AHLIL KITAB
Dipetik dari Surah 10 Yunus
10. SURAH YUNUS
[10]
1. Mereka berkata bahawa Allah mempunyai anak. Maha Suci Allah dari apa yang mereka katakan itu! Dia lah Yang Maha Kaya, segala yang ada di langit dan yang ada di bumi adalah kepunyaanNya, Tidaklah ada sebarang keterangan di sisi kamu yang membuktikan apa yang kamu dakwakan itu. Mengapa kamu berani mengatakan terhadap Allah, apa yang kamu tidak mengetahuinya? [10:68]
2. Katakanlah Muhammad: “Sesungguhnya orang yang mengadakan sesuatu yang dusta terhadap Allah, tidak akan berjaya”. [69]
3. Apa yang mereka beroleh hanya kesenangan di dunia, kemudian kepada Kamilah tempat kembalinya mereka. Kemudian Kami akan rasakan mereka azab yang berat disebabkan perbuatan kufur yang mereka lakukan. [10:70]
4. Bacakanlah kepada mereka perihal Nabi Nuh, ketika ia berkata kepada kaumnya: “Wahai kaumku! Sekiranya kedudukan aku dalam kalangan kamu dan peringatan yang aku berikan kepada kamu dengan ayat keterangan Allah itu, menjadi keberatan kepada kamu, maka buatlah apa yang kamu hendak buat, kerana kepada Allah jualah aku berserah diri. Oleh itu, tetapkanlah keazaman kamu serta sekutu kamu untuk melakukan rancangan jahat kamu terhadapku. Kemudian janganlah hendaknya rancangan jahat kamu itu kamu jalankan secara tersembunyi tetapi biarlah secara terbuka. Sesudah itu bertindaklah terus terhadapku dan janganlah kamu tunggu lagi”. [10:71]
5. “Oleh itu, jika kamu berpaling membelakangkan peringatanku, maka tidaklah menjadi hal kepadaku kerana aku tidak meminta sebarang balasan daripada kamu mengenai ajaran ugama Allah yang aku sampaikan itu. Balasanku hanyalah dari Allah semata-mata sama ada kamu beriman ataupun kamu ingkar, dan aku pula diperintahkan supaya menjadi orang Islam yang berserah diri bulat-bulat kepada Allah”. [10:72]
6. Mereka tetap juga mendustakan Nabi Nuh, lalu Kami selamatkan dia bersama pengikutnya yang beriman di dalam bahtera, dan kami jadikan mereka pengganti yang memakmurkan bumi serta Kami tenggelamkan orang yang mendustakan ayat-ayat Kami dengan banjir dan taufan sehingga punah-ranah semuanya. Maka lihatlah bagaimana kesudahan orang yang mendustakan ayat-ayat kami setelah diberi amaran. [10:73]
7. Kemudian Kami utuskan sesudah Nabi Nuh beberapa orang Rasul kepada kaum masing-masing. Rasul-rasul itu datang kepada kaum mereka membawa keterangan yang nyata. Dalam pada itu kaum mereka tetap juga tidak mahu beriman kepada apa yang mereka telah mendustakannya sebelum itu. Demikianlah, Kami meteraikan atas hati orang-orang yang melampaui batas. [10:74]
8. Kemudian Kami utuskan sesudah Rasul-rasul itu, Nabi Musa dan Nabi Harun kepada Firaun dan kaumnya dengan membawa ayat-ayat Kami. Firaun dan kaumnya berlaku sombong takbur dan enggan menerimanya dan mereka adalah kaum yang biasa melakukan dosa. [10:75]
9. Oleh sebab itu ketika datang kepada mereka kebenaran dari sisi Kami, berkatalah mereka: “Sesungguhnya ini ialah sihir yang nyata”. [10:76]
10. Mendengarkan yang demikian, Nabi Musa bertanya: “Patutkah kamu berkata demikian terhadap sesuatu kebenaran ketika datangnya kepada kamu? Adakah bawaanku ini sihir? Sedang ahli-ahli sihir itu sudah tetap tidak akan berjaya”. [10:77]
11. Mereka pula berkata: “Adakah engkau datang wahai Musa, untuk memesongkan kami dari penyembahan berhala yang kami dapati datuk nenek kami melakukannya, dan untuk membolehkan kamu berdua membolot kekuasaan di bumi Mesir? Ketahuilah, sebenarnya kami tidak akan beriman kepada kamu berdua”. [10:78]
12. Dan berkatalah Firaun kepada orang-orangnya: “Bawalah kamu kepadaku segala ahli sihir yang mahir”. [10:79]
13. Setelah datang ahli-ahli sihir itu, Nabi Musa berkata kepada mereka: “Campakkanlah kamu dahulu apa yang kamu hendak campakkan diri benda-benda yang kamu jadikan sihir itu!” [10:80]
14. Setelah mereka campakkan benda-benda itu Nabi Musa berkata: “Apa yang kamu datangkan itu, itulah sihir. Sesungguhnya Allah akan mendedahkan kepalsuannya dengan mukjizat yang dikurniakanNya kepadaku. Ssesungguhnya Allah tidak akan menjayakan perbuatan orang yang melakukan kerosakan”. [10:81]
15. “Dan Allah juga sentiasa menetapkan perkara yang benar dengan kalimah perintahNya, walaupun yang demikian dibenci oleh orang yang melakukan dosa”. [10:82]
16. Maka tidaklah ada yang beriman kepada Nabi Musa melainkan sebilangan kecil dari keturunan kaumnya, itupun dengan keadaan takut kepada Firaun dan ketua kaum mereka menyeksa mereka, kerana sesungguhnya Firaun bermaharajalela di bumi, dan sebenarnya ia dari orang yang melampaui batas. [10:83]
17. Dan Nabi Musa pula berkata kepada kaumnya: “Wahai kaumku! Kalau sungguh kamu beriman kepada Allah, maka hendaklah kamu berserah diri kepadaNya, jika betul kamu orang Islam yang berserah diri bulat-bulat kepada Allah”. [10:84]
18. Lalu mereka berkata: “Kepada Allah jualah kami berserah. Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau jadikan kami landasan fitnah kesengsaraan bagi kaum yang zalim ganas. [10:85]
19. “Dan selamatkanlah kami dengan rahmatMu dari angkara kaum yang kafir”. [10:86]
20. Dan setelah itu, Kami wahyukan kepada Nabi Musa serta saudaranya Nabi Harun: “Hendaklah kamu berdua mendirikan rumah-rumah di Mesir untuk menempatkan kaum kamu dan jadikanlah rumah-rumah kamu tempat sembahyang. Serta dirikanlah sembahyang di dalamnya dan sampaikanlah berita gembira kepada orang-orang yang beriman bahawa mereka akan diselamatkan dari kezaliman Firaun dan kaumnya”. [10:87]
21. Nabi Musa pula merayu dengan berkata: “Wahai Tuhan kami! Sesungguhnya Engkau telah memberikan kepada Firaun dan ketua-ketua kaumnya barang perhiasan dan harta benda yang mewah dalam kehidupan dunia ini. Wahai Tuhan kami! Kemewahan yang Engkau berikan kepada mereka akibatnya menyesatkan mereka dari jalanMu dengan sebab kekufuran mereka. Wahai Tuhan kami! Binasakanlah harta benda mereka dan meteraikanlah hati mereka sehingga menjadi keras membatu, maka dengan itu mereka tidak akan dapat beriman sehingga mereka melihat azab yang tidak terperi sakitnya. [10:88]
22. Allah berfirman: “Sesungguhnya telah dikabulkan doa kamu berdua; oleh itu hendaklah kamu tetap menjalankan perintahKu seterusnya dan janganlah kamu menurut jalan orang yang tidak mengetahui (peraturan janjiKu”. [89]
23. Kami bawakan Bani Israil ke seberang Laut Merah lalu dikejar oleh Firaun dan tenteranya, dengan tujuan melakukan kezaliman dan pencerobohan, sehingga apabila Firaun hampir tenggelam berkatalah ia pada saat yang genting itu: “Aku percaya bahawa tiada Tuhan melainkan yang dipercayai oleh Bani Israil, dan aku adalah dari orang yang berserah diri menurut perintah”. [10:90]
24. Allah berfirman: “Adakah sekarang baharu engkau beriman, padahal sesungguhnya engkau dari dahulu telah kufur derhaka, dan engkau telahpun menjadi dari orang yang melakukan kerosakan?” [10:91]
25. “Maka pada hari ini, Kami biarkan engkau hai Firaun, terlepas dengan badanmu yang tidak bernyawa, daripada ditelan laut, untuk menjadi tanda bagi orang yang di belakangmu supaya mereka mengambil iktibar. Dan ingatlah sesungguhnya kebanyakan manusia lalai daripada memerhati dan memikirkan tanda-tanda kekuasaan Kami!”. [10:92]
26. Dan sesungguhnya Kami telah menempatkan Bani Israil di negeri yang baik sesudah Kami binasakan Firaun dan Kami mengurniakan mereka dengan benda-benda yang baik. Mereka tidak berselisihan mengenai Nabi Muhammad melainkan setelah datang kepada mereka pengetahuan dari bukti-bukti yang nyata. Sesungguhnya Tuhanmu akan menghukum di antara mereka pada hari kiamat tentang apa yang mereka perselisihan itu. [10:93]
27. Oleh sebab itu, sekiranya engkau Muhammad, merasa ragu-ragu tentang apa yang Kami turukan kepadamu, maka bertanyalah kepada mereka yang membaca kitab-kitab yang diturunkan dahulu daripadamu kerana mereka mengetahui kebenarannya. Sesungguhnya telah datang kepadamu kebenaran dari Tuhanmu, maka jangan sesekali engkau menjadi dari golongan yang ragu-ragu. [10:94]
28. Dan jangan sesekali engkau menjadi dari golongan yang mendustakan ayat-ayat Allah kerana dengan itu engkau akan menjadi dari orang yang rugi. [10:95]
29. Sesungguhnya orang yang telah ditetapkan atas mereka hukuman Tuhanmu dengan azab, mereka tidak akan beriman. [10:96]
30. Walaupun datang kepada mereka segala jenis keterangan dan tanda-tanda yang membuktikan kekuasaan Allah dan kebenaran Rasul-rasulNya, sehinggalah mereka melihat azab yang tidak terperi sakitnya. [10:97]
31. Dengan kisah Firaun itu maka ada baiknya kalau penduduk sesebuah negeri beriman sebelum mereka ditimpa azab, supaya imannya itu mendatangkan manfaat menyelamatkannya. Hanya kaum Nabi Yunus sahaja yang telah berbuat demikian ketika mereka beriman, Kami elakkan azab sengsara yang membawa kehinaan dalam kehidupan dunia dari menimpa mereka dan Kami berikan mereka menikmati kesenangan sehingga ke suatu masa yang Kami tentukan. [10:98]
TAMAT (Ahlil Kitab dari Surah Yunus)
No comments:
Post a Comment