Friday, 29 January 2010

AHLIL KITAB AL- I- 'IMRAN


03 AHLIL KITAB

3. Al-i-’Imran

[1]
Alif, Laam, Miim.

Petikan dari Surah 003 Al-I-’Imran


1. Sesungguhnya ugama yang benar dan diredai Allah ialah Islam. Orang Yahudi dan Nasrani tidak berselisih mengenai ugama Islam dan menerimanya melainkan setelah mereka tahu tentang kebenarannya. Perselisihan itu adalah kerana perasaan hasad dengki mereka. Ingatlah, sesiapa yang ingkar kepada ayat Allah, maka Allah segera hitungan hisabNya.
[3:19]

2. Mereka berhujah menyangkal dan membantahmu. Maka katalah: “Aku berserah diriku kepada Allah dan demikian juga pengikutku”. Bertanyalah kepada orang Yahudi dan Nasrani yang diberi Kitab dan orang yang “Ummi” musyrik Arab: “Sudahkah kamu mematuhi dan menurut ugama Islam yang aku bawa itu?” Kemudian jika mereka memeluk Islam, maka sebenarnya mereka telah memperoleh petunjuk. Tetapi jika mereka berpaling tidak mahu menerima Islam, maka sesungguhnya kewajipanmu hanyalah menyampaikan dakwah Islam itu. Ingatlah, Allah sentiasa Melihat tingkah laku sekalian hambaNya. [3:20]

3. Orang yang kufur ingkar akan ayat keterangan Allah dan membunuh Nabi dengan jalan yang tidak benar, serta membunuh orang yang menyeru manusia supaya berlaku adil, maka sampaikanlah berita yang mereka diazab dengan seksa yang tidak terperi sakitnya. [3:21]

4. Mereka itulah orang yang telah rosak amal perbuatannya di dunia dan di akhirat, dan mereka tidak akan memperoleh sesiapa pun yang dapat memberi pertolongan. [3:22]

5. Tidakkah engkau pelik memikirkan sikap orang Yahudi yang telah diberikan Kitab Taurat, dimana Kitab tersebut menyeru mereka supaya dijadikan Taurat sebagai hakim kepada perkara yang timbul di antara mereka. Satu puak dari mereka berpaling ingkar sambil menolak seruan dan hukum Kitab Allah itu. [3:23]

6. Bagaimana pula hal keadaan mereka ketika Kami himpunkan mereka pada hari kiamat di mana akan disempurnakan balasan apa yang mereka telah usahakan, sedang mereka tidak akan dianiaya. [3:24]

7. Demikianlah sebabnya mereka mendakwa berkata bahawa mereka tidak akan disentuh oleh api neraka melainkan beberapa hari sahaja. Mereka sebenarnya telah diperdayakan oleh dakwaan dusta yang mereka telah adakan. [3:25]

8. Ingatlah, ketika isteri Imran berkata: “Tuhanku! Sesungguhnya aku nazarkan kepadaMu anak dalam kandunganku sebagai seorang yang bebas dari segala urusan dunia untuk berkhidmat kepadaMu semata-mata, maka terimalah nazarku. Sesungguhnya Engkaulah Yang Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui”. [3:35]

9. Maka apabila ia melahirkannya, berkatalah ia: “Wahai Tuhanku! Sesungguhnya aku telah melahirkan seorang anak perempuan sedang yang aku harapkan ialah anak lelaki. Memanglah tidak sama anak lelaki dengan anak perempuan. Dan aku telah menamakannya Maryam dan aku melindungi dia dengan peliharaanMu, demikian juga zuriat keturunannya, dari godaan syaitan yang kena rejam, yang dikutuk dan disingkirkan”. [3:36]

10. Maryam yang dinazarkan oleh ibunya diterima Tuhannya dengan baik dan dibesarkannya dengan didikan yang baik, serta diserahkannya untuk dipelihara oleh Nabi Zakaria. Setiap kali Nabi Zakaria masuk menemui Maryam di Mihrab, ia dapati buah-buahan yang luar biasa di sisinya. Nabi Zakaria bertanya:” Wahai Maryam dari mana engkau dapati buah-buahan ini?” Maryam menjawab; “Ialah dari Allah, sesungguhnya Allah memberikan rezeki kepada sesiapa yang dikehendakiNya dengan tidak dikira”. [3:37]

11. Ketika itu Nabi Zakaria berdoa kepada Tuhannya: “Wahai Tuhanku! Kurniakanlah kepadaku zuriat keturunan yang baik. Sesungguhnya Engkau sentiasa Mendengar doa permohonan”. [3:38]

12. Lalu ia diseru oleh malaikat sedang ia berdiri sembahyang di Mihrab: “Bahawasanya Allah memberi khabar yang mengembirakanmu, dengan mengurniakanmu seorang anak lelaki bernama Yahya yang beriman kepada Kalimah Allah dan menjadi ketua, juga menahan diri dari berkahwin, dan akan menjadi Nabi dari orang yang soleh”. [3:39]

13. Nabi Zakaria berkata:” Wahai Tuhanku! Bagaimanakah aku akan beroleh seorang anak, padahal aku telah tua dan isteriku pula mandul?”. Allah berfirman: “Demikianlah keadaannya, Allah melakukan apa yang dikehendakiNya”. [3:40]

14. Nabi Zakaria berkata lagi: “Wahai Tuhanku! Bagikanku tanda menunjukkan isteriku mengandung”. Allah berfirman: “Tandanya ialah engkau tidak akan dapat berkata dengan orang ramai selama tiga hari melainkan dengan isyarat sahaja. Ingatlah kepada Tuhanmu dengan berzikir dan bertasbihlah memuji Allah dengan mengerjakan sembahyang pada waktu malam dan pada waktu pagi”. [3:41]

15. Ingatlah, ketika malaikat berkata: “Wahai Maryam! Sesungguhnya Allah telah memilihmu, dan mensucikanmu, dan telah memilihmu beroleh kemuliaan melebihi perempuan seluruh alam yang sezaman denganmu. [3:42]

16. “Wahai Maryam! Taatlah kepada Tuhanmu dan sujudlah serta rukuklah mengerjakan sembahyang bersama orang yang rukuk”. [3:43]

17. Peristiwa yang demikian ialah berita ghaib yang Kami wahyukan kepadamu Muhammad, sedang engkau tidak ada bersama mereka ketika mereka mengundi siapakah di antara mereka yang akan memelihara Maryam. Dan engkau juga tidak ada bersama mereka ketika mereka berkelahi tentang perkara menjaga dan memelihara Maryam. [3:44]

18. Ingatlah, ketika malaikat berkata: “Wahai Maryam! Bahawasanya Allah memberikan khabar yang mengembirakanmu, dengan mengurniakan seorang anak yang engkau akan kandungkan dengan Kalimah daripada Allah. Nama anak itu: Al-Masih, Isa Ibni Maryam, seorang yang terkemuka di dunia dan di akhirat dan ia juga dari orang yang didampingkan diberi kemuliaan di sisi Allah. [3:45]

19. “Dia akan berkata kepada orang ramai semasa ia masih kecil dalam buaian dan semasa ia dewasa dia adalah dari orang yang soleh”. [3:46]

20. Maryam berkata:” Wahai Tuhanku! Bagaimanakah aku akan beroleh seorang anak, padahal aku tidak pernah disentuh oleh lelaki pun?” Allah berfirman; “Demikianlah keadaannya, Allah menjadikan apa yang dikehendakiNya; apabila Ia berkehendak melaksanakan sesuatu perkara, maka Ia hanyalah berfirman kepadanya: ”Jadilah engkau, lalu menjadilah ia”. [3:47]

21. Dan Allah akan mengajarnya ilmu menulis, dan hukum aturan ugama dan juga kandungan kitab Taurat dan Injil. [3:48]

22. Dan akan melantiknya menjadi Rasul kepada Bani Israil menegaskan: “Aku datang kepada kamu membawa tanda mukjizat dari tuhan kamu, iaitu aku boleh dari tanah liat membentuk dan menjadilah ia seekor burung yang hidup dengan izin Allah. Aku boleh menyembuhkan orang yang buta dan orang yang sopak, dan aku boleh menghidupkan kembali orang yang mati dengan izin Allah. Dan juga aku boleh memberitahu kepada kamu tentang apa yang kamu makan dan apa yang kamu simpan di rumah kamu. Sesungguhnya perkara demikian itu, mengandungi tanda membuktikan kebenaran bahawa aku seorang Rasul yang diutus oleh Allah. [3:49]

23. “Dan juga aku datang kepada kamu untuk mengesahkan kebenaran Kitab Taurat dan untuk menghalalkan perkara yang telah diharamkan kepada kamu terdahulu. Aku juga datang kepada kamu dengan membawa satu mukjizat dari Tuhan kamu. Oleh itu bertaqwalah kamu kepada Allah dan taatlah kepadaku. [3:50]

24. “Sesungguhnya Allah ialah Tuhanku dan Tuhan kamu, oleh itu beribadatlah kamu kepadaNya. Inilah jalan yang lurus”. [3:51]

25. Maka ketika Nabi Isa merasa serta mengetahui dengan yakin akan kekufuran dari mereka kaum Yahudi itu, berkatalah ia: “Siapakah penolongku dalam perjalananku kepada Allah dengan menegakkan ugamaNya?”. Orang “Hawariyyuun” penyokongnya berkata: “Kamilah penolong utusan Allah. Kami telah beriman kepada Allah dan saksikanlah sesungguhnya kami ialah orang Islam yang berserah bulat kepada Allah. [3:52]

26. “Wahai Tuhan kami! Kami telah beriman kepada apa yang telah Engkau turunkan, dan kami mengikut RasulMu. Oleh itu suratkanlah kami beserta orang yang menjadi saksi mengakui keesaanMu dan kebenaran RasulMu”. [3:53]

27. Dan orang Yahudi yang kafir itupun merancangkan tipu daya hendak membunuh Nabi Isa. Allah pula membalas tipu daya mereka. Ingatlah, Allah bijak membalas dan menggagalkan segala jenis tipu daya. [3:54]

28. Ingatlah, ketika Allah berfirman: “Wahai Isa! Sesungguhnya Aku akan mengambilmu dengan sempurna, dan akan mengangkatmu ke sisiKu, dan akan membersihkanmu dari orang kafir dan juga akan menjadikan orang pengikutmu mengatasi orang kafir yang tidak beriman kepadamu hingga ke hari kiamat. Kemudian kepada Akulah tempat kembalinya kamu, lalu Aku menghukum tentang apa yang kamu perselisihkan”. [3:55]

29. Allah akan menyeksa mereka orang kafir itu dengan azab yang amat berat di dunia dan di akhirat, dan mereka pula tidak akan beroleh sesiapa pun yang dapat menolong. [3:56]

30. Adapun orang yang beriman dan mengerjakan amal soleh, Allah akan menyempurnakan pahala mereka. Iingatlah, Allah tidak suka kepada orang yang zalim. [3:57]
31. Demikianlah perihal Nabi Isa, yang Kami membacakannya kepadamu Muhammad. Ianya adalah sebahagian dari hujah keterangan membuktikan kebenarannya dari Al-Quran yang penuh dengan hikmat pengetahuan yang tepat, lagi sentiasa terpelihara. [3:58]

32. Sesungguhnya kejadian Nabi Isa adalah sama seperti kejadian Nabi Adam. Allah telah menciptakan Adam dari tanah lalu berfirman kepadanya: “Jadilah engkau!” maka menjadilah ia. [3:59]

33. Katakanlah: “Wahai Ahli Kitab, marilah kepada satu Kalimah yang bersamaan antara kami dengan kamu, iaitu kita semua tidak menyembah melainkan Allah dan kita tidak sekutukan denganNya sesuatu jua pun. Jangan pula sebahagian dari kita mengambil akan sebahagian yang lain untuk dijadikan orang yang dipuja dan didewakan selain dari Allah”. Kemudian jika Ahli Kitab itu barpaling enggan menerimanya maka katakanlah: “Saksikanlah kamu bahawa sesungguhnya kami adalah orang Islam”. [3:64]

34. Wahai Ahli Kitab! Mengapa kamu berani memperdebatkan tentang ugama Nabi Ibrahim, padahal Taurat dan Injil tidak diturunkan melainkan kemudian daripada zaman Ibrahim. Patutkah kamu berdegil sehingga kamu tidak mahu menggunakan akal? [3:65]

35. Ingatlah! Kamu ini orang bodoh, kamu telah memajukan bantahan tentang perkara yang kamu ada pengetahuan mengenainya yang diterangkan perihalnya dalam Kitab Taurat, maka mengapa kamu membuat bantahan tentang perkara yang tidak ada pada kamu sedikit pengetahuan pun bersabit dengannya? Ingatlah, Allah mengetahui hakikat yang sebenarnya sedang kamu tidak mengetahuinya. [3:66]

36. Nabi Ibrahim itu bukanlah seorang pemeluk ugama Yahudi dan bukanlah ia seorang pemeluk ugama Kristian, tetapi ia seorang yang tetap di atas dasar Tauhid sebagai seorang Muslim yang taat dan berserah bulat-bulat kepada Allah, dan ia pula bukanlah dari orang musyrik. [3:67]

37. Sesungguhnya orang yang hampir sekali kepada Nabi Ibrahim dan berhak mewarisi ugamanya ialah orang yang mengikutinya dan juga Nabi Muhammad ini serta orang yang beriman umat Islam. Ingatlah, Allah ialah Pelindung dan Penolong sekalian orang yang beriman. [3:68]

38. Segolongan dari Ahli Kitab suka dan berangan sekiranya mereka dapat menyesatkan kamu. Padahal mereka tidak akan menyesatkan melainkan diri mereka sendiri. Mereka pula tidak menyedari akibat yang buruk itu. [3:69]

39. Wahai Ahli Kitab! Mengapa kamu kufur ingkarkan ayat keterangan Allah padahal kamu menyaksikan kebenaranNya? [3:70]

40. Wahai Ahli Kitab! Mengapa kamu campur adukkan yang benar dengan yang salah dan kamu pula menyembunyikan kebenaran yang kamu tahu? [3:71]

41. Segolongan dari Ahli Kitab berkata sesama sendiri: “Berimanlah kamu kepada Al-Quran yang diturunkan kepada orang yang beriman itu pada sebelah pagi dan kufur ingkarlah pada petangnya, supaya mereka merasa ragu, lalu kembali menjadi kafir semula”. [3:72]

42. Mereka berkata lagi: “Janganlah kamu percaya melainkan kepada orang yang mengikut ugama kamu”. Katakanlah Muhammad: “Sesungguhnya petunjuk yang sebenarnya ialah petunjuk Allah”. Mereka berkata pula: “Janganlah kamu percaya bahawa akan diberi kepada sesiapa seperti apa yang telah diberikan kepada kamu atau mereka akan dapat mengalahkan hujah kamu di sisi Tuhan kamu”. Katakanlah Muhammad: “Sesungguhnya limpah kurnia itu adalah di tangan Allah, diberikanNya kepada sesiapa yang dikehendakiNya. Allah Maha Luas limpah kurniaNya, lagi Meliputi pengetahuanNya. [3:73]

43. Allah menentukan pemberian rahmatNya itu kepada sesiapa yang dikehendakiNya. Ingatlah, Allah mempunyai limpah kurnia yang besar. [3:74]

44. Dan di antara Ahli Kitab, ada orang yang kalau engkau amanahkan dia menyimpan sejumlah besar harta sekalipun, ia akan mengembalikannya dengan sempurna kepadamu. Ada pula di antara mereka yang kalau engkau amanahkan menyimpan sedinar pun, ia tidak akan mengembalikannya kepadamu kecuali kalau engkau selalu menuntutnya. Yang demikian itu ialah kerana mereka mengatakan: “Tidak ada jalannya kami menanggung dosa mengenai orang yang Ummi dan mereka pula selalu berkata dusta terhadap Allah sedang mereka mengetahui bahawa mereka adalah berdusta. [3:75]

45. Bahkan mereka berdosa memakan hak orang, kerana, sesiapa yang menyempurnakan janjinya mengenai hak orang lain dan bertaqwa, maka sesungguhnya Allah mengasihi orang yang bertaqwa. [3:76]

46. Sesungguhnya orang yang mengutamakan keuntungan dunia yang sedikit dengan menolak janji Allah dan mencabuli sumpah mereka, mereka tidak akan mendapat bahagian yang baik pada hari akhirat. Allah tidak akan berkata dengan mereka dan tidak akan memandang kepada mereka pada hari Kiamat. Juga tidak akan membersihkan mereka dari dosa. Mereka pula akan beroleh azab seksa yang tidak terperi sakitnya. [3:77]

47. Sesungguhnya, di antara Ahli Kitab itu ada Ketua-ketua ugamanya yang memutar lidahnya semasa membaca Kitab Taurat dengan mengubah maknanya, supaya kamu menyangkanya sebahagian dari Kitab Taurat, padahal ia bukanlah dari Kitab itu. Dan mereka pula berkata: “bahawa ia adalah datangnya dari sisi Allah”, padahal ia bukanlah dari sisi Allah. Mereka pula tergamak berkata dusta terhadap Allah sedang mereka mengetahui bahawa mereka adalah berdusta. [3:78]

48. Tidaklah patut bagi seseorang manusia yang Allah berikan kepadanya Kitab ugama dan hikmat serta pangkat Nabi, kemudian ia tergamak mengatakan kepada orang ramai: “Hendaklah kamu menjadi orang yang menyembahku dengan meninggalkan perbuatan menyembah Allah”. Sepatutnya ia berkata: “Hendaklah kamu menjadi orang Rabbaniyin yang hanya menyembah Allah Taala dengan ilmu dan amal yang sempurna, kerana kamu sentiasa mengajarkan isi Kitab Allah itu dan kerana kamu selalu mempelajarinya. [3:79]

49. Dan ia tidak pula patut menyuruh kamu menjadikan malaikat dan Nabi sebagai tuhan. Patutkah ia menyuruh kamu menjadi kufur sesudah kamu menjadi orang Islam? [3:80]

50. Ingatlah, ketika Allah mengambil perjanjian setia dari Nabi-nabi dengan firmanNya: “Sesungguhnya apa jua Kitab dan Hikmat yang Aku berikan kepada kamu, kemudian datang pula kepada Kamu seorang Rasul yang mengesahkan apa yang ada pada kamu, hendaklah kamu beriman kepadanya dan hendaklah kamu menolongnya. Sudahkah kamu mengakui dan sudahkah kamu menerima akan ikatan janjiku secara yang demikian itu?” Mereka menjawab: “Kami berikrar mengakui dan menerimanya”. Allah berfirman lagi: “Jika demikian, maka saksikanlah kamu, dan Aku juga menjadi saksi bersama kamu”. [3:81]

51. Kemudian sesiapa yang berpaling ingkar sesudah mengakui perjanjian setia itu, maka mereka itulah orang yang fasik. [3:82]

52. Patutkah sesudah mengakui dan menerima perjanjian itu, mereka mencari lain dari ugama Allah? Padahal kepadaNyalah tunduk taat sekalian makhluk yang ada di langit dan di bumi, sama ada dengan sukarela ataupun terpaksa, dan kepadaNya lah mereka dikembalikan. [3:83]

53. Segala jenis makanan dahulu adalah halal bagi Bani Israil, kecuali makanan yang diharamkan oleh Nabi Yaakub kepada dirinya sendiri sebelum diturunkan Kitab Taurat. Katakanlah Muhammad: “Jika ada makanan yang diharamkan kepada kamu wahai Bani Israil, sebelum Kitab Taurat diturunkan maka bawalah kamu Kitab Taurat itu kemudian bacalah akan dia, kalau betul kamu orang yang benar. [3:93]

54. Jika tidak, maka sesiapa yang mereka kata dusta terhadap Allah sesudah yang demikian itu, maka mereka itulah orang yang zalim. [3:94]

55. Katakanlah Muhammad: “Benarlah apa yang difirmankan oleh Allah, maka ikutilah kamu akan ugama Nabi Ibrahim yang ikhlas berdasarkan Tauhid, dan bukanlah ia dari orang-orang musyrik. [3:95]

56. Katakanlah: “Wahai Ahli Kitab! Mengapa kamu menghalangi orang yang beriman daripada menurut jalan ugama Islam, kamu hendak menjadikan jalan Allah itu bengkok terpesong, padahal kamu menyaksikan kebenarannya?” Ingatlah, Allah tidak sesekali lalai akan apa yang kamu lakukan. [3:99]

57. Wahai orang beriman! Jika kamu taat akan sesuatu puak dari orang Yahudi dan Nasrani yang diberikan Kitab itu, nescaya mereka akan mengembalikan kamu menjadi orang kafir sesudah kamu beriman. [3:100]

58. (Orang beriman) janganlah kamu menjadi seperti orang Yahudi dan Nasrani yang telah berceri-berai dan berselisihan dalam ugama mereka sesudah datang kepada mereka keterangan yang jelas nyata yang dibawa oleh Nabi-nabi Allah. Mereka yang bersifat demikian, akan beroleh azab seksa yang besar. [3:105]

59. Mereka kaum Yahudi dan Nasrani, tidak sesekali akan membahayakan kamu, kecuali menyakiti perasaan kamu dengan ejekan dan tuduhan yang tidak berasas. Dan jika mereka memerangi kamu, mereka akan berpaling lari membelakangkan kamu kalah dengan sehinanya. Sesudah itu mereka tidak akan mencapai kemenangan. [3:111]

60. Mereka ditimpakan kehinaan dari segala jurusan di mana sahaja mereka berada, kecuali dengan adanya sebab dari Allah dan adanya sebab dari manusia. Dan sudah sepatutnya mereka beroleh kemurkaan dari Allah, dan mereka ditimpakan kemiskinan dari segala jurusan. Yang demikian itu, disebabkan mereka sentiasa kufur ingkar akan ayat Allah perintahNya, dan mereka membunuh Nabi-nabi dengan tiada alasan yang benar. Semuanya itu disebabkan mereka derhaka dan mereka sentiasa mencerobohi hukum Allah. [3:112]

61. Ahli Kitab itu tidaklah sama. Ada golongan yang telah memeluk Islam dan tetap berpegang kepada ugama Allah yang benar. Mereka membaca Al-Quran pada waktu malam, semasa mereka sujud mengerjakan sembahyang. [3:113]

62. Mereka beriman kepada Allah dan hari akhirat, dan menyuruh berbuat segala perkara yang baik dan melarang daripada segala perkara yang salah, buruk dan keji dan mereka pula segera segera pada mengerjakan berbagai kebajikan. Mereka yang demikian sifatnya, adalah dari orang yang soleh. [3:114]

63. Apa sahaja kebajikan yang mereka kerjakan, maka mereka tidak akan diingkari atau disekat dari mendapat pahalanya. Ingatlah, Allah sentiasa mengetahui akan keadaan orang yang bertaqwa. [3:115]

64. Wahai orang yang beriman! Janganlah kamu mengambil orang yang bukan dari kalangan kamu menjadi “orang dalam” yang dipercayai. Mereka tidak akan berhenti-henti berusaha mendatangkan bencana kepada kamu. Mereka sukakan apa yang menyusahkan kamu. Telahpun nyata tanda kebencian mereka pada pertuturan mulutnya, dan apa yang disembunyikan oleh hati mereka lebih besar lagi. Sesungguhnya telah kami jelaskan kepada kamu keterangan itu jika kamu mahu memahaminya. [3:118]

65. Awaslah! Kamu ini adalah orang yang melanggar larangan. Kamu sahajalah yang suka dan percayakan mereka, sedang mereka tidak suka kepada kamu. Kamu juga beriman kepada segala Kitab Allah sedang mereka tidak beriman kepada Al-Quran. Dan apabila mereka bertemu dengan kamu mereka berkata: “Kami beriman”, tetapi apabila mereka berkumpul sesama sendiri, mereka menggigit hujung jari kerana geram marah kepada kamu. Katakanlah Muhammad: “Matilah kamu dengan kemarahan kamu itu”. Sesungguhnya Allah sentiasa mengetahui akan segala isi hati yang ada di dalam dada. [3:119]

66. Kalau kamu beroleh kebaikan, kemakmuran dan kemenangan, maka yang demikian menyakitkan hati mereka dan jika kamu ditimpa bencana, mereka bergembira dengannya. Dan kalau kamu sabar dan bertaqwa, maka tipu daya mereka tidak akan membahayakan kamu sedikitpun. Sesungguhnya Allah meliputi pengetahuanNya akan apa yang mereka lakukan. [3:120]

67. Sesungguhnya Allah telah mendengar perkataan orang Yahudi yang mengatakan bahawasanya Allah miskin dan merekalah orang kaya. Allah akan menuliskan perkataan mereka itu dan perbuatan mereka membunuh Nabi-nabi dengan tidak ada alasan yang membenarkannya dan Allah akan katakan kepada mereka: “Rasalah kamu azab seksa yang sentiasa membakar. [3:181]

68. Azab seksa yang demikian itu ialah disebabkan perbuatan yang telah dilakukan oleh tangan kamu sendiri. Ingatlah, sesungguhnya Allah tidak sesekali berlaku zalim kepada hambanya. [3:182]

69. Orang Yahudi itulah yang berkata: “Sebenarnya Allah telah perintahkan kami supaya kami jangan beriman kepada seseorang Rasul sehingga ia membawa kepada kami korban yang dimakan api”. Katakanlah Muhammad: “Sesungguhnya telah datang kepada kamu beberapa Rasul dahulu daripadaku dengan membawa keterangan mukjizat yang nyata dan dengan korban yang kamu membunuh mereka, jika kamu orang yang benar dalam yang kamu dakwakan itu? [3:183]

70. Oleh itu, jika mereka mendustakanmu wahai Muhammad, maka janganlah engkau berdukacita, kerana sesungguhnya Rasul-rasul yang terdahulu daripadamu telah didustakan juga Mereka telah membawa keterangan mukjizat yang nyata dan Kitab-kitab nasihat pengajaran, serta Kitab Syariat yang terang jelas. [3:184]

71. Ingatlah, ketika Allah mengambil perjanjian setia dari orang yang telah diberikan Kitab iaitu: “Demi sesungguhnya! Hendaklah kamu menerangkan isi Kitab itu kepada umat manusia dan jangan sesekali kamu menyembunyikannya”. Kemudian mereka membuang perjanjian setia itu ke belakang mereka serta mereka menukarnya dengan mengambil faedah dunia yang sedikit. Maka amatlah buruknya apa yang mereka dapati dari penukaran Kalamullah dan janjiNya itu. [3:187]

72. Dan sesungguhnya di antara Ahli Kitab, ada orang yang beriman kepada Allah dan kepada Al-Quran dan juga kepada apa yang diturunkan kepada mereka, sedang mereka khusyuk kepada Allah dengan tidak menukarkan ayat Allah untuk mengambil keuntungan dunia yang sedikit. Mereka itu beroleh pahalanya di sisi Tuhan mereka. Sesungguhnya Allah Amat segera hitungan hisabNya. [3:199]



TAMAT (Ahlil Kitab)

Tags: al-imran, Madinah


No comments:

Post a Comment