Monday 15 February 2010

015 SURAH AL – HIJR

Rengkasan, 99 ayatnya MAKKAH

15. Al-Hijr (Klik untuk lihat keseluruhan surah)

[15]


1. Alif, Laam, Raa'. Ini ialah ayat-ayat Kitab yang lengkap sempurna dan Al-Quran yang memberi penjelasan. 1501


Orang Kafir:

2. Ada masanya orang yang kafir merasa ingin kalaulah mereka telah menjadi orang Islam. Biarkanlah mereka makan dan bersenang-lenang dengan kemewahan dunia dan dilalaikan oleh angan-angan daripada bertaubat dan insaf, Kemudian mereka akan mengetahui kelak bencana perbuatan mereka. 1502


3. Tiadalah Kami binasakan penduduk sesebuah negeri melainkan ada baginya tempoh yang tertentu dan termaklum. Sesuatu umat itu tidak dapat mendahului tempohnya yang telah ditentukan, dan mereka juga tidak dapat mengundurkannya. 1504


4. Mereka yang ingkar berkata kepada Nabi Muhammad: "Wahai orang yang kepadanya diturunkan Al-Quran, sesungguhnya engkau adalah orang gila. Sepatutnya engkau membawakan malaikat kepada kami untuk menjadi saksi kerasulanmu jika betul engkau dari orang yang benar!" 1506


5. Tiadalah Kami menurunkan Malaikat melainkan dengan cara yang sungguh layak dan berhikmat, dan pada ketika itu mereka yang ingkar tidak akan diberi tempoh lagi. 1508


6. Sebagaimana hati kaum yang telah lalu dimasuki perasaan mempersendakan Rasul-rasul demikianlah pula Kami masukkan perasaan yang seperti itu ke dalam hati orang yang berdosa dan menentangmu. 1512


7. Mereka tidak percaya kepada Al-Quran yang engkau bawa, padahal telahpun berlaku undang-undang membinasakan orang terdahulu yang yang mendustakan Rasul-rasulnya. 1513


8. Kalau Kami bukakan kepada mereka mana-mana pintu langit, kemudian mereka dapat naik melalui pintu itu pada siang hari yang membolehkan mereka menyaksikan segala kenyataan yang ada, tentulah mereka akan mengingkari kenyataan yang benar itu dengan berkata: "Hanya mata kami telah disilapkan penglihatannya bahkan kami adalah kaum yang telah disihirkan oleh Muhammad". 1514


Kuasa Allah:

9. Sesungguhnya Kamilah yang menurunkan Al-Quran, dan Kamilah yang memelihara dan menjaganya. Dan sesungguhnya! Kami utuskan Rasul-rasul sebelummu Muhammad, dalam kalangan kaum yang telah lalu. Tiadalah seseorang Rasul pun yang datang kepada mereka, melainkan mereka mempersenda dan mengejeknya. 1509


10. Demi sesungguhnya! Kami telah menjadikan di langit, bintang-bintang berbagai bentuk dan keadaan serta kami hiasi langit itu bagi orang yang melihatnya. Dan Kami pelihara urusan langit itu dari masuk campur Syaitan yang kena rejam. Kecuali Syaitan yang curi mendengar percakapan malaikat di langit, maka ia diburu dan diikuti dengan rejaman api yang menyala, yang nyata kelihatan. 1516


10. Bumi ini Kami bentangkan dan Kami letakkan padanya gunung-ganang yang kukuh terdiri, serta Kami tumbuhkan padanya setiap sesuatu yang tertentu timbangannya. Dan Kami jadikan untuk kamu pada bumi ini segala keperluan hidup, juga Kami jadikan makhluk yang kamu bukanlah orang yang menyediakan rezekinya. 1519


11. Dan tidak ada sesuatupun melainkan pada sisi Kami sahaja perbendaharaannya dan Kami tidak menurunkannya melainkan dengan menurut kadar dan masa yang tertentu. 1521


12. Dan Kami hantarkan angin sebagai pembawa air dan pemindah benih; maka dengan itu Kami menurunkan air hujan dari langit, kemudian Kami berikan kamu meminumnya. Bukanlah kamu yang berkuasa menurunkannya atau menyimpannya. 1522


13. Sesungguhnya Kamilah yang menghidupkan dan yang mematikan, dan Kamilah yang kekal memiliki segala-galanya. Kami juga mengetahui orang yang segera berbakti di antara kamu dan orang yang lambat. 1523


14. Sesungguhnya Tuhanmu, Dia lah yang menghimpunkan mereka semuanya. Sesungguhnya Ia Maha Bijaksana, lagi Maha Mengetahui. Kami menciptakan manusia Adam dari tanah liat yang kering berasal dari tanah kental yang berubah warna dan baunya. Jin pula, Kami jadikan dia sebelum itu dari angin api yang panasnya menyerap ke liang bulu roma. 1525


15. Khabarkanlah kepada hambaKu Muhammad, bahawa Akulah Yang Maha Pengampun lagi Maha Mengasihani bagi mereka yang bertaubat dan beramal soleh. Dan bahawa azabKu, ialah azab yang tidak terperi sakitnya, bagi mereka yang tetap dalam kederhakaannya. 1549


16. Ingatlah, tiadalah Kami mencipta langit dan bumi serta segala yang ada di antara keduanya itu, melainkan dengan cara yang sungguh layak dan berhikmat dan sesungguhnya hari kiamat itu tetap akan datang. Oleh itu biarkanlah golongan kafir yang mendustakanmu itu wahai Muhammad, serta layanlah mereka dengan cara yang elok. Sesungguhnya Tuhanmu, Dia lah yang menciptakan sekalian makhluk, lagi Yang Maha Mengetahui akan hal mereka. 1585


17. Sesungguhnya Kami telah memberi kepadamu Muhammad, tujuh ayat yang diulang bacaannya dan seluruh Al-Quran yang amat besar kemuliaan dan faedahnya. 1587


Nabi Adam dan Iblis:

18. Ingatkanlah Tuhanmu berfirman kepada malaikat: "Sesungguhnya Aku hendak menciptakan manusia dari tanah liat yang kering, yang berasal dari tanah kental yang berubah warna dan baunya. Kemudian apabila Aku sempurnakan kejadiannya, serta Aku tiupkan padanya roh dari ciptaan ku, maka hendaklah kamu sujud kepadanya. 1528


19. Setelah selesai kejadian Adam maka sujudlah sekalian malaikat, semuanya, melainkan Iblis yang enggan turut bersama mereka sujud. 1530


20. Allah berfirman: “Hai Iblis, apa sebabnya engkau tidak turut bersama mereka yang sujud itu?" Iblis menjawab: "Aku tidak patut sujud kepada manusia yang Engkau jadikan dia dari tanah liat yang kering, yang berasal dari tanah kental yang berubah warna dan baunya". 1532


21. Allah berfirman: "Kalau demikian, keluarlah engkau daripadanya, kerana sesungguhnya engkau dari sekarang ke masa depan adalah satu makhluk yang diusir. Dan sesungguhnya engkau ditimpa laknat terus-menerus hingga ke hari kiamat". 1534


22. Iblis berkata:" Wahai Tuhanku! Jika demikian, berilah tempoh kepadaku hingga ke hari mereka dibangitkan hari kiamat". Allah berfirman: "Dengan permohonanmu itu, maka sesungguhnya engkau dari golongan yang diberi tempoh. Hingga ke hari yang termaklum". 1536


23. Iblis berkata: "Wahai Tuhanku! Kerana Engkau telah menjadikan daku sesat, maka demi sesungguhnya aku akan memperelokkan segala jenis maksiat kepada Adam dan zuriatnya di dunia ini, dan aku akan menyesatkan mereka semuanya. Kecuali di antara zuriat Adam itu hambaMu yang dibersihkan dari sebarang syirik". 1539


24. Allah berfirman: "Inilah satu jalan yang lurus, yang tetap Aku memeliharanya. Sesungguhnya hamba-hambaKu, tidaklah ada bagimu sebarang kuasa untuk menyesatkan mereka, kecuali sesiapa yang menurutmu dan sesat dengan pilihannya sendiri. Sesungguhnya neraka Jahannam itu, tempat dijanjikan bagi sekalian mereka yang menurutmu. Ia mempunyai tujuh pintu; bagi setiap sebuah pintu ada bahagian yang tertentu dari mereka yang sesat dan menyesatkan itu". 1541


25. Sesungguhnya orang yang bertaqwa adalah ditempatkan di dalam beberapa taman Syurga, dengan matair terpancar padanya. Mereka dipersilakan oleh malaikat dengan berkata: "Masuklah kamu ke dalamnya dengan selamat sejahtera serta beroleh aman". Kami cabut akan apa yang ada dihati mereka dari perasaan hasad dengki sehingga menjadilah mereka bersaudara dalam suasana kasih mesra, serta mereka duduk berhadap-hadapan di atas pelamin masing-masing. Mereka tidak akan disentuh susah payah dalam Syurga itu, dan mereka pula tidak sesekali akan dikeluarkan daripadanya. 1545



Nabi Ibrahim:

26. Dan khabarkanlah kepada mereka perihal tetamu Nabi Ibrahim, ketika mereka masuk mendapatkannya lalu memberi salam dengan berkata: "Selamat sejahtera kepadamu!" Ia berkata: "Sesungguhnya kami berasa takut kepada kamu". Mereka menjawab: "Janganlah engkau takut, sebenarnya kami hendak mengembirakanmu dengan berita bahawa engkau akan beroleh seorang anak lelaki yang bakal menjadi seorang yang berilmu". 1551


27. Nabi Ibrahim berkata: "Betulkah kamu mengembirakan daku dengan berita yang demikian padahal aku telah tua. Maka dengan jalan apakah kamu mengembirakan daku?" Mereka menjawab: "Kami mengembirakanmu dengan jalan yang sungguh benar. Oleh itu janganlah engkau menjadi dari orang yang berputus asa". 1554


28. Nabi Ibrahim berkata: "Dan tiadalah sesiapa yang berputus asa dari rahmat Tuhannya melainkan orang yang sesat". 1556


29.Nabi Ibrahim bertanya pula: "Apa hal kamu wahai Utusan Tuhan?" Mereka menjawab: "Kami diutus kepada suatu kaum yang berdosa untuk membinasakan melainkan keluarga Nabi Lut. Sesungguhnya kami akan menyelamatkan mereka semuanya, kecuali isterinya. Kami telah tentukan menurut keputusan Tuhan sesungguhnya ia dari orang yang tinggal menerima kebinasaan". 1557



Nabi Lut:

30. Nabi Ibrahim bertanya pula: "Apa hal kamu wahai Utusan Tuhan?" Mereka menjawab: "Kami diutus kepada suatu kaum yang berdosa untuk membinasakan melainkan keluarga Nabi Lut. Sesungguhnya kami akan menyelamatkan mereka semuanya, kecuali isterinya. Kami telah tentukan menurut keputusan Tuhan. Sesungguhnya ia dari orang yang tinggal menerima kebinasaan". 1557


31. Apabila malaikat utusan itu datang kepada kaum Nabi Lut, Nabi Lut berkata: "Sesungguhnya kamu suatu kaum yang tidak dikenali serta tidak diketahui baiknya kedatangan kamu". Mereka menjawab: "Kedatangan kami bukan untuk mendukacitakanmu, bahkan kami datang kepadamu untuk membawa azab yang mereka meragukan kebenarannya. Juga membawa kepadamu perkara yang benar tentang kebinasaan mereka. Sesungguhnya kami adalah orang yang benar. Oleh itu, bawalah pergi keluargamu pada waktu malam serta ikutlah di belakang mereka dan janganlah seseorang pun di antara kamu berpaling ke belakang serta pergilah terus ke arah yang diperintahkan kamu menujunya". 1561


32. Kami wahyukan kepadanya tentang kesudahan perkara itu, iaitu mereka akan dibinasakan pada waktu pagi, sehingga mereka punah ranah dan terputus keturunannya. 1566


33. Semasa kedatangan mereka datanglah penduduk bandar itu dengan gembira. Nabi Lut berkata: "Sesungguhnya mereka ini tetamuku, maka janganlah kamu memberi malu kepadaku. Dan takutlah kamu kepada Allah serta janganlah kamu menghinakan daku". 1567


34. Mereka menjawab: "Bukankah kami telah melarangmu jangan menerima sebarang tetamu dari orang ramai atau memberi perlindungan kepada mereka?" Nabi Lut berkata: "Di sini ada anak-anak perempuanku, kalaulah kamu mahu melakukan secara halal. Sesungguhnya mereka membuta tuli dalam kemabukan maksiat mereka. Akhirnya merekapun dibinasakan oleh letusan suara yang menggempakan bumi, ketika matahari terbit. Kami jadikan negeri kaum Lut itu tunggang-balik tertimbus segala yang ada di muka buminya dan kami hujani atasnya dengan batu dari tanah yang dibakar. 1570


35. Sesungguhnya balasan azab yang demikian itu, mengandungi tanda bagi orang yang kenalkan sesuatu serta memerhati dan memikirkannya. Sesungguhnya negeri kaum Lut yang telah dibinasakan itu, terletak di jalan yang dilalui orang. Sesungguhnya keadaan yang demikian, mengandungi tanda yang memberi kesedaran kepada orang yang beriman. 1575



Penduduk Aikah dan Al Hijr:

36. Penduduk kampung "Aikah" pula adalah orang yang berlaku zalim. Maka Kami membalas kezaliman mereka itu dengan azab yang membinasakan; dan sesungguhnya kedua itu terletak di jalan yang terang yang masih dilalui orang. 1578


37. Juga sesungguhnya penduduk "Al-Hijr" telah mendustakan Rasul mereka. Kami telah berikan kepada mereka tanda membuktikan kebenaran ugama dan Rasul Kami. Dalam pada itu, mereka terus juga berpaling mengingkarinya. Mereka memahat sebahagian dari gunung-ganang, sebagai tempat tinggal dengan keadaan aman dari bahaya. Meskipun demikian, mereka dibinasakan juga oleh letusan suara yang menggempakan pada bumi waktu pagi. Maka apa yang mereka telah usahakan itu, tidak dapat menolong mereka sedikit pun. 1580



Nasihat dan Panduan:

38. Janganlah engkau menujukan pandanganmu serta menaruh hati kepada nikmat kesenangan yang kami berikan kepada golongan mereka yang kafir itu dan janganlah engkau merasa dukacita terhadap mereka kerana mereka tidak beriman dan tidak dapat menguatkan Islam sebagaimana yang engkau harapkan. Sebaliknya hendaklah engkau merendah diri kepada orang yang beriman sekalipun mereka dari golongan fakir miskin. 1588


39. Dan katakanlah: "Sesungguhnya aku ini, adalah seorang Rasul pemberi amaran dengan bukti nyata tentang turunnya azab ke atas orang yang ingkar". 1589


40. Kami berikan kepadamu Al-Faatihah dan Al-Quran, samalah seperti Kami menurunkan Kitab-kitab kepada orang yang membahagi-bahagi, iaitu mereka yang menjadikan Al-Quran terbahagi kepada beberapa bahagian lalu mereka percaya kepada sebahagian dan menolak sebahagian yang lain. Demi Tuhanmu! Kami akan menyoal mereka yang kafir itu semuanya pada hari kiamat kelak mengenai apa yang mereka telah lakukan. 1590


41. Oleh itu, sampaikanlah secara berterus-terang apa yang diperintahkan kepadamu Muhammad, dan janganlah engkau hiraukan bantahan dan tentangan kaum kafir musyrik itu. Sesungguhnya Kami tetap memelihara dan mengawalmu dari kejahatan orang yang mengejek dan mempersendakanmu, iaitu mereka yang mengadakan tuhan yang lain bersama Allah, maka mereka akan mengetahui kelak akibatnya. 1594


42. Kami tahu, bahawasanya engkau bersusah hati dengan sebab apa yang mereka katakan. Oleh itu, bertasbihlah engkau dengan memuji Tuhanmu, serta jadilah dari orang yang sujud. Dan sembahlah Tuhanmu, sehingga datang kepadamu perkara yang tetap yakin. 1597



TAMAT (Rengkasan Surah)

Tags: Al-Hijr, Mekah

AHLIL KITAB Surah 14 IBRAHIM


AHLIL KITAB
Petikan dari Surah 14 IBRAHIM


14. SURAH IBRAHIM

[14]



1405 Sesungguhnya Kami telah mengutuskan Nabi Musa membawa mukjizat Kami sambil Kami berfirman: "Hendaklah engkau mengeluarkan kaummu dari gelap-gelita kufur kepada cahaya iman, dan ingatkanlah mereka dengan Hari-hari Allah. Sesungguhnya yang demikian itu, mengandungi tanda yang menunjukkan kekuasaan Allah bagi setiap seorang yang kuat bersabar, lagi kuat bersyukur”.


1406 Nabi Musa berkata kepada kaumnya: "Kenanglah nikmat Allah kepada kamu, semasa Ia menyelamatkan kamu dari Firaun dan orangnya yang sentiasa menyeksa kamu dengan berbagai seksa yang buruk. Mereka menyembelih anak lelaki kamu dan membiarkan hidup anak perempuan kamu. Kejadian yang demikian itu mengandungi bala bencana dan cubaan yang besar dari Tuhan kamu".


1407 Dan ingatlah, ketika Tuhan kamu memberitahu: "Demi sesungguhnya! Jika kamu bersyukur nescaya Aku akan tambahi nikmatKu kepada kamu dan demi sesungguhnya, jika kamu kufur ingkar sesungguhnya azabKu amatlah keras".


1408 Nabi Musa berkata: “Kalau kamu dan sesiapa jua yang ada di muka bumi seluruhnya berlaku kufur ingkar, maka hal yang demikian tidak merugikan Allah, kerana sesungguhnya Allah adalah Maha Kaya, lagi Maha Terpuji”.


1409 “Mengapa kamu masih berdegil. Bukankah telah datang kepada kamu khabar berita orang yang terdahulu daripada kamu, iaitu kaum Nabi Nuh dan Aad juga Thamud serta orang yang kemudian daripada mereka? Tiada sesiapapun yang mengetahui bilangan mereka melainkan Allah. Mereka telah didatangi oleh rasul-rasul mereka dengan membawa keterangan yang nyata, lalu mereka meletakkan tangan mereka ke mulut mereka sambil berkata: "Sesungguhnya kami kufur ingkarkan apa yang mengikut dakwaan kamu, kamu diutus membawanya. Dan sesungguhnya kami adalah dalam keadaan yang meragukan terhadap iman dan tauhid yang kamu ajak kami kepadanya".


1410 Rasul-rasul mereka bertanya: "Patutkah berlakunya sebarang keraguan tentang wujudnya Allah yang menciptakan langit dan bumi? Ia menyeru kamu beriman kerana hendak membersih dan melepaskan kamu dari dosa-dosa kamu dan memberi tempoh kepada kamu hingga ke suatu masa yang tertentu”. Mereka menjawab: "Kamu tidak lain hanyalah manusia seperti kami. Kamu bertujuan hendak menyekat kami daripada menyembah apa yang telah disembah oleh datuk nenek kami. Oleh itu, bawalah kepada kami satu bukti yang jelas nyata".


1411 Rasul-rasul mereka berkata kepada mereka: "Kami ini tidak lain hanyalah manusia seperti kamu juga, tetapi Allah melimpahkan kurniaNya kepada sesiapa yang dikehendakiNya dari hambaNya. Kami tiadalah berkuasa membawa kepada kamu sebarang bukti mukjizat melainkan dengan izin Allah. Dengan yang demikian maka kepada Allah jualah hendaknya orang yang beriman berserah diri”.


1412 "Dan mengapa pula kami tidak berserah diri kepada Allah padahal Ia telah menunjukkan jalan untuk setiap seorang dari kami menjalaninya? Dan demi sesungguhnya, kami akan bersabar terhadap segala perbuatan kamu menyakiti kami. Dan dengan yang demikian, maka kepada Allah jualah hendaknya berserah diri orang yang mahu berserah".


1413 Dan berkatalah pula orang yang kafir itu kepada Rasul-rasul mereka: "Demi sesungguhnya, kami akan mengeluarkan kamu dari negeri kami atau kamu menjadi seugama dengan kami". Lalu Tuhan wahyukan, kepada Rasul-rasulNya: "Demi sesungguhnya! Kami akan membinasakan orang yang zalim.


1414 "Dan demi sesungguhnya! kami akan tempatkan kamu di negeri itu sesudah binasanya kaum yang zalim itu. Balasan baik yang demikian adalah bagi orang yang takut akan sikap keadilanKu menghitung amalnya dan takut akan janji azabKu".


1415 Dan Rasul-rasul serta umatnya yang beriman memohon pertolongan kepada Allah untuk mendapat kemenangan dan kecewalah setiap orang yang sombong takbur, lagi bersikap degil dalam keingkarannya.


1416 Di belakangnya disediakan neraka Jahannam dan ia akan diberi minum dari air danur yang keluar dari tubuh ahli neraka.


1417 Ia meminumnya dengan terpaksa dan hampir-hampir tidak dapat diterima oleh tekaknya kerana busuknya dan ia didatangi penderitaan maut dari segala arah, sedang ia tidak pula mati supaya terlepas dari azab seksa itu. Selain dari itu, ada lagi azab seksa yang lebih berat.


TAMAT

Tags: ,

Sunday 14 February 2010

AHLIL KITAB Surah 11 HUD

AHLIL KITAB

Petikan dari Surah 11. Hud


11. SURAH HUD

[11]



[11:96] Dan sesungguhnya kami telah mengutuskan Nabi Musa dengan membawa ayat-ayat keterangan Kami dan bukti mukjizat yang nyata:


[11:97] Kepada Firaun dan kaumnya, lalu kaum Firaun menurut perintah Firaun, sedang perintahnya itu bukanlah perintah yang betul.


[11:98] Firaun akan mengetuai kaumnya pada hari kiamat kemudian tetaplah ia akan membawa mereka masuk ke neraka. Dan seburuk-buruk tempat yang dimasuki ialah neraka.


[11:99] Dan mereka diiringi oleh laknat yang tidak putus-putus di dunia ini, dan pada hari kiamat. Sebenarnya laknat itu adalah seburuk-buruk pemberian yang diberikan.



TAMAT

Tags: Hud, Mekah

AHLIL KITAB SURAH 10 YUNUS

AHLIL KITAB

Dipetik dari Surah 10 Yunus


10. SURAH YUNUS

[10]


1. Mereka berkata bahawa Allah mempunyai anak. Maha Suci Allah dari apa yang mereka katakan itu! Dia lah Yang Maha Kaya, segala yang ada di langit dan yang ada di bumi adalah kepunyaanNya, Tidaklah ada sebarang keterangan di sisi kamu yang membuktikan apa yang kamu dakwakan itu. Mengapa kamu berani mengatakan terhadap Allah, apa yang kamu tidak mengetahuinya?
[10:68]


2. Katakanlah Muhammad: “Sesungguhnya orang yang mengadakan sesuatu yang dusta terhadap Allah, tidak akan berjaya”.
[69]


3. Apa yang mereka beroleh hanya kesenangan di dunia, kemudian kepada Kamilah tempat kembalinya mereka. Kemudian Kami akan rasakan mereka azab yang berat disebabkan perbuatan kufur yang mereka lakukan.
[10:70]


4. Bacakanlah kepada mereka perihal Nabi Nuh, ketika ia berkata kepada kaumnya: “Wahai kaumku! Sekiranya kedudukan aku dalam kalangan kamu dan peringatan yang aku berikan kepada kamu dengan ayat keterangan Allah itu, menjadi keberatan kepada kamu, maka buatlah apa yang kamu hendak buat, kerana kepada Allah jualah aku berserah diri. Oleh itu, tetapkanlah keazaman kamu serta sekutu kamu untuk melakukan rancangan jahat kamu terhadapku. Kemudian janganlah hendaknya rancangan jahat kamu itu kamu jalankan secara tersembunyi tetapi biarlah secara terbuka. Sesudah itu bertindaklah terus terhadapku dan janganlah kamu tunggu lagi”.
[10:71]


5. “Oleh itu, jika kamu berpaling membelakangkan peringatanku, maka tidaklah menjadi hal kepadaku kerana aku tidak meminta sebarang balasan daripada kamu mengenai ajaran ugama Allah yang aku sampaikan itu. Balasanku hanyalah dari Allah semata-mata sama ada kamu beriman ataupun kamu ingkar, dan aku pula diperintahkan supaya menjadi orang Islam yang berserah diri bulat-bulat kepada Allah”.
[10:72]


6. Mereka tetap juga mendustakan Nabi Nuh, lalu Kami selamatkan dia bersama pengikutnya yang beriman di dalam bahtera, dan kami jadikan mereka pengganti yang memakmurkan bumi serta Kami tenggelamkan orang yang mendustakan ayat-ayat Kami dengan banjir dan taufan sehingga punah-ranah semuanya. Maka lihatlah bagaimana kesudahan orang yang mendustakan ayat-ayat kami setelah diberi amaran.
[10:73]


7. Kemudian Kami utuskan sesudah Nabi Nuh beberapa orang Rasul kepada kaum masing-masing. Rasul-rasul itu datang kepada kaum mereka membawa keterangan yang nyata. Dalam pada itu kaum mereka tetap juga tidak mahu beriman kepada apa yang mereka telah mendustakannya sebelum itu. Demikianlah, Kami meteraikan atas hati orang-orang yang melampaui batas.
[10:74]


8. Kemudian Kami utuskan sesudah Rasul-rasul itu, Nabi Musa dan Nabi Harun kepada Firaun dan kaumnya dengan membawa ayat-ayat Kami. Firaun dan kaumnya berlaku sombong takbur dan enggan menerimanya dan mereka adalah kaum yang biasa melakukan dosa.
[10:75]


9. Oleh sebab itu ketika datang kepada mereka kebenaran dari sisi Kami, berkatalah mereka: “Sesungguhnya ini ialah sihir yang nyata”.
[10:76]


10. Mendengarkan yang demikian, Nabi Musa bertanya: “Patutkah kamu berkata demikian terhadap sesuatu kebenaran ketika datangnya kepada kamu? Adakah bawaanku ini sihir? Sedang ahli-ahli sihir itu sudah tetap tidak akan berjaya”.
[10:77]


11. Mereka pula berkata: “Adakah engkau datang wahai Musa, untuk memesongkan kami dari penyembahan berhala yang kami dapati datuk nenek kami melakukannya, dan untuk membolehkan kamu berdua membolot kekuasaan di bumi Mesir? Ketahuilah, sebenarnya kami tidak akan beriman kepada kamu berdua”.
[10:78]


12. Dan berkatalah Firaun kepada orang-orangnya: “Bawalah kamu kepadaku segala ahli sihir yang mahir”.
[10:79]


13. Setelah datang ahli-ahli sihir itu, Nabi Musa berkata kepada mereka: “Campakkanlah kamu dahulu apa yang kamu hendak campakkan diri benda-benda yang kamu jadikan sihir itu!”
[10:80]


14. Setelah mereka campakkan benda-benda itu Nabi Musa berkata: “Apa yang kamu datangkan itu, itulah sihir. Sesungguhnya Allah akan mendedahkan kepalsuannya dengan mukjizat yang dikurniakanNya kepadaku. Ssesungguhnya Allah tidak akan menjayakan perbuatan orang yang melakukan kerosakan”.
[10:81]


15. “Dan Allah juga sentiasa menetapkan perkara yang benar dengan kalimah perintahNya, walaupun yang demikian dibenci oleh orang yang melakukan dosa”.
[10:82]


16. Maka tidaklah ada yang beriman kepada Nabi Musa melainkan sebilangan kecil dari keturunan kaumnya, itupun dengan keadaan takut kepada Firaun dan ketua kaum mereka menyeksa mereka, kerana sesungguhnya Firaun bermaharajalela di bumi, dan sebenarnya ia dari orang yang melampaui batas.
[10:83]


17. Dan Nabi Musa pula berkata kepada kaumnya: “Wahai kaumku! Kalau sungguh kamu beriman kepada Allah, maka hendaklah kamu berserah diri kepadaNya, jika betul kamu orang Islam yang berserah diri bulat-bulat kepada Allah”.
[10:84]


18. Lalu mereka berkata: “Kepada Allah jualah kami berserah. Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau jadikan kami landasan fitnah kesengsaraan bagi kaum yang zalim ganas.
[10:85]


19. “Dan selamatkanlah kami dengan rahmatMu dari angkara kaum yang kafir”.
[10:86]


20. Dan setelah itu, Kami wahyukan kepada Nabi Musa serta saudaranya Nabi Harun: “Hendaklah kamu berdua mendirikan rumah-rumah di Mesir untuk menempatkan kaum kamu dan jadikanlah rumah-rumah kamu tempat sembahyang. Serta dirikanlah sembahyang di dalamnya dan sampaikanlah berita gembira kepada orang-orang yang beriman bahawa mereka akan diselamatkan dari kezaliman Firaun dan kaumnya”.
[10:87]



21. Nabi Musa pula merayu dengan berkata: “Wahai Tuhan kami! Sesungguhnya Engkau telah memberikan kepada Firaun dan ketua-ketua kaumnya barang perhiasan dan harta benda yang mewah dalam kehidupan dunia ini. Wahai Tuhan kami! Kemewahan yang Engkau berikan kepada mereka akibatnya menyesatkan mereka dari jalanMu dengan sebab kekufuran mereka. Wahai Tuhan kami! Binasakanlah harta benda mereka dan meteraikanlah hati mereka sehingga menjadi keras membatu, maka dengan itu mereka tidak akan dapat beriman sehingga mereka melihat azab yang tidak terperi sakitnya.
[10:88]


22. Allah berfirman: “Sesungguhnya telah dikabulkan doa kamu berdua; oleh itu hendaklah kamu tetap menjalankan perintahKu seterusnya dan janganlah kamu menurut jalan orang yang tidak mengetahui (peraturan janjiKu”.
[89]


23. Kami bawakan Bani Israil ke seberang Laut Merah lalu dikejar oleh Firaun dan tenteranya, dengan tujuan melakukan kezaliman dan pencerobohan, sehingga apabila Firaun hampir tenggelam berkatalah ia pada saat yang genting itu: “Aku percaya bahawa tiada Tuhan melainkan yang dipercayai oleh Bani Israil, dan aku adalah dari orang yang berserah diri menurut perintah”.
[10:90]


24. Allah berfirman: “Adakah sekarang baharu engkau beriman, padahal sesungguhnya engkau dari dahulu telah kufur derhaka, dan engkau telahpun menjadi dari orang yang melakukan kerosakan?”
[10:91]


25. “Maka pada hari ini, Kami biarkan engkau hai Firaun, terlepas dengan badanmu yang tidak bernyawa, daripada ditelan laut, untuk menjadi tanda bagi orang yang di belakangmu supaya mereka mengambil iktibar. Dan ingatlah sesungguhnya kebanyakan manusia lalai daripada memerhati dan memikirkan tanda-tanda kekuasaan Kami!”.
[10:92]


26. Dan sesungguhnya Kami telah menempatkan Bani Israil di negeri yang baik sesudah Kami binasakan Firaun dan Kami mengurniakan mereka dengan benda-benda yang baik. Mereka tidak berselisihan mengenai Nabi Muhammad melainkan setelah datang kepada mereka pengetahuan dari bukti-bukti yang nyata. Sesungguhnya Tuhanmu akan menghukum di antara mereka pada hari kiamat tentang apa yang mereka perselisihan itu.
[10:93]


27. Oleh sebab itu, sekiranya engkau Muhammad, merasa ragu-ragu tentang apa yang Kami turukan kepadamu, maka bertanyalah kepada mereka yang membaca kitab-kitab yang diturunkan dahulu daripadamu kerana mereka mengetahui kebenarannya. Sesungguhnya telah datang kepadamu kebenaran dari Tuhanmu, maka jangan sesekali engkau menjadi dari golongan yang ragu-ragu.
[10:94]


28. Dan jangan sesekali engkau menjadi dari golongan yang mendustakan ayat-ayat Allah kerana dengan itu engkau akan menjadi dari orang yang rugi.
[10:95]


29. Sesungguhnya orang yang telah ditetapkan atas mereka hukuman Tuhanmu dengan azab, mereka tidak akan beriman.
[10:96]


30. Walaupun datang kepada mereka segala jenis keterangan dan tanda-tanda yang membuktikan kekuasaan Allah dan kebenaran Rasul-rasulNya, sehinggalah mereka melihat azab yang tidak terperi sakitnya.
[10:97]


31. Dengan kisah Firaun itu maka ada baiknya kalau penduduk sesebuah negeri beriman sebelum mereka ditimpa azab, supaya imannya itu mendatangkan manfaat menyelamatkannya. Hanya kaum Nabi Yunus sahaja yang telah berbuat demikian ketika mereka beriman, Kami elakkan azab sengsara yang membawa kehinaan dalam kehidupan dunia dari menimpa mereka dan Kami berikan mereka menikmati kesenangan sehingga ke suatu masa yang Kami tentukan.
[10:98]



TAMAT (Ahlil Kitab dari Surah Yunus)


Tags: Mekah, Yunus

Saturday 13 February 2010

009 SURAH AT- TAUBAH

AHLIL KITAB

Petikan dari Surah 09 At-Taubah



009 SURAH AT- TAUBAH

[09]


1. Orang Yahudi berkata bahawa Uzair ialah anak Allah dan orang Nasrani berkata Al-Masih ialah anak Allah. Demikianlah perkataan mereka dengan mulut mereka sendiri, iaitu mereka menyamai perkataan orang kafir terdahulu. Semoga Allah binasakan mereka. Bagaimanakah mereka berpaling dari kebenaran?
[09:30]


2. Mereka menjadikan pendita dan ahli ugama mereka sebagai pendidik selain Allah, dan mempertuhankan Al-Masih ibni Maryam, padahal mereka tidak diperintahkan melainkan menyembah Tuhan Yang Maha Esa. Tiada Tuhan yang berhak disembah melainkan Dia. Maha Suci Allah dari yang mereka sekutukan.
[09:31]


3. Mereka hendak memadamkan cahaya ugama Islam dengan mulut mereka, sedang Allah tidak menghendaki melainkan menyempurnakan cahayaNya, sekalipun orang kafir tidak suka akan yang demikian.
[09:32]


4. Wahai orang yang beriman! Sesungguhnya banyak di antara pendita dan ahli ugama Yahudi dan Nasrani memakan harta orang ramai dengan cara yang salah dan mereka menghalangi manusia dari jalan ugama Islam. Ingatlah orang yang menyimpan emas dan perak serta tidak membelanjakannya pada jalan Allah, maka khabarkanlah kepada mereka dengan balasan azab seksa yang tidak terperi sakitnya.
[09:34]


5. Di antara mereka yang munafik itu ada orang yang menyakiti Nabi sambil mereka berkata: “Bahawa Nabi Muhammad suka mendengar dan percaya pada apa yang didengarnya”. Katakanlah: “Dia mendengar dan percaya apa yang baik bagi kamu, ia beriman kepada Allah dan percaya kepada orang mukmin dan ia pula menjadi rahmat bagi orang yang beriman di antara kamu”. Dan orang yang menyakiti Rasulullah itu, bagi mereka azab seksa yang tidak terperi sakitnya.
[09:61]


6. Orang munafik itu takut kalau diturunkan satu surah Al-Quran yang menerangkan apa yang ada dalam hati mereka. Katakanlah Muhammad: “Ejeklah seberapa yang kamu suka, sesungguhnya Allah akan mendedahkan apa yang kamu takut terdedah untuk pengetahuan ramai”.
[09:64]


7. Dan jika engkau bertanya kepada mereka tentang ejekan itu tentulah mereka akan menjawab: “Sesungguhnya kami hanyalah berbual dan bermain”. Katakanlah: “Patutkah nama Allah dan ayatNya serta RasulNya kamu memperolok dan mengejeknya?”
[09:65]


8. Janganlah kamu berdalih dengan alasan yang dusta kerana sesungguhnya kamu telah kufur sesudah kamu melahirkan iman. Jika Kami maafkan sepuak dari kamu kerana mereka bertaubat, maka Kami akan menyeksa puak yang lain kerana mereka adalah orang yang terus bersalah.
[09:66]


9. Orang munafik lelaki dan perempuan, setengahnya adalah sama dengan setengahnya yang lain. Mereka menyuruh dengan perbuatan yang jahat dan melarang perbuatan yang baik. Mereka pula bakhil kedekut. Mereka tidak menghiraukan perintah Allah dan Allah juga tidak menghiraukan mereka. Sesungguhnya orang munafik itu, merekalah orang yang fasik.
[09:67]


10. Allah menjanjikan orang munafik lelaki dan perempuan serta orang kafir dengan neraka Jahannam, mereka kekal di dalamnya. Cukuplah neraka itu menjadi balasan mereka. Allah melaknatkan mereka dan bagi mereka azab seksa yang kekal.
[09:68]


11. Nasib kamu hai orang munafik adalah sama dengan nasib orang sebelum kamu yang telah dibinasakan. Mereka lebih kuat serta lebih banyak harta benda dan anak pinak daripada kamu. Seterusnya mereka telah bersenang dengan bahagian mereka, maka kamu pula telah bersenang dengan bahagian kamu sebagaimana orang yang sebelum kamu itu bersenang dengan bahagiannya. Kamu pula telah memperkatakan perkara yang salah dan dusta sebagaimana mereka memperkatakannya. Mereka yang demikian rosak binasalah amalnya yang baik di dunia dan di akhirat, dan merekalah orang yang rugi.
[09:69]


12. Bukankah telah datang kepada mereka berita orang yang terdahulu, iaitu kaum Nabi Nuh dan Aad dan Thamud dan kaum Nabi Ibrahim dan penduduk negeri Madyan serta negeri-negeri yang telah dibinasakan? Semuanya telah datang kepada mereka Rasul-rasul mereka dengan membawa keterangan yang jelas nyata, lalu mereka mendustakannya dan Tuhan pula membinasakan mereka. Allah tidak sesekali menganiaya mereka tetapi merekalah yang menganiaya diri sendiri.
[09:70]


13. Mereka bersumpah dengan nama Allah bahawa mereka tidak mengatakan sesuatu yang buruk terhadapmu, padahal mereka telah mengatakan perkataan kufur dan mereka pula menjadi kafir sesudah melahirkan Islam, serta mereka berazam untuk melakukan apa yang mereka tidak akan dapat mencapainya. iaitu membunuhmu. Dan tidaklah mereka mencaci dan mencela Islam melainkan setelah Allah dan RasulNya memberi kesenangan kepada mereka dari limpah kurniaNya. Oleh itu, jika mereka bertaubat, mereka akan beroleh kebaikan dan jika mereka berpaling ingkar. Allah akan menyeksa mereka dengan azab seksa yang tidak terperi sakitnya di dunia dan di akhirat dan mereka tidak akan mendapat sesiapa pun di bumi ini yang akan menjadi pelindung dan juga yang menjadi penolong.
[09:74]


14. Dan di antara mereka ada yang membuat janji dengan Allah dengan berkata: “Sesungguhnya jika Allah memberi kepada kami dari limpah kurniaNya, tentulah kami akan bersedekah dan tentulah kami akan menjadi dari orang yang soleh”.
[09:75]


15. Kemudian setelah Allah memberi kepada mereka dari limpah kurniaNya mereka bakhil dengan pemberian Allah itu serta mereka membelakangkan janjinya. Merekalah orang yang sentiasa membelakangkan kebajikan.
[76]


16. Akibatnya Allah menimbulkan perasaan munafik dalam hati mereka berkekalan hingga ke masa mereka menemui Allah, kerana mereka telah memungkiri apa yang mereka janjikan kepada Allah dan juga kerana mereka sentiasa berdusta.
[09:77]


17. Tidakkah mereka mengetahui bahawa Allah sentiasa mengetahui apa yang mereka rahsiakan serta apa yang mereka bisikkan, dan bahawasanya Allah Maha Mengetahui akan perkara yang ghaib? [09:78]


18. Orang munafik yang mencela sebahagian dari orang beriman mengenai sedekah yang mereka berikan dengan sukarela, dan mencela orang yang tidak dapat mengadakan apa-apa untuk disedekahkan kecuali sedikit sekadar kemampuannya, serta mereka mengejeknya, Allah akan membalas ejekan mereka, dan bagi mereka disediakan azab seksa yang tidak terperi sakitnya.
[09:79]


19. Orang manufik itu, sama sahaja engkau meminta ampun untuk mereka atau engkau tidak meminta ampun bagi mereka. Jika engkau Muhammad, meminta ampun bagi mereka tujuh puluh kali sekalipun Allah tidak sesekali mengampunkan mereka. Yang demikian itu kerana mereka telah kufur kepada Allah dan RasulNya. Allah tidak akan memberi hidayah petunjuk kepada kaum yang fasik.
[09:80]


20 Orang munafik yang ditinggalkan tidak turut berperang itu, bersukacita disebabkan mereka tinggal di belakang Rasulullah di Madinah dan mereka sememangnya tidak suka berjihad dengan harta benda dan jiwa mereka pada jalan Allah dengan sebab kufurnya. Mereka pula menghasut dengan berkata: “Janganlah kamu keluar beramai untuk berperang pada musim panas ini”. Katakanla: “Api neraka Jahannam lebih panas membakar”, kalaulah mereka itu orang yang memahami.
[09:81]


21. Bolehlah mereka ketawa sedikit di dunia ini dan mereka akan menangis banyak di akhirat kelak sebagai balasan bagi apa yang mereka telah usahakan.
[09:82]


22. Maka jika Allah mengembalikan engkau kepada segolongan orang yang munafik itu di Madinah, kemudian mereka meminta izin kepadamu untuk keluar turut berperang, maka katakanlah: “Kamu tidak sesekali akan keluar bersamaku selamanya, dan kamu tidak sesekali akan memerangi musuh bersamaku. sesungguhnya kamu telah bersetuju tinggal pada kali yang pertama oleh itu duduklah kamu bersama orang yang tinggal”.
[09:83]


23. Dan janganlah engkau sembahyangkan seorang pun yang mati dari orang munafik itu selamanya dan janganlah engkau berada di tepi kuburnya, kerana sesungguhnya mereka telah kufur kepada Allah dan RasulNya dan mereka mati sedang mereka dalam keadaan fasik derhaka.
[09:84]


24. Janganlah engkau tertarik hati kepada harta benda dan anak mereka, kerana sesungguhnya Allah hanya hendak menyeksa mereka dengannya di dunia dan hendak menjadikan nyawa mereka tercabut sedang mereka dalam keadaan kafir untuk mendapat azab akhirat pula.
[09:85]


25. Dan apabila diturunkan satu surah Al-Quran yang menyuruh mereka: “Berimanlah kamu kepada Allah dan berjihadlah bersama dengan RasulNya”, nescaya orang yang kaya di antara mereka meminta izin kepadamu dengan berkata: “Biarkanlah kami tinggal bersama orang yang tinggal tidak turut berperang”.
[09:86]


26. Mereka suka tinggal bersama orang yang ditinggalkan kerana uzur dan dengan sebab itu hati mereka dimeteraikan atasnya sehingga mereka tidak dapat memahami sesuatu.
[09:87]


27. Mereka tetap tinggal tetapi Rasulullah dan orang yang beriman bersamanya, berjihad dengan harta benda dan jiwa mereka, dan mereka itulah orang yang mendapat kebaikan dan mereka itulah juga yang berjaya.
[09:88]


28. Allah telah menyediakan untuk mereka Syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai, mereka kekal di dalamnya. Yang demikian itulah kemenangan yang besar.
[09:89]


29. Dan datanglah pula orang yang menyatakan uzurnya dari orang “A’raab”, memohon supaya mereka diizinkan tidak turut berperang, sedang orang munafik di antara mereka yang mendustakan Allah dan RasulNya, duduk mendiamkan diri. Oleh itu orang yang kafir di antara mereka akan dikenakan azab seksa yang tidak terperi sakitnya.
[09:90]


30. Sesungguhnya jalan untuk menyalahkan dan mengenakan seksa hanyalah terhadap orang yang meminta izin kepadamu sedang mereka kaya dan mampu. Mereka suka tinggal bersama orang yang ditinggalkan kerana uzur dan dengan sebab itu Allah meteraikan atas hati mereka sehingga mereka tidak dapat mengetahui perkara yang baik.
[09:93]


31. Mereka akan menyatakan uzur kepada kamu apabila kamu kembali kepada mereka dari medan perang. Katakanlah Muhammad: “Janganlah kamu menyatakan uzur lagi, kami tidak sesekali akan percaya kepada kamu. Kerana sesungguhnya Allah telah menerangkan kepada kami akan berita perihal kamu dan Allah serta RasulNya akan melihat amal kamu sama ada kamu kembali beriman atau tetap kufur. Kemudian kamu akan dikembalikan kepada Allah Yang Mengetahui perkara yang ghaib dan yang nyata untuk menerima balasan, lalu Ia menyatakan kepada kamu apa yang kamu telah kerjakan”.
[09:94]


32. Dan di antara orang munafik juga ialah orang yang membina masjid dengan tujuan membahayakan keselamatan orang Islam dan menguatkan keingkaran mereka sendiri serta memecah-belahkan perpaduan orang beriman, dan juga untuk dijadikan tempat intipan bagi orang yang telah memerangi Allah dan RasulNya sebelum itu. Dan apabila tujuan mereka yang buruk itu ketara, mereka akan bersumpah dengan berkata: “Tidaklah yang kami kehendaki dengan mendirikan masjid ini melainkan untuk kebaikan semata-mata”. Padahal Allah menyaksikan, bahawa sesungguhnya mereka adalah berdusta.
[09:107]


33. Jangan engkau sembahyang di masjid itu selama-lamanya, kerana sesungguhnya masjid Qubaa’ yang engkau bina dan didirikan di atas dasar taqwa dari mula wujudnya, sudah sepatutnya engkau sembahyang padanya. Di dalam masjid itu ada orang lelaki yang suka mengambil berat membersih sucikan dirinya dan Allah Mengasihi orang yang membersihkan diri mereka zahir dan batin.
[09:108]


34. Maka adakah orang yang membangunkan masjid yang didirikannya di atas dasar taqwa kepada Allah dan untuk mencari keredaan Allah itu lebih baik ataukah orang yang membangunkan masjid yang didirikannya di tepi jurang yang hampir runtuh, lalu runtuhlah ia dengan yang membangunkannya ke dalam api neraka? Ingatlah, Allah tidak akan memberi hidayah petunjuk kepada orang zalim.
[09:109]


35. Keruntuhan masjid yang dibina oleh mereka yang munafik itu sentiasa menjadi penyakit syak dan keluh-kesah lebih daripada yang sedia ada dalam hati mereka, dan tidak akan habis kecuali apabila hati mereka hancur-luluh dalam tanah. Ingatlah Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana.
[09:110]


36. Apabila diturunkan sesuatu surah dari Al-Quran maka di antara mereka yang munafik bertanya secara mengejek: “Siapakah di antara kamu yang imannya bertambah disebabkan oleh surah ini?” Adapun orang yang beriman, maka surah itu menambahkan iman mereka sedang mereka bergembira dengan turunnya.
[09:124]


37. Adapun orang yang ada penyakit kufur dalam hati mereka maka surah Al-Quran itu menambahkan kekotoran kufur kepada kekotoran kufur yang ada pada mereka dan mereka mati sedang mereka berkeadaan kafir.
[09:125]


38. Patutkah mereka berdegil tidak mahu memperhatikan bahawa mereka dicuba dengan berbagai bencana pada tiap tahun, sekali atau dua kali. Kemudian mereka tidak juga bertaubat dan tidak pula mereka mahu beringat dan insaf?
[09:126]


39. Dan apabila diturunkan satu surah dari Al-Quran mendedahkan keburukan orang munafik itu setengah mereka memandang kepada setengahnya yang lain sambil berkata: “Adakah sesiapa nampak kamu kalau kita undur dari sini?” Kemudian mereka berpaling pergi dengan meninggalkan majlis Nabi. Allah memalingkan hati mereka daripada iman disebabkan mereka kaum yang tidak mahu mengerti.
[09:127]


TAMAT

Tags: At-Taubah, Madinah