Tuesday, 5 October 2010

NEGERI MEKAH

90. Al-Balad


Aku bersumpah dengan negeri Makkah ini, sedang engkau Muhammad, tinggal di negeri tersebut sentiasa ditindas.

Demi manusia yang melahirkan zuriat dan zuriat yang dilahirkannya, sesungguhnya Kami telah jadikan manusia sentiasa dalam keadaan menghadapi kesulitan dan kesukaran jasmani dan rohaninya.

Patutkah manusia yang demikian keadaannya terpedaya dengan kekuasaan yang ada padanya dan menyangka bahawa tidak ada sesiapapun yang dapat mengatasi kekuasaannya dan menyeksakannya?

Manusia yang demikian keadaannya tidaklah patut bermegah dengan kekayaannya sambil berkata: “Aku telah habiskan harta benda yang banyak dalam usaha menegakkan nama dan bangsa”.

Adakah ia menyangka bahawa tidak ada sesiapapun yang melihatnya dan mengetahui tujuannya menghabiskan harta bendanya itu?

Mengapa manusia terpedaya dan bermegah? Tidakkah Kami telah menjadikan baginya dua mata untuk ia memerhatikan kekuasaan dan kekayaan Kami? Dan lidah serta dua bibir untuk ia menyempurnakan sebahagian besar dari hajatnya?

Dan Kami telah menunjukkan kepadanya dua jalan iaitu, jalan kebaikan untuk dijalaninya dan jalan kejahatan untuk dijauhi?

Dalam pada itu manusia tidak memilih jalan kebaikan, merempuh masuk mengerjakan amal yang tinggi darjatnya di sisi Tuhan.

Dan apa jalannya engkau dapat mengetahui apa amal yang tinggi darjatnya di sisi Tuhan itu?

Di antara amal itu bagi orang yang mampu, ialah memerdekakan hamba abdi. Atau memberi makan pada hari kelaparan kepada anak yatim dari kaum kerabat atau kepada orang miskin yang terlantar di atas tanah.

Selain dari tidak mengerjakan amal itu, ia tidak pula menjadi gulungan orang yang beriman dan berpesan dengan sabar serta berpesan dengan kasih sayang.

Ketahuilah! Bahawa orang yang beriman serta berusaha mengerjakan amal yang tinggi darjatnya di sisi Tuhan adalah golongan pihak kanan yang akan beroleh Syurga.

Sebaliknya orang yang kufur ingkar akan ayat keterangan Kami, mereka itu ialah golongan pihak kiri yang akan ditimpakan azab seksa neraka yang ditutup rapat supaya kuat bakarannya.


Dengarlah bacaannya:



Al-Balad

Al-Balad


No comments:

Post a Comment