Monday, 15 February 2010

AHLIL KITAB Surah 14 IBRAHIM


AHLIL KITAB
Petikan dari Surah 14 IBRAHIM


14. SURAH IBRAHIM

[14]



1405 Sesungguhnya Kami telah mengutuskan Nabi Musa membawa mukjizat Kami sambil Kami berfirman: "Hendaklah engkau mengeluarkan kaummu dari gelap-gelita kufur kepada cahaya iman, dan ingatkanlah mereka dengan Hari-hari Allah. Sesungguhnya yang demikian itu, mengandungi tanda yang menunjukkan kekuasaan Allah bagi setiap seorang yang kuat bersabar, lagi kuat bersyukur”.


1406 Nabi Musa berkata kepada kaumnya: "Kenanglah nikmat Allah kepada kamu, semasa Ia menyelamatkan kamu dari Firaun dan orangnya yang sentiasa menyeksa kamu dengan berbagai seksa yang buruk. Mereka menyembelih anak lelaki kamu dan membiarkan hidup anak perempuan kamu. Kejadian yang demikian itu mengandungi bala bencana dan cubaan yang besar dari Tuhan kamu".


1407 Dan ingatlah, ketika Tuhan kamu memberitahu: "Demi sesungguhnya! Jika kamu bersyukur nescaya Aku akan tambahi nikmatKu kepada kamu dan demi sesungguhnya, jika kamu kufur ingkar sesungguhnya azabKu amatlah keras".


1408 Nabi Musa berkata: “Kalau kamu dan sesiapa jua yang ada di muka bumi seluruhnya berlaku kufur ingkar, maka hal yang demikian tidak merugikan Allah, kerana sesungguhnya Allah adalah Maha Kaya, lagi Maha Terpuji”.


1409 “Mengapa kamu masih berdegil. Bukankah telah datang kepada kamu khabar berita orang yang terdahulu daripada kamu, iaitu kaum Nabi Nuh dan Aad juga Thamud serta orang yang kemudian daripada mereka? Tiada sesiapapun yang mengetahui bilangan mereka melainkan Allah. Mereka telah didatangi oleh rasul-rasul mereka dengan membawa keterangan yang nyata, lalu mereka meletakkan tangan mereka ke mulut mereka sambil berkata: "Sesungguhnya kami kufur ingkarkan apa yang mengikut dakwaan kamu, kamu diutus membawanya. Dan sesungguhnya kami adalah dalam keadaan yang meragukan terhadap iman dan tauhid yang kamu ajak kami kepadanya".


1410 Rasul-rasul mereka bertanya: "Patutkah berlakunya sebarang keraguan tentang wujudnya Allah yang menciptakan langit dan bumi? Ia menyeru kamu beriman kerana hendak membersih dan melepaskan kamu dari dosa-dosa kamu dan memberi tempoh kepada kamu hingga ke suatu masa yang tertentu”. Mereka menjawab: "Kamu tidak lain hanyalah manusia seperti kami. Kamu bertujuan hendak menyekat kami daripada menyembah apa yang telah disembah oleh datuk nenek kami. Oleh itu, bawalah kepada kami satu bukti yang jelas nyata".


1411 Rasul-rasul mereka berkata kepada mereka: "Kami ini tidak lain hanyalah manusia seperti kamu juga, tetapi Allah melimpahkan kurniaNya kepada sesiapa yang dikehendakiNya dari hambaNya. Kami tiadalah berkuasa membawa kepada kamu sebarang bukti mukjizat melainkan dengan izin Allah. Dengan yang demikian maka kepada Allah jualah hendaknya orang yang beriman berserah diri”.


1412 "Dan mengapa pula kami tidak berserah diri kepada Allah padahal Ia telah menunjukkan jalan untuk setiap seorang dari kami menjalaninya? Dan demi sesungguhnya, kami akan bersabar terhadap segala perbuatan kamu menyakiti kami. Dan dengan yang demikian, maka kepada Allah jualah hendaknya berserah diri orang yang mahu berserah".


1413 Dan berkatalah pula orang yang kafir itu kepada Rasul-rasul mereka: "Demi sesungguhnya, kami akan mengeluarkan kamu dari negeri kami atau kamu menjadi seugama dengan kami". Lalu Tuhan wahyukan, kepada Rasul-rasulNya: "Demi sesungguhnya! Kami akan membinasakan orang yang zalim.


1414 "Dan demi sesungguhnya! kami akan tempatkan kamu di negeri itu sesudah binasanya kaum yang zalim itu. Balasan baik yang demikian adalah bagi orang yang takut akan sikap keadilanKu menghitung amalnya dan takut akan janji azabKu".


1415 Dan Rasul-rasul serta umatnya yang beriman memohon pertolongan kepada Allah untuk mendapat kemenangan dan kecewalah setiap orang yang sombong takbur, lagi bersikap degil dalam keingkarannya.


1416 Di belakangnya disediakan neraka Jahannam dan ia akan diberi minum dari air danur yang keluar dari tubuh ahli neraka.


1417 Ia meminumnya dengan terpaksa dan hampir-hampir tidak dapat diterima oleh tekaknya kerana busuknya dan ia didatangi penderitaan maut dari segala arah, sedang ia tidak pula mati supaya terlepas dari azab seksa itu. Selain dari itu, ada lagi azab seksa yang lebih berat.


TAMAT

Tags: ,

No comments:

Post a Comment