Saturday, 30 January 2010

AHLIL KITAB - SURAH AN NISAA

AHLIL KITAB

4. An-Nisaa

[04]


Petikan ayat2 dari surah 04 An-Nisaa


1. Di antara orang Yahudi ada yang mengubah atau menukar isi Kitab Taurat dari tempat dan maksudnya yang sebenarnya. Mereka berkata kepada Nabi Muhammad: “Kami dengar” sedangkan dalam hati mereka berkata yang mereka tidak akan menurut. Mereka juga berkata: “Tolonglah dengar, tuan tidak diperdengarkan sesuatu yang buruk” serta mereka mengatakan “Raaeina”. Tujuan mereka hanyalah bagi memutar belitkan perkataan mereka dan mencela ugama Islam. Kalaulah mereka berkata: “Kami dengar dan kami taat dan dengarlah serta berilah perhatian kepada kami” tentulah yang demikian itu lebih baik bagi mereka dan lebih betul. Allah melaknat mereka dengan sebab kekufuran mereka. Mereka tidak beriman kecuali sedikit sahaja di antara mereka.
[4:46]


2. Wahai orang yang diberikan Kitab, berimanlah kamu dengan Al-Quran yang mengesahkan Kitab yang ada pada kamu sebelum Kami menyeksa dengan menghapuskan bentuk muka kamu sehingga berubah menjadi rata tidak bermulut, berhidung dan bermata. Lalu Kami menjadikannya sama seperti rupa sebelah belakang kamu atau Kami melaknatkan kamu sebagaimana Kami telah melaknatkan orang dari kaum kamu yang melanggar larangan bekerja pada hari Sabtu. Ingatlah, perintah Allah itu tetap berlaku.
[4:47]


3. Sesungguhnya Allah tidak mengampunkan dosa syirik mempersekutukanNya dengan sesuatu apajua, dan akan mengampunkan dosa yang lain dari itu bagi sesiapa yang dikehendakiNya menurut aturan SyariatNya. Dan sesiapa yang mempersekutukan Allah dengan sesuatu yang lain, maka sesungguhnya ia telah melakukan dosa yang besar.
[4:48]


4. Tidakkah engkau perhatikan dan merasa pelik kepada orang yang telah diberikan sebahagian dari Kitab Taurat? Mereka percaya kepada benda yang disembah yang lain dari Allah dan kepada Taghut dan mereka pula berkata kepada orang kafir musyrik di Makkah bahawa kaum musyrik itu lebih betul jalan ugamanya daripada orang yang beriman kepada Nabi Muhammad s.a.w.
[4:51]


5. Kaum Yahudi yang demikian sikapnya itulah orang yang dilaknat Allah dan sesiapa yang dilaknat oleh Allah, maka ianya tidak sesekali akan mendapati sesiapa pun yang boleh menolongnya.
[4:52]


6. Patutkah ada bagi kaum Yahudi itu sesuatu bahagian dari kekuasaan memerintah? Tidak, bahkan kalau ada maka sudah tentu mereka tidak akan memberikan sedikitpun kebaikan kepada manusia.
[4:53]


7. Atau patutkah mereka dengki kepada Nabi Muhammad dan umatnya disebabkan nikmat pangkat Nabi dan ugama Islam yang telah diberikan oleh Allah kepada mereka dari limpah kurniaNya? Kerana sesungguhnya Kami telahpun memberi kepada keluarga Ibrahim ugama dan hikmat pangkat Nabi dan kami telah memberi kepada mereka kerajaan yang besar.
[4:54]


8. Di antara kaum Yahudi yang dengki itu ada yang beriman kepada apa yang telah di kurniakan oleh Allah kepada keluarga Nabi Ibrahim itu dan ada pula di antara mereka yang berpaling daripadanya tidak beriman. Cukuplah dengan neraka jahanam yang sentiasa menyala itu menjadi tempat seksa mereka.
[4:55]


9. Tidakkah engkau hairan melihat orang munafik yang mendakwa bahawa mereka telah beriman kepada Al-Quran dan kepada Kitab-kitab terdahulu? Mereka suka hendak berhakim kepada Taghut padahal mereka telah diperintahkan supaya kufur ingkar kepada Taghut itu. Dan Syaitan pula sentiasa hendak menyesatkan mereka dengan kesesatan yang amat jauh.
[4:60]


10. Apabila dikatakan kepada mereka: “Marilah berhakim kepada hukum Al-Quran yang telah diturunkan oleh Allah dan kepada hukum Rasulullah”. Nescaya engkau melihat orang munafik itu berpaling serta menghalang manusia dengan bersungguh daripada menghampirimu.
[4:61]


11. Maka bagaimana halnya apabila mereka ditimpa sesuatu kemalangan disebabkan kesalahan yang mereka buat, kemudian mereka datang kepadamu sambil bersumpah: “Demi Allah, kami tidak sesekali menghendaki melainkan kebaikan dan perdamaian bagi kedua pihak yang berbalah”. [4:62]


12. Allah tahu apa yang ada dalam hati mereka. Oleh itu berpalinglah engkau daripada mereka dan nasihatilah mereka serta katakanlah kepada mereka kata-kata yang boleh memberi kesan pada hati mereka. [4:63]


13. Kami tidak mengutus seseorang Rasul pun melainkan supaya ia ditaati dengan izin Allah. Dan kalaulah mereka ketika menganiaya diri mereka sendiri datang kepadamu Muhammad, lalu memohon ampun kepada Allah, dan Rasulullah juga memohon ampun untuk mereka, tentulah mereka mendapati Allah Maha Penerima taubat, lagi Maha Mengasihani.
[4:64]


14. Maka demi Tuhanmu Muhammad! Mereka tidak disifatkan beriman sehingga mereka menjadikan engkau hakim dalam mana-mana perselisihan yang timbul di antara mereka, kemudian mereka pula tidak merasa di hati mereka sesuatu keberatan dari apa yang telah engkau hukumkan, dan mereka menerima keputusan itu dengan sepenuhnya.
[4:65]


15. Dan sesungguhnya kalau Kami wajibkan kepada mereka dengan perintah membunuh diri mereka sendiri atau keluarlah dari tempat kediaman mereka, nescaya mereka tidak akan melakukannya, kecuali sedikit di antara mereka. Dan sesungguhnya kalau mereka amalkan nasihat pengajaran yang meliputi suruh dan tegah yang telah diberikan kepada mereka, tentulah yang demikian itu lebih baik bagi mereka dan lebih meneguhkan iman mereka.
[4:66]


16. Dan setelah mereka berkeadaan demikian tentulah Kami akan berikan kepada mereka pahala balasan yang amat besar.
[4:67]


17. Dan tentulah Kami pimpin mereka ke jalan yang lurus.
[4:70]


18. Tidakkah engkau hairan melihat orang meminta hendak berperang, kemudian apabila mereka diperintahkan berperang, tiba-tiba sepuak di antara mereka merasa gerun kepada manusia sama seperti mereka merasa gerun kepada azab Allah atau lebih gerun lagi. Lalu mereka merayu kepada Allah dengan berkata: “Wahai Tuhan kami, mengapa Engkau wajibkan kami berperang pada saat ini? Mengapa Engkau tidak biarkan kami hingga ke tempoh yang singkat iaitu akhir hayat kami?” Katakanlah Muhammad: “Harta benda yang menjadi kesenangan di dunia ini adalah sedikit sahaja, dan akhirnya akan lenyap. Balasan hari akhirat itu lebih baik lagi bagi orang yang bertaqwa kerana ia lebih mewah dan kekal selamanya, dan kamu pula tidak akan dianiaya sedikit pun”.
[4:77]


19. Gulongan munafik pula berkata: “Kami taat”, kemudian apabila mereka keluar dari majlismu, segolongan dari mereka memutuskan pada malam hari satu rancangan yang lain daripada pengakuan taat yang mereka katakan kepadamu. Sedang Allah perintahkan malaikat menulis apa yang mereka rancangkan itu. Maka berpalinglah Muhammad daripada mereka dan janganlah dihiraukan apa yang mereka rancangkan, serta berserahlah kepada Allah, kerana cukuplah Allah menjadi Pembela yang memeliharamu dari angkara mereka.
[4:81]


20. Patutkah mereka bersikap demikian, tidak mahu memikirkan isi Al-Quran? Kalaulah Al-Quran itu datangnya bukan dari sisi Allah, nescaya mereka akan dapati perselisihan yang banyak di dalamnya.
[4:82]


21. Dan apabila datang kepada mereka sesuatu berita mengenai keamanan atau kecemasan, mereka terus menghebahkannya. Padahal kalau mereka kembalikan sahaja hal itu kepada Rasulullah dan kepada “Ulil-Amri” orang yang berkuasa di antara mereka, tentulah hal itu dapat diketahui oleh orang yang layak mengambil keputusan mengenainya. Jika tidaklah kerana limpah kurnia Allah dan belas kasihanNya kepada kamu, tentulah kamu terbabas menurut Syaitan kecuali sedikit sahaja, iaitu orang yang teguh imannya dan luas ilmunya di antara kamu.
[4:83]


22. Kamu juga akan dapati golongan yang lain yang berpura-pura Islam supaya mereka beroleh aman dari pihak kamu, dan sebaliknya mereka melahirkan kekufurannya supaya mereka beroleh aman dari pihak kaumnya yang masih kafir. Setiap kali mereka diajak kepada fitnah pencerobohan, mereka segera terjerumus ke dalamnya. Oleh itu, jika mereka tidak membiarkan kamu dan terus mengganggu atau berpihak kepada musuh, dan tidak pula menawarkan perdamaian kepada kamu dan juga tidak menahan tangan mereka daripada memerangi kamu, maka hendaklah kamu bertindak menawan mereka dan membunuh mereka di mana sahaja kamu menemuinya. Kerana merekalah orang yang Kami jadikan bagi kamu alasan yang terang nyata untuk bertindak terhadapnya. [4:91]


23. Mereka yang munafik menunggu berlakunya sesuatu kepada kamu. Kalau kamu mendapat kemenangan dari Allah dalam sesuatu peperangan, berkatalah mereka: “Bukankah kami turut berjuang bersama kamu? Oleh itu kami juga berhak menerima bahagian dari harta rampasan perang”. Jika orang kafir pula mendapat bahagian yang menguntungkan dalam peperangan, berkatalah mereka kepada orang kafir itu: “Bukankah kami turut membantu kamu dan mempertahankan kamu dari serang balas orang yang beriman dengan mendedahkan rahsia perpaduannya?” Maka Allah akan menghakimi di antara kamu semua pada hari kiamat; dan Allah tidak sesekali akan memberi jalan kepada orang kafir untuk membinasakan orang beriman.
[4:141]


24. Sesungguhnya orang munafik itu melakukan tipu daya terhadap ugama Allah dengan perbuatan berpura beriman sedang mereka kafir pada batinnya. Allah pula tetap membalas tipu daya mereka dengan membiarkan mereka dalam keadaan munafik. Mereka pula apabila berdiri hendak sembahyang, mereka berdiri dengan malas. Mereka hanya bertujuan memperlihatkan sembahyangnya kepada manusia supaya disangka bahawa mereka orang yang beriman dan mereka pula tidak mengingati Allah dengan mengerjakan sembahyang melainkan sedikit sekali. [
4:142]


25. Mereka berkeadaan “muzabzab”, tidak mempunyai pendirian yang tetap antara iman dan kufur. Mereka tidak berpihak terus kepada golongan kafir dan tidak pula berpihak kepada golongan yang beriman. Dan sesiapa yang disesatkan oleh Allah, maka engkau Muhammad, tidak sesekali akan mendapat jalan untuk menyelamatkannya.
[4:143]


26. Wahai orang beriman, janganlah kamu mengambil orang kafir menjadi teman rapat dengan meninggalkan orang beriman. Adakah kamu hendak mengadakan alasan yang terang nyata bagi Allah untuk menyeksa kamu?
[144]


27. Sesungguhnya orang munafik itu ditempatkan pada tingkatan yang terkebawah sekali dari lapisan dalam neraka. Dan engkau tidak sesekali akan mendapat sesiapa pun yang boleh menolong mereka.
[4:145]


28. Kecuali orang yang bertaubat dari perbuatan munafik itu dan memperbaiki amalan mereka dan mereka pula berpegang teguh kepada ugama Allah, serta mengerjakan ugama mereka dengan ikhlas kerana Allah. Mereka yang demikian itu ditempatkan bersama orang yang beriman di dalam Syurga. Allah akan memberikan orang yang beriman itu pahala yang amat besar.
[4:146]


29. Sesungguhnya orang yang kufur ingkar kepada Allah dan RasulNya, dan orang yang hendak membezakan iman mereka di antara Allah dan RasulNya, dan orang yang berkata: “Kami beriman kepada setengah Rasul dan kufur ingkar kepada setengahnya yang lain”, serta bertujuan hendak mengambil jalan lain antara iman dan kufur itu:
[150]


30. Mereka itulah orang yang kafir dengan sebenarnya. Dan Kami telah menyediakan bagi mereka yang kafir itu azab seksa yang menghina.
[4:152]


31. Ahli Kitab kaum Yahudi meminta kepadamu Muhammad, supaya engkau menurunkan kepada mereka sebuah Kitab dari langit. Janganlah engkau merasa pelik kerana sesungguhnya mereka telah meminta kepada Nabi Musa lebih besar dari itu. Mereka berkata: “Wahai Musa perlihatkanlah Allah kepada kami dengan nyata supaya kami dapat melihatNya dan percaya kepadaNya”. Lalu mereka disambar oleh petir dengan sebab kezaliman mereka menderhaka kepada Allah. Kemudian mereka pula menyembah patung anak lembu sesudah datang kepada mereka keterangan mukjizat, lalu Kami maafkan mereka dari perbuatan yang sedemikian itu ketika mereka bertaubat. Dan Kami telah memberi kepada Nabi Musa kekuasaan untuk mengalahkan kaum yang kafir itu.
[4:153]


32. Dan Kami telah mengangkat “Gunung Tursina” ke atas mereka disebabkan mereka ingkar akan perjanjian setia mereka mematuhi hukum Taurat dan Kami perintahkan mereka: “Masuklah kamu melalui pintu negeri itu dengan merendah diri” dan Kami juga perintahkan mereka: “Janganlah kamu melanggar perintah larangan yang ditentukan pada hari Sabtu”, dan Kami telah mengambil daripada mereka perjanjian setia yang teguh yang mewajibkan mereka mengerjakan suruhan Allah dan meninggalkan laranganNya.
[4:154]


33. Maka Kami laknatkan mereka dengan sebab mereka mencabuli perjanjian setia mereka, dan mereka kufur ingkar akan ayat keterangan Allah, dan mereka pula membunuh Nabi-nabi dengan tiada sesuatu alasan yang benar, dan mereka juga mengatakan: “Hati kami tertutup tidak dapat menerima ajaran Islam yang dibawa oleh Nabi Muhammad”. Sebenarnya hati mereka tidak tertutup, bahkan Allah telah memeteraikan hati mereka disebabkan kekufuran mereka. Oleh itu mereka tidak beriman kecuali sedikit sahaja di antara mereka.
[4:155]


34. Demikian juga Kami laknatkan mereka dangan sebab kekufuran mereka dan tuduhan mereka terhadap Maryam dengan tuduhan yang amat dustanya.
[4:156]


35. Dan juga disebabkan dakwaan mereka dengan mengatakan: “Sesungguhnya kami telah membunuh Al-Masih Isa Ibni Maryam, Rasul Allah”. Padahal mereka tidak membunuhnya dan tidak memalangnya di kayu palang salib, tetapi diserupakan bagi mereka orang yang mereka bunuh itu seperti Nabi Isa. Sesungguhnya orang yang telah berselisih faham mengenai Nabi Isa, sebenarnya mereka berada dalam keadaan syak-ragu tentang menentukan pembunuhannya. Tiada sesuatu pengetahuan pun bagi mereka mengenainya selain daripada mengikut sangkaan semata-mata dan mereka tidak membunuhnya dengan yakin.
[4:157]


36. Bahkan Allah telah mengangkat Nabi Isa kepadaNya dan adalah Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.
[4:158]


37. Dan tidak ada seorang pun dari kalangan ahli Kitab melainkan ia akan beriman kepada Nabi Isa sebelum matinya dan pada hari kiamat kelak Nabi Isa akan menjadi saksi terhadap mereka.
[4:159]


38. Maka disebabkan kezaliman yang amat besar dari perbuatan orang Yahudi, Kami haramkan atas mereka makanan yang baik-baik yang pernah dihalalkan bagi mereka, dan disebabkan mereka banyak menghalang manusia dari jalan Allah.
[4:160]


39. Dan juga disebabkan mereka mengambil riba padahal mereka telah dilarang melakukannya, dan disebabkan mereka memakan harta orang dengan jalan yang salah secara tipu, judi dan sebagainya. Ingatlah, Kami telah menyediakan bagi orang yang kafir di antara mereka, azab seksa yang tidak terperi sakitnya.
[4:161]


40. Tetapi orang yang teguh serta mendalam ilmu pengetahuannya di antara mereka dan orang yang beriman, sekaliannya beriman dengan Al-Quran, dan kepada apa yang telah diturunkan dahulu daripadamu, khasnya orang yang mendirikan sembahyang, dan yang menunaikan zakat, serta yang beriman kepada Allah dan hari akhirat, mereka itulah yang Kami akan berikan kepadanya pahala balasan yang amat besar.
[4:162]


41. Sungguhnya Kami telah memberikan wahyu kepadamu Muhammad, sebagaimana Kami telah memberikan wahyu kepada Nabi Nuh, dan Nabi-nabi yang diutus kemudian daripadanya. Kami juga telah memberikan wahyu kepada Nabi Ibrahim, Nabi Ismail, Nabi Ishak, Nabi Yaakub, serta Nabi-nabi keturunannya, Nabi Isa, Nabi Ayub, Nabi Yunus, Nabi Harun, Nabi Sulaiman dan juga Kami telah memberikan kepada Nabi Daud Kitab Zabur.
[4:163]


42. Dan Kami telah mengutuskan beberapa orang Rasul yang telah Kami ceritakan kepadamu dahulu sebelum ini dan Rasul-rasul yang tidak Kami ceritakan hal mereka kepadamu. Dan Allah telah berkata-kata kepada Nabi Musa dengan kata-kata secara langsung, tidak ada perantaraan.
[4:164]


43. Rasul-rasul yang Kami telah utuskan itu semuanya pembawa khabar gembira kepada orang yang beriman dan pembawa amaran kepada orang yang kafir dan yang berbuat maksiat, supaya tidak ada bagi manusia sesuatu hujah atau sebarang alasan untuk berdalih pada hari kiamat kelak terhadap Allah sesudah mengutuskan Rasul-rasul itu. Ingatlah, Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.
[4:165]



TAMAT

Tags: an-nisaa, Madinah

No comments:

Post a Comment