Sunday, 12 December 2010

PERJANJIAN AL AQABAH

Perjanjian di antara Nabi Muhammad s.a.w dengan penduduk Yathrib yang datang ke Mekah tatkala mereka mengerjakan haji pada tahun ke 13 kenabian Muhammad s.a.w.


Sembilan orang dari puak Khazraj dan tiga dari kaum Aus telah dilantik Nabi Muhammad sebagai pembimbing kedua kaum Khazraj dan Aus di Yathrib.

Sejak itu Islam mula berkembang dengan pesatnya terutamanya apabila Nabi Muhammad berpindah ke Yathrib yang kemudiannya dikenali sebagai Kota Madinah Al Munawarah.

Dan bermulalah perkiraan kelender Islam sejak dari penghijrahan Nabi Muhammad s.a.w. ke kota Yathrib/Madinah tersebut.

Petikan dari


Tuesday, 5 October 2010

NEGERI MEKAH

90. Al-Balad


Aku bersumpah dengan negeri Makkah ini, sedang engkau Muhammad, tinggal di negeri tersebut sentiasa ditindas.

Demi manusia yang melahirkan zuriat dan zuriat yang dilahirkannya, sesungguhnya Kami telah jadikan manusia sentiasa dalam keadaan menghadapi kesulitan dan kesukaran jasmani dan rohaninya.

Patutkah manusia yang demikian keadaannya terpedaya dengan kekuasaan yang ada padanya dan menyangka bahawa tidak ada sesiapapun yang dapat mengatasi kekuasaannya dan menyeksakannya?

Manusia yang demikian keadaannya tidaklah patut bermegah dengan kekayaannya sambil berkata: “Aku telah habiskan harta benda yang banyak dalam usaha menegakkan nama dan bangsa”.

Adakah ia menyangka bahawa tidak ada sesiapapun yang melihatnya dan mengetahui tujuannya menghabiskan harta bendanya itu?

Mengapa manusia terpedaya dan bermegah? Tidakkah Kami telah menjadikan baginya dua mata untuk ia memerhatikan kekuasaan dan kekayaan Kami? Dan lidah serta dua bibir untuk ia menyempurnakan sebahagian besar dari hajatnya?

Dan Kami telah menunjukkan kepadanya dua jalan iaitu, jalan kebaikan untuk dijalaninya dan jalan kejahatan untuk dijauhi?

Dalam pada itu manusia tidak memilih jalan kebaikan, merempuh masuk mengerjakan amal yang tinggi darjatnya di sisi Tuhan.

Dan apa jalannya engkau dapat mengetahui apa amal yang tinggi darjatnya di sisi Tuhan itu?

Di antara amal itu bagi orang yang mampu, ialah memerdekakan hamba abdi. Atau memberi makan pada hari kelaparan kepada anak yatim dari kaum kerabat atau kepada orang miskin yang terlantar di atas tanah.

Selain dari tidak mengerjakan amal itu, ia tidak pula menjadi gulungan orang yang beriman dan berpesan dengan sabar serta berpesan dengan kasih sayang.

Ketahuilah! Bahawa orang yang beriman serta berusaha mengerjakan amal yang tinggi darjatnya di sisi Tuhan adalah golongan pihak kanan yang akan beroleh Syurga.

Sebaliknya orang yang kufur ingkar akan ayat keterangan Kami, mereka itu ialah golongan pihak kiri yang akan ditimpakan azab seksa neraka yang ditutup rapat supaya kuat bakarannya.


Dengarlah bacaannya:



Al-Balad

Al-Balad


Thursday, 30 September 2010

MAHA TINGGI

Inilah kesah penerangan yang selalu dibaca oleh Hj Bakar di waktu malam, berbunyi:


Bertasbihlah mensucikan nama Tuhanmu Yang Maha Tinggi dari segala sifat kekurangan. Yang mencipta sekalian makhlukNya serta menyempurnakan kejadiannya dengan kelengkapan yang sesuai dengan keadaannya. Yang mengatur keadaan makhlukNya serta memberikan hidayah petunjuk ke jalan keselamatannya dan kesempurnaannya.

Tuhan Yang mengeluarkan tumbuhhan untuk binatang ternak. Kemudian menjadikan tumbuhan yang menghijau itu kering, berubah warnanya kehitaman.

Allah sentiasa menjadikan Muhammad s.a.w dapat membaca Al-Quran yang diturunkan kepadanya dengan perantaraan jibril, sehingga dia menghafaznya dan tidak lupa. Kecuali apa yang dikehendaki Allah dilupakannya. Sesungguhnya Ia mengetahui segala keadaan yang patut berlaku dan mana yang tersembunyi.

Allah tetap memberi kemudahan kepada Muhammad s.a.w. untuk melaksanakan segala perkara Ugama yang mudah diterima oleh akal yang sihat. Oleh itu berilah peringatan kepada umat manusia dengan ajaran Al-Quran, kalau-kalau peringatan itu berguna dan sudah tentulah ianya berguna. Kerana orang yang takut melanggar perintah Allah akan menerima peringatan itu. Sebaliknya, orang yang sangat celaka akan menjauhinya. Dia lah orang yang akan menderita bakaran neraka yang amat besar azab seksanya. Selain dari itu, ia tidak mati di dalamnya dan tidak pula hidup senang.

Sesungguhnya berjayalah orang yang setelah menerima peringatan itu, berusaha membersihkan dirinya dengan taat dan beramal soleh. Dan menyebut dengan lidah dan hatinya akan nama Tuhannya serta mangerjakan sembahyang dengan khusyuk.

Tetapi kebanyakkan kamu tidak melakukan yang demikian, bahkan kamu utamakan kehidupan dunia. Padahal kehidupan akhirat lebih baik dan lebih kekal.

Sesungguhnya, keterangan yang dinyatakan ini ada disebutkan di dalam Kitab terdahulu. Iaitu Kitab Nabi Ibrahim dan Nabi Musa.

Al-A'la, Mekah

Sunday, 1 August 2010

YANG BERSELIMUT BANGUNLAH

Inilah arahan yang dibacakan oleh Pensyarah kami pagi tadi. Katanya:

Wahai orang yang berselimut! Bangunlah untuk sembahyang Tahajjud pada waktu malam setelah diruangkan sedikit masa untuk kamu berehat. Buatlah sembahyang itu di separuh dari waktu malam atau kurangkan sedikit dari itu. Ataupun lebihkan sedikit daripadanya. Dan bacalah Al-Quran dengan “Tartil”.

Perlunya engkau dan pengikutmu membiasakan diri dengan ibadat yang berat kepada hawa nafsumu itu, kerana Allah akan menurunkan kepadamu wahyu Al-Quran yang mengandungi perintah yang berat kepada orang yang tidak bersedia menyempurnakannya.

Sembahyang dan ibadat malam lebih kuat kesannya kepada jiwamu dan lebih tetap betul bacaannya. Allah menggalakkan kamu beribadat pada waktu malam, kerana pada siangnya kamu mempunyai urusan yang panjang kira bicaranya.

Sebutlah dengan lidah dan hatimu nama Tuhanmu terus menerus siang dan malam, serta tumpukanlah amal ibadatmu kepadaNya dengan sebulatnya tumpuan.

Allah lah Tuhan yang menguasai timur dan barat, tiada Tuhan melainkan Dia. Maka jadikanlah Dia Penjaga yang menyempurnakan urusanmu.

Dan bersabarlah kamu terhadap apa yang dikatakan oleh mereka yang menentangmu, dan jauhkanlah dirimu dari mereka dengan cara yang sebaiknya. Biarkanlah Allah sahaja yang membalas mereka yang mendustakan bawaanmu itu dan mereka yang berada dalam kemewahan. Berikanlah mereka tempoh sedikit masa, kerana di sisi Allah ada disediakan untuk mereka belenggu dan neraka yang menjulang bersama makanan yang menjadikan mereka tercekik ketika memakannya. Pula ditambah kepada mereka azab seksa yang tidak terperi sakitnya.

Azab tersebut akan berlaku pada hari bumi dan gunung-ganang bergoncang menjadinya hancur lebur bersepah.

Sesungguhnya Allah telah mengutus kepada kamu seorang Rasul yang menjadi saksi terhadap kamu tentang orang yang mematuhi atau menolak seruannya, sebagaimana Allah telah mengutus kepada Firaun seorang Rasul. Tetapi Firaun menderhaka kepada Rasul tersebut, lalu Allah menyeksakannya dengan azab seksa yang seberatnya.

Kalaulah kamu tidak ditimpa azab semasa di dunia, maka bagaimana kamu dapat menjaga dan menyelamatkan diri kamu kalau kamu kufur ingkar, dari azab hari yang huru-haranya menyebabkan kanak-kanak menjadi tua beruban? Dan ketika langit yang demikian besarnya pecah belah dengan sebab kedahsyatan hari tersebut? Ingatlah, janji Allah adalah perkara yang tetap akan dilakukanNya.

Sesungguhnya keterangan yang mengandungi amaran ini menjadi peringatan. Oleh itu sesiapa yang mahukan kebaikan dirinya dapatlah ia mengambil jalan yang membawa kepada Tuhannya dengan iman dan taat.

Tuhanmu tahu yang kamu dan golongan yang bersamamu bangun sembahyang Tahajjud selama kurang dari dua pertiga malam dan selama satu perduanya dan selama satu pertiganya kerana kamu hendak menepati perintah terdahulu. Allah jualah yang menentukan dengan tepat kadar masa malam dan siangnya. Ia tahu bahawa kamu tidak dapat mengira dengan tepat kadar masa itu, lalu Ia menarik balik perintahNya yang terdahulu dengan memberi kemudahan kepada kamu. Oleh itu bacalah yang mudah kamu dapat membacanya dari Al-Quran tatkala kamu sembahyang. Ia juga tahu bahawa ada di antara kamu yang sakit, yang musafir mencari rezeki dari limpah kurnia Allah dan yang berjuang pada jalan Allah membela ugamaNya. Maka bacalah mana-mana yang sudah kamu dapat membacanya dari Al-Quran dan dirikanlah sembahyang serta berikanlah zakat. Berilah pinjaman kepada Allah sebagai pinjaman secara ikhlas.

Ingatlah, apa jua kebaikan yang kamu kerjakan sebagai bekalan untuk diri kamu, tentulah kamu akan mendapat balasannya pada sisi Allah, sebagai balasan yang sebaiknya dan besar pahalanya. Dan mintalah ampun kepada Allah. Sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.

Baca dan dengar seterusnya di sini: 073 Al-Muzzammil






Thursday, 10 June 2010

78. An-Naba’

78. An-Naba’ (Berita Besar)

Kaum Qaraisy bertanya2 tentang hari kebangkitan semula yang diperkatakan oleh Nabi Muhammad SAW dalam dakwahnya menyebar agama Islam. Ada diantara mereka yang percaya dan ada yang tak percaya. Dengan itu Surah ini diturunkan bagi menyatakan apa yang dikatakan dengan hari kebangkitan itu supaya mereka tidak perlu berselisih lagi.

Allah telah mencipta berbagai macam ciptaannya dan dengan itu soal Ia membangkit semula manusia yang mati bukanlah satu masaalah bagiNya. Dijelaskan juga apa yang akan terjadi kepada mereka yang kufur (masuk neraka) dan mereka yang taat (masuk syurga). Setelah memberi penjelasan tersebut, maka bergantunglah kepada manusia sendiri untuk memilih kesudahan dirinya sendiri.




Rengkasan

A. Hari Kebangkitan:

[1] Mereka bertanya-tanya tentang berita kebangkitan manusia hidup semula untuk menerima balasan, yang mereka ragu dan berselisihan mengenainya.

[2] Janganlah bersikap demikian. Kamu akan tahu dan yakin tentang kebenarannya nanti tatkala sampai masanya ia menimpa kamu.

B. Kuasa Allah:

[3] Mengapa kamu ragukan kekuasaan Allah menghidupkan semula orang yang dah mati? Bukankah Allah yang menjadikan bumi ini terbentang luas sebagai hamparan? Menjadikan gunung-ganang sebagai pancang pasaknya? Mencipta kamu berpasangan? menjadikan tidur kamu masa untuk berehat? Menjadikan malam yang gelap sebagai pakaian yang melindungi dan menjadikan siang yang terang untuk mencari rezeki?

[4] Allah juga membina di atas kamu tujuh petala langit yang kuat kukuh, menciptakan matahari sebagai lampu terang-benderang cahayanya dan menurunkan dari awan air hujan untuk dikeluarkan dengan air itu, bijian dan tumbuhan serta kebun yang subur.

C. Hari Pemutusan Hukum (Neraka):

[5] Hari pemutusan hukum itu, adalah satu masa yang ditentukan. Tatkala ditiup sangkakala, kamu akan bangkit hidup datang berpuak ke Padang Mahsyar.

[6] Pada masa itu langit pecah sehingga setiap belahannya menjadi ibarat pintu yang terbuka luas. Dan gunung-ganang yang dihancurkan beterbangan ke angkasa menjadi saperti bayangan riak sinaran panas di padang pasir.

[7] Neraka Jahannam pula disediakan untuk kembalinya orang yang melampaui batas. Mereka tinggal di dalamnya berkurun lamanya. Mereka tidak dapat merasai udara yang sejuk di dalamnya, dan mereka tidak memperolihi minuman kecuali air panas yang menggelegak dan air danur.

[8] Inilah sebagai balasan, sesuai dengan amal mereka yang buruk, kerana mereka dahulunya tidak menaruh ingatan terhadap hari hitungan amal dan mereka mendustakan ayat Allah. Setiap sesuatu dari bawaan hidup mereka telah pun Allah hitungkan secara bertulis.

[9] Di dalam neraka akan dikatakan kepada mereka: “Sebab kamu mendustakan ayat Kami maka rasalah kamu azab yang disediakan, kerana Kami tidak akan melakukan selain dari menambah berbagai azab kepada kamu”.

D. Hari Pemutusan Hukum (Syurga):

[10] Orang yang bertaqwa pula disediakan Syurga di mana mereka beroleh apa yang mereka ingini. Mereka akan beroleh taman bunga dan kebun buah-buahan, perawan yang sebaya umurnya serta piala atau gelas yang penuh dengan minuman.

[11] Di Syurga mereka tidak mendengar perkataan yang sia-sia dan yang dusta. Inilah balasan dari Allah, Tuhanmu, iaitu satu limpah kurnia yang dikira cukup menurut yang dijanjikanNya.

E. Hari Pemutusan Hukum:

[12] Tuhan yang mentadbirkan tujuh petala langit dan bumi serta apa yang ada di antara keduanya. Tidak ada sesiapapun diberi kuasa berkata denganNya untuk memohon pertimbangan tentang balasan atau pengurniaan itu. Jibril dan malaikat lainnya berdiri bersaf menunggu perintah Tuhan, tidak ada yang berani berkata memohon pertimbangan melainkan yang telah diizinkanNya.

[13] Itulah keterangan mengenai hari kiamat yang tetap akan berlaku. Maka sesiapa yang mahukan kebaikan dirinya, dapatlah ia mengambil jalan dan cara kembali kepada Tuhannya dengan iman dan amal yang soleh!

[14] Dengan keterangan yang tersebut, Allah memberi amaran mengenai azab yang dekat masa datangnya. Pada hari itu manusia akan melihat apa yang telah diusahakannya.

[15] Dan akan berkatalah orang yang kafir pada hari itu: “Alangkah baiknya kalau aku menjadi tanah supaya aku tidak dibangkitkan untuk dihitung amalku dan menerima balasan”.



Tags: An-Naba', Mekah



78. An-Naba’ (40 ayat)

[1] Tentang apakah mereka bertanya-tanya itu?

[2] Tentang berita besar, berita kebangkitan manusia hidup semula menerima balasan.

[3] Yang mereka ragu dan berselisihan mengenainya.

[4] Jangan! Janganlah mereka bersikap demikian! Mereka akan mengetahui dengan yakin tentang kebenaran hari balasan itu.

[5] Sekali lagi jangan! Janganlah mereka berselisihan! Mereka akan mengetahui kelak tentang apa yang akan menimpa mereka.

[6] Mengapa kamu ragukan kekuasaan Kami menghidupkan semula orang yang telah mati? Bukankah Kami telah menjadikan bumi terbentang luas sebagai hamparan?

[7] Dan gunung-ganang sebagai pancang pasaknya?

[8] Dan Kami telah menciptakan kamu berpasangan?

[9] Dan Kami telah menjadikan tidur kamu untuk berehat?

[10] Dan Kami menjadikan malam yang gelap sebagai pakaian yang melindungi?

[11] Dan Kami menjadikan siang bercahaya terang, masa untuk mencari rezeki?

[12] Dan Kami membina di atas kamu tujuh petala langit yang kuat kukuh?

[13] Dan Kami mengadakan matahari lampu yang terang-benderang cahayanya?

[14] Dan Kami telah menurunkan dari awan, air hujan yang mencurah-curah.

[15] Untuk Kami mengeluarkan dengan air itu, biji-bijian dan tumbuh-tumbuhan.

[16] Serta kebun yang subur bertaut pokoknya?

[17] Sesungguhnya hari pemutusan hukum itu, adalah satu masa yang ditentukan,

[18] Masa ditiup sangkakala, kamu bangkit hidup datang berpuak ke Padang Mahsyar.

[19] Pada masa itu langit dipecah belahkan sehingga setiap belahannya menjadi ibarat pintu yang terbuka luas.

[20] Dan gunung-ganang setelah dihancurkan. diterbangkan ke angkasa, lalu menjadilah ia bayangan seperti riak sinaran panas di padang pasir.

[21] Sesungguhnya neraka Jahannam adalah disediakan.

[22] Untuk orang yang melampaui batas hukum Tuhan, sebagai tempat kembalinya.

[23] Mereka tinggal di dalamnya berkurun-kurun lamanya.

[24] Mereka tidak dapat merasai udara yang sejuk di dalamnya, dan tanpa minuman.

[25] Kecuali air panas yang menggelegak dan air danur yang mengalir.

[26] Sebagai balasan yang sesuai dengan amal mereka yang buruk.

[27] Kerana sesungguhnya mereka dahulu tidak menaruh ingatan terhadap hari hitungan amal,

[28] Dan mereka mendustakan dengan sesungguhnya akan ayat keterangan Kami.

[29] Dan setiap sesuatu dari bawaan hidupnya, telah Kami hitung secara bertulis.

[30] Setelah mereka masuk ke dalam neraka, dikatakan kepada mereka: “Oleh sebab kamu telah mendustakan ayat Kami maka rasalah kamu azab yang disediakan, kerana Kami tidak akan melakukan selain dari menambah berbagai azab kepada kamu”.

[31] Sesungguhnya orang yang bertaqwa, disediakan Syurga tempat mereka beroleh apa yang mereka ingini.

[32] Mereka akan beroleh taman bunga dan kebun buah-buahan, terutama anggur.

[33] Dan perawan yang sebaya umurnya.

[34] Serta piala atau gelas yang penuh dengan minuman.

[35] Mereka tidak mendengar di Syurga itu perkataan yang sia-sia dan yang dusta.

[36] Sebagai balasan dari Tuhanmu, iaitu satu limpah kurnia yang dikira cukup menurut yang dijanjikanNya.

[37] Tuhan yang mentadbirkan tujuh petala langit dan bumi serta apa yang ada di antara keduanya, Tuhan Yang Maha Pemurah. Tidak ada sesiapapun diberi kuasa berkata denganNya untuk memohon pertimbangan tentang balasan atau pengurniaan itu,

[38] Tambahan pula, pada masa Jibril dan malaikat lainnya berdiri bersaf menunggu perintah Tuhan, tidak ada yang berani berkata memohon pertimbangan melainkan yang telah diizinkan baginya oleh Tuhan Yang Maha Pemurah, serta ia berkata benar.

[39] Itulah keterangan mengenai hari kiamat yang sungguh tetap berlakunya. Maka sesiapa yang mahukan kebaikan dirinya, dapatlah ia mengambil jalan dan cara kembali kepada Tuhannya dengan iman dan amal yang soleh!

[40] Sesungguhnya dengan keterangan yang tersebut, Kami memberi amaran kepada kamu mengenai azab yang dekat masa datangnya, iaitu hari seseorang melihat apa yang telah diusahakannya, dan orang yang kafir akan berkata pada hari itu: “Alangkah baiknya kalau aku menjadi tanah supaya aku tidak dibangkitkan untuk dihitung amalku dan menerima balasan”.

Tags: An-Naba', Mekah

Monday, 24 May 2010

85.Al-Buruj

85.Al-Buruj

(Klik dan dengar Surahnya)



Mereka mengali parit dan menyalakan api bagi menyeksa dan membunuh manusia yang beriman kepada Allah.

Sesiapa yang enggan menjadi kufur dan mengikut amalan mereka mendustakan Allah akan dihumbankan ke dalam api tersebut sebagai seksa tidak menurut amalan mereka. Ini termasuklah seorang ibu sedang mendukung anaknya dan merasa was-was untuk terjun memasuki api tersebut apabila dipaksa. Beliau hanya terjun memasuki api tersebut hanya apabila anak kecilnya bercakap menyuruhnya beriman kepada Allah dan jangan menjadi kufur.

Inilah salah satu anak kecil yang boleh berkata2 semasa "dalam buaian". Seorang lagi kanak2 yang berbuat demikian ialah Nabi Isa semasa ibunya ditempelak oleh kaum mereka kerana melahirkan Nabi Isa.