan mendapat balasannya pada sisi Allah, sebagai balasan yang sebaiknya dan besar pahalanya. Dan mintalah ampun kepada Allah. Sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.

Baca dan dengar seterusnya di sini: 073 Al-Muzzammil