Wednesday, 27 January 2010

AHLIL KITAB - SURAH AL- BAQARAH

Petikan Mengenai Ahlil Kitab sebagaimana disebut dalam surah Al - Baqarah:

AHLIL KITAB

1. Berimanlah kamu dengan Al-Quran dan jangan ingkarinya. Janganlah menjadikan ayat2Ku bagi mendapatkan kelebihan yang sedikit faedahnya. Bertaqwalah kepadaKu. Janganlah campur adukkan yang benar itu dengan yang salah dan juga jangan kamu sembunyikan pertkara yang benar.

2. Dirikanlah sembahyang dan keluarkanlah zakat dan rukuklah berjemaah bersama orang yang rukuk.

3. Patutkah kamu menyuruh manusia berbuat baik sedang kamu lupa akan diri kamu sendiri.

4. Kenangkanlah nikmat yang Aku kurniakan kepada kamu dan peliharalah diri dari azab sengsara hari akhirat.

5. Kenangkanlah ketika Kami selamatkan kamu dari Firaun. Kami belahkan Laut Merah untuk kamu lalui bagi melarikan diri dari angkara Firaun yang juga membunuh anak lelaki kamu.

6. Kenangkanlah kamu menyembah patung anak lembu menjadikan kamu orang yang menzalimi dirimu sendiri. Kami kemudiannya maafkan kesalahan kamu supaya kamu bersyukur.

7. Kenangkanlah ketika kamu mahu Musa melihatkan Allah bagimu dan kerana itu kamu disambar petir. Sesudah itu kami sedarkan kamu supaya kamu bersyukur.

8. Kami telah menaungi kamu dengan awan dari panas padang pasir dan Kami turunkan “Mann” dan “Salwa”.

9. Kenangkanlah ketika Nabi Musa memukul batu dengan tongkatnya, lalu terpancutlah dari batu itu dua belas mata air tempat minuman kamu.

10. Kenangkanlah kemudiannya kamu merasa jemu dengan makanan yang disediakan dan meminta yang lain. Dengan sebab itu kamu telah ditimpakan kehinaan dan kepapaan. Kamu kufur mengingkari perintah dan mukjizat, juga membunuh Nabi-nabi tanpa alasan yang benar.

11. Kamu juga membelakangkan perjanjian setia kamu. Jika tidaklah kerana limpah kurnia Allah dan belas kasihanNya kepada kamu, nescaya menjadilah kamu dari golongan orang yang rugi.

12. Kamu juga telah melanggar larangan hari Sabtu, lalu Kami berfirman: “Jadilah kamu kera yang hina”.

13. Ingatlah, ketika Nabi Musa menyuruh kamu menyembelih seekor lembu betina. Persoalan kamu yang banyak itu menyusahkan kamu memperolehinya. Orang mati terbunuh itu apabila dipukul dengan bahagian lembu tadi kembali hidup. Demikianlah Allah menghidupkan semula manusia yang telah mati. Sesudah itu, hati kamu juga menjadi keras seperti batu, bahkan lebih keras lagi.

14. Apabila orang Yahudi bertemu dengan orang beriman, mereka berkata yang mereka telah beriman. Bila sesama sendiri mereka berkata: “Patutkah kamu ceritakan kepada orang Islam apa yang telah diterangkan oleh Allah kepada kamu di dalam Kitab Taurat mengenai kebenaran Nabi Muhammad?”

15. Mereka berani berkata demikian. Tidakkah mereka ketahui bahawasanya Allah mengetahui apa yang mereka rahsiakan dan apa yang mereka lahirkan?

16. Mereka yang buta huruf tidak mengetahui akan isi Kitab Taurat melaiankan melalui penerangan (bohong) ketua mereka dengan sangkaan ianya benar.

17. Kecelakaan besar bagi orang yang mengubah Kitab Taurat dengan rekaan mere,ka sambil mengatakan ianya adalah “dari sisi Allah”. Mereka hanyalah membeli keuntungan dunia yang sedikit.

18. Mereka berkata yang mereka tidak sesekali akan disentuh oleh api neraka kecuali beberapa hari sahaja. Sudahkah mereka mendapat janji Allah tentangnya? Mereka mengatakan sesuatu yang mereka tidak ketahui. Apa yang mereka katakan itu tidaklah benar, kerana sesiapa yang berbuat kejahatan, maka merekalah ahli neraka, tinggal kekal mereka di dalamnya.

19. Kamu telah disuruh berjanji supaya tidak kamu menyembah melainkan Allah, dan berbuat baik kepada kedua ibu bapa, kaum kerabat, anak yatim, orang miskin. Dan untuk berkata kepada sesama manusia perkataan yang baik. Juga mendirikan sembahyang serta beril zakat.

20. Setelah itu kamu berpaling membelakangkan perjanjian setia kamu itu kecuali sebahagian kecil dari kamu.

21. Kamu berjanji supaya kamu tidak menumpahkan darah berbunuhan sesama sendiri dan tidak kamu usir-mengusir sesama sendiri dari kampung masing-masing. Kemudiannya kamu berbunuh-bunuhan dan kamu usir satu puak dari kaum kamu keluar dari kampungnya.

22. Patutkah kamu hanya percaya sebahagian isi Kitab Taurat dan mengingkari bahagian yang lain. Balasan bagi orang yang berbuat demikian itu ialah kehinaan di dunia dan pada hari kiamat mereka akan diazab. Allah tidak lalai akan apa yang kamu lakukan.

23. Mereka itu mengutamakan kehidupan dunia dan kesenangannya dengan meninggalkan perintah Allah yang membawa kebahagiaan dalam kehidupan akhirat.

24. Nabi Musa telah diberi Kitab Taurat dan Allah iringi kemudiannya dengan beberapa orang Rasul. Nabi Isa Ibni Maryam diberi beberapa mukjizat serta diteguhkan kebenarannya dengan Ruhul-Qudus. Patutkah, setiap kali datang Rasul membawa kebenaran yang tidak disukai oleh hawa nafsu kamu, kamu menolaknya sehingga kamu dustakan dan ada yang kamu membunuhnya?

25. Kaum Yahudi berkata bahawa hati mereka tertutup dan tidak dapat menerima Islam. Sebenarnya Allah telah melaknatkan mereka disebabkan kekufuran mereka. Akibatbya itu maka sedikit benar mereka yang beriman.

26. Ketika datangnya Al Quran yang mengesahkan Kitab Taurat mereka, sedangkan sebelum itu mereka memohon kepada Allah kedatangan seorang Nabi pembawa Kitab AL-Quran, mereka telah mengingkarinya. Dengan demikian, laknat Allah menimpa mereka yang kafir ingkar itu.

27. Mereka dengki kerana Allah menurunkan dari limpah kurniaNya kepada sesiapa yang dikehendakiNya yaitu, kepada Nabi Muhammad s.a.w. Dengan itu mereka telah mendapat kemurkaan Allah bertalu-talu dan akan beroleh azab yang menghinakan.

28. Bila disuruh beriman kepada apa yang telah diturunkan oleh Allah kepada Nabi Muhammad, mereka menjawab bahawa mereka hanya beriman kepada Taurat dan akan ingkar kepada Kitab lain. Padahal Al-Quran itu benar lagi mengesahkan Kitab Taurat mereka. Katakanlah bahawa jika demikian mengapa mereka membunuh Nabi-nabi Allah di masa dahulu kalaulah mereka benar-benar orang yang beriman?

29. Sesungguhnya telah datang kepada kamu Nabi Musa membawa keterangan (mukjizat) tetapi kemudian kamu menyembah patung anak lembu sepeninggalannya.

30. Ketika Kami menyuruh mereka mengambil dan mengamalkan ajaran Kitab Taurat dengan bersungguh-sungguh dan mendengar apa yang diperintahkan kepada mereka, mereka menjawab: “Kami dengar dan menderhaka”. Kegemaran menyembah patung anak lembu itu telah mesra dan sebati di dalam hati mereka.

31. Katakanlah kepada mereka bahawa jika syurga itu adalah menjadi hak istimewa untuk mereka sahaja dan tidak boleh dicampuri dengan orang lain seperti yang kamu dakwakan itu, maka bercitalah mati sekarang juga, jika betul kamu orang-orang yang benar. Sudah tentu mereka takut mati kerana sebab dosa-dosa yang telah mereka lakukan.

32. Mereka mahukan hidup seribu tahun, padahal umur sedemikian tidak dapat melepaskan mereka dari azab yang disediakan oleh Allah.

33. Apabila Nabi Muhammad s.a.w. menjelma datang mengesahkan kitab mereka, sebahagian dari mereka telah melemparkan Kitab Allah ke belakang mereka, seolah-olah mereka tidak mengetahui kebenarannya.

34. Banyak Ahli kitab suka sekiranya kamu menjadi kafir semula setelah kamu beriman, kerana dengkinya mereka setelah ternyata kebenaran Nabi Muhammad s.a.w. Maafkanlah dan biarkanlah akan mereka sehingga Allah datangkan perintahNya.

35. Mereka berkata bahawa hanya orang Yahudi dan Nasrani yang akan masuk Syurga. Itulah angan-angan kosong mereka. Suruhlah mereka bawakan keterangan membuktikan kebenaran kata mereka jika mereka benar.

36. Sebenarnya, sesiapa yang menyerahkan dirinya kepada Allah, mematuhi perintahNya sedang ia pula berusaha membaiki amalannya, maka ia akan beroleh pahala dari Tuhannya dan tidaklah merasa bimban berlakunya kejadian yang tidak baik terhadap mereka, dan mereka pula tidak akan berdukacita.

37. Orang Yahudi berkata bahawa orang Nasrani tidak mempunyai pegangan ugama yang benar. Orang Nasrani pula berkata bahawa orang Yahudi tidak mempunyai pegangan ugama yang benar. Padahal mereka membaca Kitab Suci Taurat dan Injil. Gulungan musyrik kaum Jahiliyah yang tidak berilmu pengetahuan pun mengatakan seperti yang dikatakan oleh mereka itu. Allah akan menghukum mereka.

38. Orang Yahudi dan Nasrani tidak akan bersetuju atau suka kepadamu Muhammad sehingga engkau menurut ugama mereka yang terpesong itu. Katakanlah kepada mereka bahawa ugama Islam itulah petunjuk Allah yang benar. Engkau hanyalah menurut kehendak hawa nafsu kamu sesudah datangnya wahyu yang memberi pengetahuan kepadamu tentang kebenaran.

39. Orang yang membaca Kitab dengan sebenar bacaan dan tidak mengubah dan memutarkan maksudnya adalah orang yang beriman Kitab tersebut. Mereka yang mengingkarinya adalah orang yang rugi.

40. Wahai Bani Israil, kenanglah limpah kurnia nikmat Allah. Allah telah melebihkan datuk nenek kamu atas umat yang lain sezaman mereka. Peliharalah diri kamu dari huru-hara hari kiamat.

41. Mereka berkata bahawa jika kamu memeluk ugama Yahudi atau Nasrani, nescaya kamu akan mendapat petunjuk. Katakanlah bahawa orang Islam akan hanya mengikut ugama Nabi Ibrahim di atas dasar Tauhid dan bukanlah dari orang musyrik.

42. Patutkah kaum Yahudi dan Nasrani membuat bantahan terhadap orang Islam kerana pilihan Allah dan pengurniaanNya kepada orang Islam. Padahal Dia lah Tuhan kami dan Tuhan kamu juga. Bagi kamilah faedah amal kami dan bagi kamulah pula faedah amal kamu.

43. Patutkah kamu mengatakan bahawa Nabi Ibrahim, Nabi Ismail, Nabi Ishak, Nabi Yaakub beserta anak2nya, adalah orang Yahudi atau Nasrani, padahal ugama mereka telahpun ada sebelum adanya ugama Yahudi atau ugama Kristian? Tanyalah mereka adakah mereka lebih mengetahui atau Allah? Dan siapakah yang lebih zalim daripada orang yang menyembunyikan keterangan saksi dan bukti yang telah diberikan Allah kepadanya? Ingatlah, Allah tidak sesekali lalai akan apa yang telah kamu lakukan.

44. Mereka itu adalah satu umat yang telah lalu sejarahnya. Bagi mereka balasan apa yang telah mereka usahakan, dan bagi kamu pula balasan apa yang kamu usahakan. Dan kamu tidak akan ditanya atau dipertanggungjawabkan tentang apa yang mereka telah lakukan.

45. Orang Yahudi dan Nasrani yang Kami berikan Kitab itu mengetahui serta mengenalinya Nabi Muhammad SAW dan kebenarannya sebagaimana mereka mengenal anak mereka sendiri. Sesungguhnya sebahagian dari mereka berusaha menyembunyikan kebenaran itu, sedang mereka mengetahui salahnya perbuatan yang demikian.

46. Kebenaran yang datangnya kepadamu dan disembunyikan oleh kaum Yahudi dan Nasrani itu adalah datangnya dari Tuhanmu. Oleh itu jangan sesekali engkau termasuk dalam golongan orang yang ragu2.

47. Sesungguhnya Allah dan sekalian makhluk melaknat mereka yang menyembunyikan apa yang telah diturunkan dari keterangan dan petunjuk hidayah Allah. Kecualilah mereka bertaubat dan memperbaiki amal buruk mereka serta menerangkan apa yang mereka sembunyikan.

48. Bertanyalah kepada Bani Israil berapa banyak keterangan yang telah Kami berikan kepada mereka sedangkan mereka mengingkarnya? Allah berat seksanya kepada sesiapa yang menukar nikmat keterangan Allah dengan mengambil kekufuran sebagai gantinya.

49. Sesudah wafatnya Nabi Musa ketua2 Bani lsrail menyuruh Nabi mereka supaya melantik seorang raja supaya boleh mereka berperang bersamanya pada jalan Allah. Nabi mereka menjawab: “Jika kamu diwajibkan berperang, kamu tidak akan berperang?” Mereka berkata: “Mengapa tidak, sedang kami telah diusir dari kampung halaman kami dan dari anak-anak kami?” Tetapi apabila perang diwajibkan, mereka membelakangkannya, kecuali sebahagian kecil dari mereka. Ingatlah, Allah Maha Mengetahui akan orang-orang yang zalim.

50. Nabi mereka berkata: “Allah telah melantik Talut menjadi raja kamu. Mereka menjawab: “Tak mungkin sedangkan kami lebih berhak dan ia pula tiada harta kekayaan?” Nabi mereka berkata: “Allah memilih Talut menjadi raja kamu dan telah mengurniakannya kelebihan ilmu pengetahuan dan kegagahan tubuh badan”. Ingatlah, Allah jualah yang memberi kuasa pemerintahan kepada sesiapa yang dikehendakiNya. Allah Maha Luas rahmatNya dan pengurniaanNya, lagi meliputi ilmuNya.

51. Nabi mereka berkata lagi: “Talut didatangkan Allah peti Tabut yang mengandungi sesuatu yang memberi ketenteraman jiwa dari Tuhan dan berisi apa yang telah ditinggalkan oleh keluarga Nabi-nabi Musa dan Harun, dibawa oleh malaikat”.

52. Apabila Talut keluar bersama tenteranya ia berkata: “Allah akan menguji kamu dengan sebatang sungai. Sesiapa yang meminum airnya maka bukanlah ia dari pengikutku. Sesiapa yang menceduk satu cedukan dengan tangannya sahaja maka ialah pengikutku”. Sesudah diingatkan demikian mereka meminum juga dari sungai itu dengan sepuasnya, kecuali sebahagian kecil dari mereka. Setelah menyeberangi sungai itu, berkatalah orang yang meminum sepuasnya tadi: “Kami tidak ada daya menentang Jalut dan tenteranya”. Berkata pula orang yang yakin bahawa mereka akan menemui Allah: “Berapa banyak pernah terjadi di mana golongan yang sedikit berjaya menewaskan golongan yang banyak dengan izin Allah dan Allah sentiasa bersama orang yang sabar”.

53. Apabila mereka yang beriman itu keluar menentang Jalut dan tenteranya mereka berdoa: “Wahai Tuhan kami! Limpahkanlah sabar kepada kami dan teguhkanlah tapak pendirian kami serta menangkanlah kami terhadap kaum yang kafir”

54. Mereka dapat mengalahkan tentera Jalut dengan izin Allah. Nabi Daud yang turut serta dalam tentera Talut telah membunuh Jalut. Sesudah itu Allah memberikan Nabi Daud kuasa pemerintahan dan hikmat pangkat kenabian serta diajarkannya apa yang dikehendakiNya.

55. Kalaulah Allah tidak menolak setengah manusia yang ingkar dan derhaka dengan setengahnya yang lain yang beriman dan setia nescaya rosak binasalah bumi ini. Akan tetapi Allah sentiasa melimpah kurniaNya kepada sekalian alam.

56. Itulah ayat keterangan Allah yang kami bacakan kepadamu Muhammad dengan benarnya. Sesungguhnya engkau adalah salah seorang dari Rasul yang diutuskan Allah.


TAMAT
CCCCCCCCCCCCCCCCCCCCCCCCCCCCCCCCCCCCCCCCCCCCCCCCCCCCCCCCCCCCCCCCCC

No comments:

Post a Comment